Sahabat Maidam platform terbaik salur bantu asnaf


KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) membangunkan aplikasi Sahabat Maidam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat secara terus berkaitan golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M. Rozi Bidin berkata, usaha membangunkan aplikasi itu dilakukan bagi menambah baik kemudahan saluran aduan oleh orang ramai selain membantu meningkatkan cara kerja secara lebih efisien.

Katanya, kemudahan aplikasi yang disediakan sejak Julai lalu itu boleh dimuat turun oleh semua pengguna telefon pintar yang memiliki perisian Android dan iOS.

“Mereka yang ingin menyalurkan maklumat perlu mendaftar sebagai Sahabat Maidam sebelum menghantar maklumat seperti gambar dan latar belakang asnaf bagi memudahkan pihak Maidam membuat rujukan.

“Aplikasi ini juga dilengkapi kemudahan terkini seperti ‘global positioning system’ atau sistem pengesanan global (GPS) bagi memudahkan penyiasat Maidam turun ke lokasi bagi mempercepatkan proses bantuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, M. Rozi berkata, Maidam masih lagi menerima aduan mengenai kes-kes asnaf tercicir yang dilaporkan menerusi pelbagai medium antaranya Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Facebook Maidam, panggilan serta mesej tular melalui pelbagai aplikasi media sosial.

Bagaimanapun, katanya, wujud masalah dari segi pelaksanaan apabila maklumat yang diterima tidak lengkap, tidak tepat, lokasi asnaf tidak diketahui serta beberapa masalah lain.

“Kami harap masyarakat dapat memanfaatkan aplikasi ini agar maklumat aduan yang penting dan tepat sampai kepada Maidam bagi membolehkan golongan asnaf ini disantuni sekali gus meningkatkan keprihatinan mereka terhadap golongan terbabit.


“Kami juga mengalu-alukan sesiapa sahaja menggunakan aplikasi ini bagi menyalurkan secara terus maklumat yang sahih dan lengkap berkaitan golongan asnaf yang memerlukan bantuan pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.

Sementara itu, phaknya juga berhasrat untuk meningkatkan lagi fungsi aplikasi Sahabat Maidam dengan menyediakan maklumat terkini berkaitan kutipan dan agihan zakat melalui platform tersebut.

“Kami berhasrat memperincikan kutipan dan agihan zakat, penerima bantuan zakat serta perbelanjaan bagi setiap skim bantuan yang disediakan melalui aplikasi ini.

“Dengan adanya maklumat-maklumat ini, ia secara tidak langsung dapat membantu masyarakat menerima maklumat yang tepat dan terkini berhubung aktiviti yang dijalankan pihak Maidam,” katanya.

Sehingga September 2021, Maidam telah berjaya mengutip zakat yang berjumlah RM121 juta. Dalam tempoh yang sama, Maidam telah mengagihkan sebanyak RM169 juta kepada asnaf-asnaf di seluruh negeri Terengganu.- Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts