RUU 355: Masalah sosial yang membarah perlukan solusi

 

1. Di dalam isu Rang Undang Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 atau lebih dikenali RUU 355, kita akan dapati pelbagai pandangan berbeza.

2. RUU 355 hanya melibatkan kesalahan jenayah syariah dan terhad kepada umat Islam sahaja. Umumnya, terdapat beberapa kategori kesalahan jenayah syariah mengikut negeri namun yang sering menjadi tumpuan adalah kesalahan khalwat.

3. Membaca pandangan-pandangan tersebut, saya teringat satu laporan berita bahawa kes tangkapan khalwat adalah antara kesalahan jenayah syariah yang paling popular menghadapai pendakwaan di mahkamah syariah. Di Selangor sahaja, pada tahun 2011 sebanyak 1734 kes telah direkodkan. Di Pahang, sebanyak 948 kes khalwat direkodkan pada tahun 2012.

4. Sekalipun begitu, satu kajian dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM mendedahkan bahawa JPN telah mencatatkan sejak tahun 2000-2008, terdapat 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa tercatat nama bapa (anak luar nikah atau anak tidak sah taraf). Ini bermakna, secara purata pada tempoh tersebut hampir 83.3 kes berlaku pada setiap hari.

5. Manakala menurut Laporan kajian Durex & Durex, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah dikalangan remaja Malaysia dengan purata 62 kali setahun (kajian 2003) dan 86 kali setahun (kajian 2004) berbanding Jepun yang hanya 37 kali setahun (2001). Turut direkodkan, remaja perempuan di Malaysia didapati kehilangan dara pada usia muda iaitu 20 tahun (kajian 2001) dan ketika berumur 19 tahun ( kajian 2004).

6. Yang lebih menyayat hati, kes pembuangan bayi. Jumlah pembuangan bayi yang direkod PDRM daripada tahun 2004-2010 adalah sebanyak 555 kes. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, 59 daripada 90 bayi yang dibuang dijumpai di dalam keadaan tidak bernyawa. Tiada yang lebih meruntuhkan jiwa daripada melihat bayi kecil menjadi mangsa.

7. Islam adalah agama yang sempurna, sudah pasti mempunyai penyelesaian yang tersendiri. Pencegahan di kalangan umat Islam bukan sahaja perlu dilakukan melalui pendidikan dan pemantapan aqidah, tetapi juga melalui nasihat dan pemeliharaan seperti pusat penjagaan remaja dan bayi. Pencegahan juga harus dilakukan melalui penguatkuasaan hukuman, selaras dengan perlembagaan sesebuah negara yang mempunyai peruntukan tersebut.

8. Pada hari ini, dengan peruntukan yang sedia ada, hukuman buat mana-mana kesalahan syariah termasuk khalwat adalah penjara yang tidak melebihi 3 tahun, atau denda yang tidak melebihi RM5000 atau sebatan yang tidak melebihi 6 kali atau gabungan antara ketiga-tiganya. Kali terakhir dipinda pada tahun 1984 peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1000. Setiap negeri, meletakkan hukuman maksima yang mungkin berbeza dari peruntukan tersebut, namun tidak boleh melebihi dari had yang ditetapkan.

9. Andaikata kita mencari fakta berkenaan hukuman yang dijatuhkan terhadap kesalahan khalwat, data yang diperolehi daripada hukuman khalwat daripada tahun 2005-2010 di Negeri Sembilan menunjukkan bahawa lazimnya kesalahan khalwat dijatuhkan hanya sekitar denda antara RM 500 ke RM 2500 sahaja. Malah, ada kes yang hanya dikenakan hukuman RM 250 sahaja. Kalau siapa yang rajin mencari di suratkhabar, akan mendapati bahawa hukuman paling maksima yang pernah dikenakan adalah ke atas para artis, Ketua Pengarah, jurutera etc yang ditangkap bersekedudukan – itupun hanya berjumlah RM3000 sahaja. Tidak sampai maksimum RM 5000. Paling tinggi, yang saya terbaca adalah hukuman denda yang dijatuhkan kepada seorang pelajar IPT di Kuala Terengganu sebanyak RM4900. Itupun kerana ia adalah tangkapan kedua selepas ditangkap berkhalwat 3 bulan sebelum itu. Dalam mana-mana kes, sesiapa yang didapati bersalah masih boleh merayu agar jumlah tersebut dikurangkan lagi.

10. Hakikatnya, hukuman yang sedia adalah ringan dan sudah sampai masanya diperkasakan.

Di sinilah persoalannya.

11. Ada yang berkata, ada lebih banyak perkara lain seperti “good governance, environment dan corruption” yang perlu diselesaikan. Benar, namun sekalipun kita telah menyelesaikan ketiga-tiga perkara tersebut yang kita tahu akan mengambil masa yang lama, ia bukanlah bersifat “mutually inclusive” lalu akan selesailah segala masalah sosial umat Islam di Malaysia. Semua isu harus diselesaikan, seiring dan selangkah. Setiap usaha penyelesaian tidak bermakna kita akan mengabaikan isu yang lain. Setiap pihak harus memainkan peranan.

12. Ada yang berkata, ini hanya umpan politik untuk memanjangkan nyawa parti politik tertentu. Mungkin benar, tapi itulah hakikat politik masa kini. Ahli politik masa kini akan sentiasa mengambil peluang menjadikan sekecil-kecil perkara suatu isu besar, hatta lambang sebuah syarikat minyak pun boleh ditukar kerana berasakan lambang tersebut lebih dekat dengan parti lawan, namun segala perancangan licik politik tidak boleh dijadikan sebab untuk menolak suatu perkara baik. Kalau semua perkara dipolitikkan, bagaimana kita dapat bergerak ke hadapan? Sekalipun ia permainan politik, siapakah yang akan untung jika berjaya atau rugi jika dikhianati? Mereka merancang, namun Allah lah sebaik-baik Perancang.

13. Ada yang berhujah, pihak jabatan agama tidak boleh mengintip kerana ia dosa individu. Benar, Islam tidak membenarkan sesiapa mengintip mencari dosa peribadi. Benar, Islam tidak membenarkan intipan. Hakikatnya, tangkapan khalwat adalah berdasarkan laporan yang diterima, bukan intipan. Tiada laporan, tiadalah serbuan. Undang-undang yang digubal berkaitan kesalahan khalwat bukan untuk mengganggu privasi individu, sebaliknya mahu mengawal serta mencegah zina. Siasatan mengikut prosedur termaktub dalam akta atau enakmen tatacara jenayah syariah negeri bagi memastikan aduan dan maklumat yang diterima adalah benar, sebelum pendakwaan dijalankan.

14. Ada lagi yang berhujah, namun ada kes para pencegah maksiat melampaui batas hingga pasangan yang sudah berkahwin juga ditahan. Malangnya, kita juga mendengar kes sebegini. Dalam hal ini, jika benar kita harus mendesak SOP pihak Jabatan Agama diperbaiki dan memastikan segala siasatan dibuat berdasarkan modus operandi yang tulus, berhati-hati, tidak membuka aib serta tidak memalukan malah menyusahkan pihak yang terbabit. Apatah lagi, laporan yang diterima tidak semestinya daripada pihak yang benar-benar mahu melaporkan maksiat, tetapi hanyalah panggilan “prank” semata-mata. Maka apabila pegawai-pegawai tiba untuk memeriksa, rupa-rupanya yang diserbu adalah suami isteri yang sah.

15. Terpulanglah kepada diri masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak RUU355. Kita boleh menyokong, namun tidak bermakna kita harus memberi label negatif kepada yang tidak menyokong. Kita boleh menolak, namun janganlah dicaci pula golongan yang menyokong RUU dengan gelaran yang menyakitkan hati.

16. Pada saya secara peribadi, pindaan RUU355 adalah satu usaha baik yang harus diselaraskan. Ia boleh didebatkan secara ilmiah terutama had hukuman yang harus dikenakan. Umat Islam, sebaiknya mengambil peluang dan memahami apakah sebenarnya RUU355 dan seterusnya memberi pemahaman yang jelas kepada bukan Islam, bukannya menujukan peluru konflik sesama umat Islam sendiri.

17. Ruang perbincangan sentiasa terbuka. Nyatakan dengan jelas, RUU355 tidak melibatkan mereka yang bukan Islam. Yang pasti, sebagaimana pindaan tahun 1984, pindaan RUU355 2016 hanya melibatkan kesalahan jenayah syariah dan terhad kepada umat Islam sahaja. Apabila menimbulkan konflik, memberikan gambaran buruk dan melihat dalam konteks partisan, kita akan terbawa dengan emosi dan segala usaha baik, akan terbuang begitu sahaja.

18. Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Isu good governance ke mana, penyelesaian gejala moral umat Islam ke mana. Anak-anak muda yang beragama Islam, terus terhenjut-henjut hilang identiti dan jati diri Islam, tenggelam dengan budaya hedonisme – hilang nilai diri, fikiran waras dan akhlak yang mulia. Tambah menyedihkan, andaikata mereka terlanjur dan bayi menjadi mangsa.

19. Semoga kita lebih rasional dalam mencari titik penyelesaian. Yakinlah, kesepakatan dan permuafakatan umat Islam akan membawa lebih banyak keberkatan. Umpama rotan yang seutas, memang mudah dipatahkan, tetapi segenggam rotan, usahalah bagaimana sekalipun, tidak mudah untuk dibengkokkan dengan tangan.

Semoga ini menjadi iktibar kepada sesiapa yang mahu berfikir.

Wallahua’lam.

Megat A Rithauddeen

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts