Rasulullah SAW dan pengkaderan pendakwah: Muaz bin Jabal

1. Meneliti riwayat sirah, Muaz bin Jabal adalah antara tokoh sahabat yang dilihat banyak menerima sentuhan tarbiyah dan proses pengkaderan secara langsung daripada Rasulullah SAW.

2. Rasulullah SAW mendidik Muaz melalui pelbagai situasi, santai maupun dalam keadaan serius. Dalam sebuah hadith, Rasulullah mengajar Muaz ketika Baginda menunggang bersama beliau. Rasulullah memanggil nama Muaz sebanyak tiga kali, dan tiga kali lah Muaz menyahut. Setelah panggilan yg ketiga Rasulullah bersabda: Tahukah engkau bahawa mereka yg mengucapkan syahadah ikhlas dari hatinya, dia akan masuk ke syurga?” (al-Bukhari)

(مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ، إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ)

Dialog ini tidak terhenti di sini sahaja, mendengar hadith ini Muaz memberikan reaksi spontan beliau kepada Nabi. Kata Muaz: Kalau begitu lebih baik aku maklumkan perkara ini kepada mereka! (sahabat lain). Rasulullah SAW menjawab: Kalau begitu, (aku bimbang pula) mereka akan duduk diam sahaja (tidak berusaha beribadah kerana tahu setiap Muslim akan ke syurga).

Respon Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Baginda mahu mendidik Muaz supaya bijak berinteraksi dengan manusia. Bukan semua perkara perlu kita sampaikan kepada semua orang. Da’i harus pandai membaca minda audien. Muaz kemudian mendiamkan hadith ini. Hadith ini hanyalah di sampaikan oleh Muaz sebelum beliau meninggal dunia.

3. Adakalanya Muaz diberikan teguran yang keras oleh Rasulullah. Perkara ini berlaku ketika Muaz menjadi imam solat buat kaumnya. Muaz membaca surah yang panjang (surah al-Baqarah) sehingga perkara ini diadukan kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menegur Muaz dengan berkata: Apakah engkau ingin menimbulkan fitnah wahai Muaz?! Sebahagian riwayat menyebutkan bahawa kata-kata ini diulang Rasulullah SAW sebanyak tiga kali. Seolah Baginda ingin memberikan kesan mendalam kepada pemahaman Muaz.

(” يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ – ثَلاَثًا – اقْرَأْ: وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَنَحْوَهَا)

4. Ibn Majah meriwayatkan bahawa ketika Muaz pulang dari Syam, beliau terus berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu sujud (sembah hormat) kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW lalu bertanya kepada Muaz: Apa yang kau lakukan ini Muaz?! (مَا هَذَا يَا مُعَاذُ؟). Muaz menjawab, ketika aku berada di Syam, aku melihat penduduk Syam sujud kepada pembesar agama mereka. Rasulullah memperbetulkan pemahaman Muaz dengan berkata: Jangan kamu lakukan sedemikian wahai Muaz! (Ibn Majah, Ahmad).

5. Rasulullah SAW juga pernah menasihatkan Muaz dengan memberikan tunjuk ajar secara fizikal. Apabila ingin mendidik Muaz supaya memelihara lidah dan tutur kata, Baginda sendiri menunjukkan lidah Baginda lalu berkata: Hendaklah engkau menjaga lidah ini wahai Muaz (al-Tirmizi)

(فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ قَالَ: “كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا)

6. Bukan sekadar memberi nasihat dan menergur sahaja, Rasulullah SAW sendiri pernah meluahkan rasa kasih beliau, menyemai cintanya kepada Muaz. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW pernah memegang tangan Muaz lalu berkata: Wahai Muaz, sesungguhnya aku menyayangi engkau, maka janganlah engkau lupa untuk membaca doa ini setiap kali selepas solat:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Dalam hadith ini seolah Nabi SAW ingin mendidik Muaz bahawa sekiranya kita sayang seseorang, kita ajarkan kepada mereka perkara yang baik.

7. Riwayat Tirmizi ada menyebutkan bahawa Rasulullah SAW menguji Muaz sebelum menghantar beliau sebagai pendakwah di Yaman. Setelah segala proses tarbiyyah yang dilalui oleh Muaz, Rasulullah SAW menguji beliau lalu bertanya: Bagaimanakah engkau akan memberikan hukum sekiranya engkau ditanya nanti? Muaz lalu menjawab bahwa dia akan merujuk kepada al-Quran dan hadith dan sekirnya tiada, dia akan berijtihad. Rasulullah SAW lalu menepuk (memegang) dada Muaz tanda berpuas hati dengan jawapan Muaz. Hadith ini walaubagaimanapun dinilai daif oleh sebahagian sarjana hadith.

8. Setelah segala proses pengkaderan dilakukan oleh Rasulullah SAW melalui pelbagai wasilah tarbiyyah, Rasulullah SAW sendiri mengiringi Muaz sebelum dihantar menjadi pendakwah. Ketika itu Muaz menunggang tunggangannya dan Rasulullah SAW berjalan disamping tunggangan Muaz. Situasi ketika itu amat menyedihkan. Rasullullah SAW berterus-terang kepada Muaz: Wahai Muaz, barangkali engkau tidak akan dapat berjumpa dengan aku lagi selepas ini. Muaz lalu menangis dengan tangisan yang dahsyat. Baginda SAW seolah sudah mengetahui akan ajalnya.

يَا مُعَاذُ إِنَّكَ عَسَى أَنْ لَا تَلْقَانِي بَعْدَ عَامِي هَذَا وَلَعَلَّكَ أنَ تَمُرَّ بِمَسْجِدِي هَذَا، وَقَبْرِي فَبَكَى مُعَاذٌ جَشَعًا لِفِرَاقِ رَسُولِ اللَّهِ

9. Begitulah konsistennya Rasulullah SAW sebagai murabbi yang menjalankan proses pengkaderan da’i. Didikan yang melalui pelbagai wasilah tarbiyyah, secara santai maupun serius, teguran keras maupun lembut, melalui ucapan dan juga gerak tubuh fizikal, semuanya dilaksanakan bahkan diwujudkan pula proses ujian kefahaman. Setelah melepasi proses tersebut, Baginda Nabi SAW sendiri memimpin kader dakwahnya berjuang ke medan dakwah.

Rasulullah Murabbi Agung.

Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM

www.indahnyaislam.my

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts