Rasulullah SAW dan rantaian kemenjadian

 

1. Persoalan berhubung aspek kemenjadian da’i adalah sangat rumit. Ia sangat berkait rapat dengan nature (sifat) dan karakteristik manusia. Namun, satu aspek yang paling penting dalam kemenjadian da’i ini adalah kebolehan mereka bukan sahaja menyampaikan, malah melahirkan lebih ramai pencinta kebenaran.

2. Antara contoh yang boleh diperhatikan daripada sirah Rasulullah adalah Baginda bukan sahaja menyampaikan dakwahnya malah melahirkan pendakwah yang kemudiannya membina rijal ummah. Abu Bakar sebagai contoh, setelah keislaman beliau, Ibn Kathir merekodkan sekurang-kurangnya 10 lagi sahabat yang memeluk Islam di tangan beliau.

Bukan sahaja mengislamkan mereka, Abu Bakar turut melahirkan rijal yang hebat yg kemudiannya berkerja untuk dakwah seperti Talhah, al-Zubayr, Abdul Rahman Auf, Abu Ubaydah, Abu Zar, Uthman ibn Affan dan al-Arqam ibn Abi al-Arqam. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 1988)

3. Setelah memeluk Islam melalui dakwah Abu Bakar, al-Arqam pula memainkan peranan beliau dalam menyediakan ruang pembinaan rijal. Al-Zahabi merekodkan dialog Ammar bin Yasir yang menceritakan bahawa beliau berselisih di pintu rumah al-Arqam dengan Suhayb al-Rumi, seorang sahabat yg terkenal pengorbanannnya buat Islam. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 2008). Di sini jualah tempat lahirnya rijal seperti Abu Ubaydah, seorang yg kemudiannya menjadi panglima besar di dalam Islam. Malah di rumah ini jugalah Mus’ab ibn Umayr dan Abu Zar menerima tarbiyaah Nabi.

4. Setelah menerima tarbiyyah di rumah al-Arqam, Mus’ab dan Abu Zar pula memainkan peranan mereka dalam kafilah dakwah ini. Menurut riwayat Muslim, Abu Zar berjaya mengislamkan sebahagian besar dari kaumnya iaitu Bani Ghifar. Bukan itu sahaja Abu Zar melahirkan rijal dakwah sepertinya iaitu Unays dan Ayma ibn Rahdah al-Ghifari. Ayma adalah pemimpin Bani Ghifar yang kemudiannya menjadi Imam bagi muslim kaumnya. (Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, t.t.)

5. Begitu juga dengan Mus’ab. Delegasi dakwah yang dipimpin oleh Mus’ab melahirkan tokoh hebat seperti Usayd ibn Khudayr dan Sa’d ibn Muaz. Menurut al-Bukhari, Usayd adalah sahabat yang dikatakan bacaan al-Qurannya menyebabkan malaikat turun mendekatinya, manakala Sa’d ibn Muaz pula adalah sahabat yang disifatkan kematiannya menggegarkan Arasy Allah. (al-Bukhari, 1422H).

6. Begitulah rantaian kemenjadian. Da’i yang produktif akan melahirkan pula rijal yang juga produktif seterusnya membina rantaian kemenjadian yang baik. Dari contoh di atas dapat kita lakarkan bagaimana daripada Rasulullah menjadinya Abu Bakar. Dari Abu Bakar lahirnya al-Arqam.

Dari rumah al-Arqam terbinanya Abu Zar dan Mus’ab. Dari Abu Zar, separuh daripada Bani Ghifar memeluk Islam dan terbentuknya Unays dan Ayma. Manakala dari Mus’ab pula Islamlah sebuah negara Yathrib dan lahirlah tokoh pejuang yang terbilang. Begitulah rantaian kemenjadian.

Moga Allah memilih kita semua berada dalam sanad (rantaian) kemenjadian.

Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts