Rasululllah SAW dan bawa anak ke masjid

 

1. GALAKAN membawa anak-anak ke masjid adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Dalam sebuah hadith, Abu Qatadah menceritakan bagaimana Rasulullahﷺ mendukung Umamah, cucu Bagindaﷺ ketika Bagindaﷺ mengimamkan solat di masjid. Kata Abu Qatadah:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabiﷺ mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillahﷺ. Apabila Bagindaﷺ rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Bagindaﷺ mengangkatnya semula”. (HR al-Bukhari)

2. Saidina Syaddad pula menceritakan bagaimana Rasulullahﷺ keluar menunaikan solat bersama sahabat dengan membawa salah seorang cucunya Hasan atau Husin. Ketika ingin menunaikan solat, Bagindaﷺ meletakkan cucu Bagindaﷺ di sisi beliau.

Syadad turut menceritakan sujud Bagindaﷺ ketika itu lebih lama dari yang biasa. Para sahabat bertanya, apakah sujud tersebut lama kerana wahyu turun ketika itu? Bagindaﷺ lalu menjawab:

“كل ذلك لم يكن، ولكن ابني ارتحلني، فكرهت أن أعجله حتى يقضي حاجته”

Tidak (sujud tersebut lama bukan kerana turunnya wahyu), tetapi kerana cucuku memanjat dibelakangku dan aku bimbang tergesa-gesa sehinggalah cucuku selesai turun dari belakangku” (HR al-Nasa’i)

3. Dalam sebuah hadith yang lain pula, Bagindaﷺ dikatakan meringkaskan solat kerana terdengar tangisan kanak-kanak. Ini menunjukkan keharusan membawa anak kecil di masjid. Sabda Rasulullahﷺ:

“إني لأدخل في الصلاة وأنا أريد إطالتها فأسمع بكاء الصبي فأتجوّز في صلاتي مما أعلم من شدة وجد أمه من بكائه” (رواه البخاري ومسلم).

“Aku masuk untuk mendirikan solat di masjid dan aku ingin memanjangkan solat tersebut. Namun aku terdengar tangisan anak kecil, maka aku ringkaskan solat tersebut kerana bimbang kerisauan ibu tersebut terhadap tangisan anaknya. (HR al-Bukhari dan Muslim)

4. Hadith Abdullah ibn Buraidah pula menceritakan bagaimana Rasulullahﷺ sedang menyampaikan khutbah Baginda. Tiba-tiba datang cucu Baginda Hasan dan Husain. Bagindaﷺ segera turun dari mimbar lalu mengambil kedua cucu Baginda naik ke atas mimbar bersamanya. (HR Abu Daud).

5. Walaupun keharusan membawa anak kecil adalah jelas di dalam hadith, namun, adalah lebih baik dipastikan anak-anak ini tidak menggangu perjalanan solat di masjid. Setiap ibubapa haruslah memainkan peranan mereka dalam memastikan anak-anak mematuhi dan memahami adab di dalam masjid. Para Jemaah boleh membantu menegur dalam keadaan lembut dan berhikmah.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Assalamualaikum.
    Saya rasa semua orang dah tahu galakan bawa anak2 ke masjid tetapi masalahnya ialah ibu bapa yang tak jaga atau tegur anak2. Berlaku kes rakan saya tidak mahu lagi ke surau berdekatan kerana suasana tak tenteram dan sanggup ke tempat lain yang lebih jauh lain untuk solat terawih dlm suasana tenang.
    Saya harap artikel2 akan datang lebih menitik beratkan ibu bapa yang kena pastikan anak2 tak ganggu jemaah. Kalau terbukti tidak mampu dilakukan elok anak2 yang tidak boleh dikawal tidak dibawa ke masjid. Tunggu apabila anak2 dah besar dan boleh ikut arahan dan jaga diri. Kita nak didik anak dan dekatkan dengan masjid tapi harus hormati keselesaan jemaah lain supaya tiada isu jemaah ‘membawa diri’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts