Ribuan polis dikerah menjelang solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa

Polis Israel memaklumkan akan mengerahkan ribuan anggotanya ke seluruh Kota Lama Baitulmaqdis menjelang solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa, ketika ketegangan semakin meningkat disebabkan perang di Gaza.

“Kami akan menempatkan lebih ramai anggota menjelang solat Jumaat nanti. Beribu-ribu daripada mereka akan berada di kawasan Temple Mount,” kata jurucakap polis, Mirit ben Mayor kepada pemberita, menggunakan nama Yahudi untuk tapak Masjid Al-Aqsa.

Beliau menambah, ratusan pegawai polis sudah ditempatkan di Kota Lama Baitulmaqdis yang diilhakkan Israel, sejak bermulanya hari pertama Ramadan pada Isnin.

Ben Mayor berkata, dianggarkan seramai 25,000 jemaah sudah menunaikan solat di masjid itu pada permulaan Ramadan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Ditanya mengenai pertempuran dilaporkan berlaku antara polis dan jemaah pada Ahad lalu, jurucakap kerajaan, Tal Heinrich berkata, pihaknya berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Minggu lalu, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata, jemaah Islam akan dibenarkan untuk mengakses masjid Al-Aqsa dengan jumlah sama seperti tahun-tahun sebelumnya pada minggu pertama Ramadan.

“Setiap minggu akan ada penilaian situasi dari segi keselamatan dan keputusannya akan dibuat sewajarnya,” katanya.

Namun, polis dalam satu kenyataan, penduduk Palestin di Tebing Barat yang mahu memasuki Masjid Al-Aqsa dijangka menghadapi beberapa sekatan.

Hanya lelaki berumur 55 tahun ke atas dan wanita lebih 50 tahun ke atas dari wilayah itu dibenarkan memasuki perkarangan masjid itu ‘atas sebab keselamatan’, kata jurucakap kerajaan Israel, Ofir Gendelman.

Menteri Keselamatan Israel berhaluan kanan Israel, Itamar Ben Gvir, baru-baru ini, menggesa sekatan lebih ketat ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat, dengan mengatakan mereka ‘tidak seharusnya dibenarkan’ memasuki Baitulmaqdis untuk beribadat semasa bulan Ramadan.

Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci dalam Islam dan walaupun pengurusannya secara teknikal terletak di bawah kuasa Jordan, Israel mengenakan sekatan di dalam dan sekitar kompleks itu.

Pertempuran sering berlaku di perkarangan masjid itu, antara penganut Islam dan pasukan keselamatan Israel.

Suasana Ramadan tahun ini suram berikutan Israel terus terbabit dalam perang dahsyat dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, di Semenanjung Gaza. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts