RANAU – Hubungan sejati antara ibu dan anak tidak boleh dipisahkan oleh agama dan terbukti apabila seorang ibu merestui keputusan anaknya yang beragama Kristian memeluk Islam dengan penuh kasih sayang hingga menggamit pelbagai reaksi netizen di laman sosial, Facebook.
Malah khabar gembira tersebut diluahkan sendiri oleh wanita terbabit yang dikenali sebagai Anty Kilin menerusi Facebook miliknya.
Melalui status yang dimuat naik, dia menyatakan walaupun anak gadisnya sudah memeluk Islam, hubungan kekeluargaan tetap utuh serta tidak akan putus hanya kerana faktor perbezaan agama.
“Sumandak saya yang saya sayang, mungkin kamu terpisah oleh dua agama yang berbeza tapi sedikit pun tidak akan meretakkan hubungan dan ikatan persaudaraan dan paling penting kasih sayang seorang ibu ini tidak akan berubah walau macam mana pun.
“Sama ada kau Muslim atau Kristian, asal kamu adalah dari rahim yang sama, susu gantung yang sama (susu ibu), keluar dari tempat yang sama, pendek kata ibulah syurga pertama kamu dan jangan sesekali saling bermusuh atau memburukkan antara satu sama lain.
“Hormati dia sebagai kakak dan dia akan menghormati kau sebagai adik. Restu dan doa ibu untuk anak, akan sentiasa bersama kamu walau di mana pun kamu berada, dalam situasi kamu macam mana,” tulisnya.
Dalam pada itu, Kilin berkata, dia merestui malah sentiasa mendoakan pilihan anak-anaknya untuk menganuti agama yang mereka mahu dan selesa.
“Anak sulung, saat dia memilih untuk memeluk Islam, saya telah memberikan restu seikhlasnya dan meminta bakal suaminya untuk menjadikannya sebaik baik wanita Muslimah.
“Anak kedua saya pula berkata, “Mami… saya mahu masuk sekolah Al Kitab. Saya mahu memberikan tumpuan pada Gereja supaya saya boleh mendoakan semua orang…”
“Apa lagi yang saya boleh katakan selain daripada memberikan restu kepada apa yang mereka sudah pilih. Anak-anak saya memang sangat terbaik walaupun saya bukanlah ibu yang terbaik,” tulisnya.
Dalam pada itu, perkongsian Kilin kini tular di media sosial yang meraih 11,000 tanda suka dan 2,400 warga maya berkongsi kisah tersebut.
Rata-rata netizen menyatakan kesyukuran kepada anaknya kerana diberikan hidayah oleh ALLAH untuk memeluk agama Islam dan menyifatkan Kilin sebagai seorang ibu yang sentiasa bijak dalam memberi sokongan buat anak-anaknya.
“Apa pun agama yang mereka pilih itu adalah pilihan mereka. Kita sebagai ibu sentiasa menyokong apa yang terbaik. Semoga sentiasa dilindungi. Macam Anty Kilin juga baik dan peramah orangnya,” tulis Miee Fiezah Fiezah di Facebook. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)