KEPALA BATAS – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mengimamkan solat jenazah ayahnya yang maut dalam kemalangan selepas melanggar tembok Tol Lunas Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dari Kubang Semang menghala ke Lunas, Kulim Isnin lalu.
Kisah dikongsi Masjid Abdullah Fahim SPU (MAFSPU) di laman rasmi Facebooknya memberitahu, Mohd Danish bin Abdul Rani merupakan anak ketiga yang juga pelajar di Sekolah Islam Tahfiz Sains Darul Mumtaz, Padang Serai, Kedah itu telah menghafaz Quran sebanyak 13 juzuk.
Walaupun arwah bapanya tidak sempat melihat Mohd Danish berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan bergelar al-Hafiz, tetapi diharap dia terus kuat dan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.
“Jenazah Allahyarham Abdul Rani Abdullah (meninggal dunia akibat kemalangan lori ais di Tol Lunas) telah selamat dikebumikan sebentar tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas.
“Solat jenazah Allahyarham diimamkan oleh anaknya sendiri iaitu adik Mohd Danish Abdul Rani. Pihak Masjid Abdullah Fahim berkesempatan hadir ziarah ke rumahnya dan bertemu dengan anaknya.
“Mohd Danish yang berumur 14 tahun dan merupakan anak ketiga dalam ahli keluarganya. Menjadi kebanggaan kami, Mohd Danish antara yang bakal menjadi hafiz suatu hari nanti. Beliau kini sudah menghafaz Quran sebanyak 13 juzuk. Beliau bersekolah di Sekolah Islam Tahfiz Sains Darul Mumtaz, Padang Serai, Kedah.
Perkongsian menyentuh hati para netizen.
“Kami mendoakan semoga Mohd Danish diberikan kekuatan dan ketabahan di atas ujian yang dihadapi. Semoga dipermudahkan dalam segala urusan dan menjadi anak soleh serta dapat membantu keluarga dan masyarakat.
“Pihak MAFSPU mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Abdul Rani bin Abdullah. Semoga Allah Ta’ala ampunkan segala dosa-dosanya dan terima segala amal ibadahnya. Semoga ditempatkan bersama orang yang beriman,” tulisnya.
“Innalilahi wainaihirojiun…MasyaALLAH hebatnya Allahyarham memiliki anak yang semuda 14 tahun ini dapat mengimamkan solat jenazah Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan mereka yang beriman dan beramal soleh,” tulis Mahmud Aban di Facebook.
Ana Tajul pula memberitahu “Semoga di tempatkan bersama para solihin, sesungguhnya arwah berjaya mendidik anak menjadi anak yang soleh, Mohd Danish menjadi inspirasi, moga anak kita semua juga boleh menjadi sepertinya.” – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)