Remaja aset negara, kita wajib lakukan sesuatu

 

Hati ibu bapa mana yang tidak hancur remuk melihat musibah yang menimpa darah daging sendiri. Apatah lagi apabila musibah itu melibatkan tragedi ngeri yang meragut nyawa anak sendiri.

Senakal mana pun mereka, pertalian darah serta kehidupan yang dilalui bersama mereka sejak dalam kandungan sehinggalah ke usia remaja tetap menjadi tali pengikat kasih dan sayang antara mereka.

Seliar mana anak, mereka tetap mengharapkan perubahan yang baik buat anak-anak ini, bukan mengakhiri kehidupan dengan tragedi sebegini.

Apatah lagi kiranya anak itu merupakan anak yang baik namun berada di tempat dan waktu yang salah.Namun siapalah kita untuk menolak Qada’ dan Qadar tuhan. Allah lebih mengetahui dan menyayangi mereka.

Lalu di ambil mereka untuk diam bersamaNya meninggalkan titik -titik peristiwa yang tidak lain dan tidak bukan untuk di ambil hikmah dan pengajaran buat kita yang tinggal dan celik mata hati.

Sahabat-sahabat penggerak remaja sekalian,

Lalu apa selepas ini? Ini persoalan yang saya lontarkan buat semua penggerak-penggerak remaja terutamanya dalam Kelab Remaja ISMA. Kita melihat bagaimana orang berduka dan bersedih dengan tragedi ini.

Sebahagian dari mereka bahkan kita juga ada yang sibuk mencari salah. Pemandu yang tidak berhati-hati, remaja liar yang enggan mendengar kata, ibubapa yang berlepas tangan dan tidak kurang juga pihak yang berwajib yang sepatutnya menguatkuasakan pelbagai akta dan perundangan untuk menyekat berlakunya tragedi seperti ini.

Lalu selepas itu apa. Kita bertolak tepis apabila tiba saat dan ketikanya menyentuh peranan siapa dan kerja siapa. Menyenaraikan segala bentuk tindakan yang perlu dilakukan oleh orang lain namun bukan kita. Mengatakan bahawa semua pihak sepatutnya memainkan peranan masing -masing namun bukan kita.

Bukankah ini masanya wahai sahabatku.

Masa untuk kita menjadi lebih serius dengan amal remaja yang ditaklifkan kepada kita dalam Kelab Remaja ISMA. Masa untuk menjadikan amal remaja ini sebagai keutamaan buat kita meskipun sekian banyak tanggungjawab lain yang perlu kita tunaikan.

Senaraikanlah amal remaja ini sebagai amal prioritas buat kita. Merancang, menyusun dan membina platform-platform yang mampu membangun dan mengembangkan potensi remaja sekaligus memberikan mereka ruang dan peluang untuk menyalurkan kebolehan dan kemampuan mereka dalam suasana yang terpandu.

Usah terperangkap dalam permainan persepsi yang dibentuk terhadap remaja ketika ini. Persepsi yang menyifatkan bahawa kelompok remaja di Malaysia ini berada pada tahap yang terlalu teruk hingga seolah-olah tidak ada sinar dan haluan yang baik untuk mereka ketika ini.

Persepsi yang dibentuk dalam media -media masa yang sering mengangkat dan memfokuskan perbuatan negatif remaja kita.

Paparan muka depan akhbar-akhbar tempatan kita hanya untuk remaja-remaja yang melakukan perbuatan jelek dan meruntun jiwa.

Remaja yang ditangkap berlumba haram, dirogol puluhan orang atau terlibat dalam kes samun dan rompak yang tak kunjung reda. Jarang sungguh paparan muka depan ini menonjolkan remaja-remaja yang punya inovasi hingga memenangi anugerah peringkat dunia atau remaja-remaja yang mengetuai usaha-usaha positif tertentu untuk membantu masyarakat.

Tidak adakah remaja yang sebegini? Ramai sebenarnya. Cuma barangkali mereka tidak popular seperti rakan mereka yang terlanjur atau mengandung anak luar nikah.

Sungguh, dalam kelompok remaja yang kita dekati hari ini masih punya ramai ‘anak- anak singa’ yang bakal meneraju umat pada masa akan datang. Bukan sekadar kijang-kijang pengecut yang lahir dari usaha dan perancangan musuh dan persekitaran selesa yang ada pada hari ini.

Bagaimana mencari anak- anak singa ini.?

Apabila saya membaca berita mengenai kemalangan yang menimpa remaja- remaja yang berbasikal ini, perkara pertama yang terlintas dalam hati ketika itu ialah rasa kesal dan sesal yang meluap-luap meskipun ada komen-komen netizen yang menceritakan sifat liar mereka yang mempermain-mainkan anggota keselamatan dan orang ramai yang menegur tindakan mereka.

Saya melihat inisiatif mereka mengumpulkan rakan-rakan yang punya minat dan kecenderungan yang sama dengan mereka dan keberanian mereka berkayuh basikal di tengah-tengah malam.

Malangnya keberanian dan kecekalan mereka ini tidak terpandu ke arah yang lebih positif. Dan kita wahai penggerak-penggerak remaja sekalian tidak ditemukan oleh Allah swt dengan mereka sedangkan kita menginginkan remaja-remaja yang punya kriteria-kriteria sebegini.

Inilah karakter-karakter ‘anak singa’ yang kita inginkan. Tetapi kenapa kita tidak ditemukan dengan mereka?

Rakan-rakan penggerak remaja sekalian,

Kita harus keluar dari ‘uzlah’ masing-masing. Harus keluar dari suasana selesa masing-masing. Uzlah yang saya maksudkan bukanlah duduk bersendirian di dalam gua, masjid atau surau tetapi lebih kepada suasana selesa dan pendekatan kita dalam mengambil jalan mudah. Melakukan apa yang kita sukai, bukan apa yang diperlukan.

Uzlah ini membunuh masa depan dakwah dan seruan kita terhadap remaja. Kita bukan sekadar bekerja untuk mengutip dan mengumpul yang baik – baik di dalam amal remaja kita namun lebih dari itu kita mengutip dan mengumpul remaja dari pelbagai latar belakang dan karakter lalu menjadikan mereka lebih baik dengan bersama- sama kita.

Usah bersifat selektif terhadap remaja. Usia dan tingkahlaku emosi mereka tidak boleh sama sekali dijadikan kayu ukur kepada usia dewasa apatah lagi pengakhiran hidup mereka.

Terlalu awal untuk menghukum seorang remaja yang menghisap rokok pada usia 16 tahun akan menjadi perokok tegar dan mengambil dadah sehingga akhinya mati dalam kesesatan sebegitu.

Terlalu awal juga untuk menghukum seorang remaja perempuan yang mencelup rambutnya dengan pelbagai warna dan berseluar cikang akan terus hidup sebagai orang yang menolak kebenaran beragama dan akhirnya mati dalam keadaan engkar kepada perintah Allah swt.

Tidak wahai sahabatku sekalaian. Sama sekali tidak. Pengakhirannya pasti tidak begitu jika kita berjaya menyentuh hati dan mengumpulkan mereka untuk sama-sama dibugarkan potensi mereka.

Usah juga terikat dengan satu pendekatan yang kita selesa. Sebagai contoh mendekati remaja dengan terus menawarkan program-program berunsur islamik semata-mata seperti usrah, kelas mengaji quran atau daurah.

Pendekatan yang sebegini akan menyebabkan seruan kita hanya akan sampai hanya kepada kelompok – kelompok yang sedia baik dan sukakan program-program yang sebegini.

Tidak kepada adik-adik remaja yang sukakan papan luncur, berbasikal, melancong atau bermain bar besi dan parkour. Oleh sebab itulah kita meletakkan modul program yang pelbagai dalam Akademi Remaja KRIM kita sebagai usaha untuk mendekati pelbagai kelompok dan latarbelakang remaja yang pelbagai.

Maka dengan cara inilah kita akan menemui remaja-remaja yang berwatak singa ini.

Di mana usaha kita.
================
AlGhazali menyarankan kita melihat susuk pemuda atau remaja sesuatu bangsa untuk melihat masa depan bangsa tersebut. Mantan Presiden Indonesia hanya memerlukan 10 orang pemuda untuk menggegarkan dunia.

Dalam sejarah umat islam yang panjang kita telah menyaksikan bagaimana watak remaja muslim yang berani memainkan peranan besar mereka. Lihat sahaja pasangan remaja Muaz dan Muawwiz yang menumbangkan bapa kejahilan dalam medan badar.

Juga Saidina Ali yang begitu berani menggantikan tempat tidur Nabi SAW. Maka dalam dunia hari ini, apakah ada sesuatu yang akan mampu menghalang remaja sebegini untuk berjaya? Dimanakah peranan kita dalam memastikan lahirnya remaja yang sebegini.
Sahabat-Sahabat yang budiman.

Saya pernah ditanya oleh seorang sahabat. Tentang apakah amal yang paling tinggi priorits dan urgensinya dalam ISMA ini. Lalu soalan ini saya majukan kepada Presiden ISMA dalam satu sesi semuka bersama jawatankuasa KRIM Nasional beberapa ketika selepas itu.

Dan inilah jawapan beliau. Tidak ada kerja yang lebih utama melebihi tugasan yang ditaklifkan kepada kita dalam tanzim ini. Maka sekiranya kalian telah dipilih untuk meneraju gerak kerja amal remaja ini maka itulah tugasan yang tinggi prioritasnya dalam tanzim ini.

Saya memahami hakikat bahawa sememangnya ada dikalangan sahabat yang tidak mampu berdepan dengan titik bengit perangai remaja. Sememangnya ada orang dengan karakter ini. Lalu disini saya sampaikan solusinya.

Ada orang yang ada jiwa remaja.
Orang ini boleh bergaul dengan baik dengan remaja. Mampu menyertai remaja dalam kepelbagaian aktiviti mereka. Punya kudrat dan tenaga yang kuat serta fizikal yang hebat.

Dalam amal remaja mereka ini mampu membawa kumpulan-kumpulan liqa’ remaja, bermain futsal, berbasikal bersama mereka, mandi sungai , rentas hutan dan macam amal dilapangan bersama remaja.

Mereka boleh bertahan dengan karenah remaja yg pelbagai dan memahami gelojak generasi itu.

Jika kalian merupakan orang-orang yang seperti ini, maka himpunkanlah anak-anak remaja ini dan binalah satu platform bersama mereka.

Lebih baik lagi sekiranya kalian punya hobi yang sama dengan mereka. Yang suka mengayuh basikal, berbasikallah bersama mereka. Yang suka bersilat maka bersilatlah bersama mereka dan yang suka memancing maka memancinglah bersama mereka.

Dengan cara itu maka kita akan ada kepelbagain platform yang boleh memnuhi citarasa mereka sekaligus memainkan peranan dam mendidik dan membimbing mereka.

Ada juga di kalangan kita yang tidak mampu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti remaja seperti di atas namun punya keinginan dan aspirasi untuk membantu memelihara serta membangunkan generasi ini.

Watak-watak yang sebegini meskipun tidak mampu menerima titik bengit perangai remaja tetapi memahami realiti bahawa sesuatu harus dilakukan untuk memperbaiki kehidupan remaja.

Sekiranya kalian termasuk dalam kelompok seperti ini maka kalianlah orangnya yang bakal membuka pengertian amal remaja ke arah yg lebih luas. Sehinggakan amal remaja bukan sahaja dilihat dari sudut bergaul atau beraktiviti bersama remaja semata.

Bahkan dari konteks yg lebih luas seperti membentuk dan membahaskan polisi dan perundangan berkaitan remaja, menerbitkan lapangan-lapangan kajian mengenai remaja, menyediakan dan membentuk suasana fizikal atau persekitaran yang kondusif dan sesuai untuk perkembangan positif remaja.

Inilah peranan yang dapat dimainkan oleh setiap dari kita.

Samada kita ini punya jiwa remaja atau kita termasuk dalam sekalian orang yang selalu memikirkan soal remaja. Yang pasti setiap dari kita memainkan fungsi dan peranannya dalam mencorak wajah baru remaja di tanah air ini.

Saya tidak mengatakan bahawa kerja ini mudah. Namun inilah keperluan buat kita hari ini.

Rakan-rakan seperjuangan sekalian,

Kita pernah beberapa kali dikejutkan dengan pelbagai tragedi yang menimpa remaja-remaja kita. Suatu ketika dahulu kita dikejutkan dengan kematian remaja sewaktu menonton sebuah konsert kerana mengambil dadah yang berlebihan. Banyak kali juga kita dikejutkan dengan fakta-fakta dan statistik-statistik yang mengerikan mengenai tingkahlaku negatif remaja.

Para ibu-bapa melihat bagaimana anak mereka menerima natijah yang menyakitkan dan kadangkala membunuh. Pada waktu yang sama kita sebagai orang yang sayangkan generasi remaja ini melihat satu demi satu anak bangsa ini tumbang kepada pesona dunia yang merugikan.

Tragedi yang berlaku sebelum ini telah mengakibatkan luka-luka yang memeritkan dalam hati kita penggerak remaja. Ia juga bakal menjadi satu titik hitam dalam sejarah remaja muslim di Malaysia.

Namun percayalah, bahawa titik gelap ini bukanlah seperti kegelapan yang menyelimuti sepanjang malam bahkan hanya gerhana yang berlaku beberapa kali dalam garis musim yang panjang.

Dan usaha-usaha yang telah digerakkan oleh kalian penggerak remaja sekalian, seolah-olah memberi isyarat bahawa kita akan sampai pada satu titik kemenangan dimana kelompok remaja positif akan menjadi dominan dalam struktur sosial remaja di Malaysia.

Jadilah mata rantai yang menghubungkan generasi gemilang di zaman para sahabat dengan generasi masa depan kita. Sheikh Ahmad Arrasyid telah menulis di dalam kitabnya Al-Muntalaq bahawa generasi masa lalu telah menanam pohon akidah untuk kita dan kita sedang menikmati hasilnya.

Maka menjadi peranan kita pula menanamnya agar generasi remaja masa hadapan ini akan dapat menuai hasilnya. Tanamlah benih tamar ditangamu sekalipun kalian tahu bahawa matahari akan terbit dari barat pada keesokan harinya.

Tanamlah benih tamarmu sekalipun kalian tahu bahawa kiamat akan menghancurkan dunia pada keesokan harinya. Ini pesan Nabi SAW. Kerana kelak diakhirat kita akan diadili dengan sebaik mana usaha yang kita lakukan bukan sekadar dengan hasil yang dicapai.

Wallahua’lam.

Cikgu Asmadi Abdul Samad

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
  1. Saudara…ini pandangan saya..puncanya mudah saja..

    Kita semua penakut….

    Dalam malaysia…majoritinya muslim…anda boleh cari ramai yg boleh dakwah kata2 tentang kebenaran islam..kebagusan sistem & aturannya..perfect lah sebagai way of life…

    Tapi cuba anda cari berapa ramai yg boleh berdakwah perbuatan????

    Lebih parah lagi..sudahlah kita penakut…kita pilih pulak pemimpin yg penakut..termasuklah pemimpin yg mengkritik perangai remaja2 berbasikal yg terkorban di media2 tanpa memikirkan hati ibu bapa mereka…ibarat meludah ke langit…jatuh kemuka pemimpin tu sendiri…

    Semua tau dan yakin indahnya kaedah rasul dan satuan ansar/muhajirin membangun perekonomian islam di madinah..tapi berapa ramai pemimpin kita yg memulakannya??? Tiada saudara… di peringkat negara..tiada..di peringkat negeri..tiada…diperingkat daerah…tiada…MALAH di peringkat kampung2 pun tidak pernah dilaksanakan….inilah bukti kita muslim penakut saudara…

    Di malaysia…kampung melayu islam dengan kepala keluarga 2500 orang…35 tahun kemudian masih kampung saudara..tapi kalau kampung cina…10 tahun sudah jadi bandar…

    Ini lah puncanya saudara…kenapa rasul mengutamakan memperkasa ekonomi umat islam setelah sampainya mereka di madinah..kerana dengan kekuatan ekonomi…kekuatan lain akan datang…

    Masalah2 remaja yg anda utarakan terjadi kerana kita membiarkan malaysia di bina oleh kemajuan berdasarkan kekuatan ekonomi non muslim yg menghalalkan segala cara..bahkan tak pernah peduli effect2 kepada umat muslim…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts