Kuala Lumpur: Masyarakat Islam di negara ini diseru supaya lebih berhati-hati serta mengambil maklumat terkini berkaitan ibadah umrah daripada sumber yang sahih.
Ini kerana, berita yang tidak tepat memberi kesan kepada pemain industri serta jemaah yang keliru dengan perkembangan terkini terutama dari Arab Saudi.ADVERTISING
Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ia begitu memberi kesan kerana pihaknya bersama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta agensi berkaitan berusaha sebaik mungkin untuk menghidupkan kembali perniagaan ini.
“Bila ada berita tidak benar begini akan memberi kesan. Saya harap masyarakat semak sumber berita itu, contohnya Arab News dan Saudi Gazette.
“Selain pada itu, mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai kerjasama antara TH Travel and Services dengan Cargomind Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Cargomind Zahrol Ahmad.
Sebelum ini, portal berita Gulf News melalui laporan dalam taliannya pada 19 November lalu mendakwa Arab Saudi mengehadkan permit bagi umrah untuk jemaah warga asing kepada golongan berusia antara 18 hingga 50 tahun saja.
Kenyataan berkenaan didakwa dipetik daripada Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi itu menyatakan setiap jemaah warga asing juga diwajibkan mengambil suntikan lengkap vaksin Covid-19 yang diiktiraf negara itu.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama berkenaan, pihaknya mengorak langkah apabila menandatangani Perjanjian Usahasama Perniagaan Perkhidmatan Kurier dengan Cargomind.
Katanya, ia adalah satu pencapaian baik sekali gus akan meningkatkan lagi nilai komersial TH Travel and Services.
“Ini memberikan ruang dan peluang kepada kita untuk meneroka bidang perniagaan kargo seperti mana yang pernah diceburi dulu.
“Selain itu kita akan memberi tumpuan kepada segmen e dagang dalam usaha mempelbagaikan perniagaan dengan prospek baharu,” katanya. – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM