1. Begitu tinggi akhlak Saidina Uthman sehingga Rasulullah mengungkapkan bahawa orang yang paling mirip akhlaknya dengan Baginda adalah Saidina Uthman. Sabda Nabi:
أَشْبَهُ النَّاسِ بِي خُلُقًا عُثْمَانُ
Maksudnya: Orang yang paling mirip akhlaknya denganku adalah Uthman.
Ketika menghuraikan karakter para sahabatnya, Rasulullah menyifatkan Saidina Uthman sebagai orang yang paling benar malunya. Sabda Rasulullah:
وَأَصْدَقُهُمْ حَيَاءً عُثْمَانُ
Maksudnya: Dan yang paling benar malunya adalah Uthman. (HR al-Tirmizi)
2. Di sini Rasulullah menggambarkan Saidina Uthman sebagai sahabat yang memiliki sifat malu yang paling benar. Bererti ada sifat malu yang ditonjolkan oleh sebahagian kita adalah malu yang tidak benar.
3. Jika begitu apa pula yang dimaksudkan dengan malu yang tidak benar. Sabda Baginda Nabi:
لاَ يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ مُسْتَحْيٍ وَلاَ مُسْتَكْبِـرٌ
Maksudnya: Mereka yang malu dan sombong tidak akan memperolehi ilmu. (HR al-Bukhari)
Petikan hadith ini jelas menunjukkan bahawa bagi seorang pelajar, sifat malu tidak seharusnya menjadi penghalang buat dirinya untuk kehadapan. Malu dalam menuntut ilmu adalah satu sifat yang tidak benar, bahkan menjadi penghalang kepada seseorang dalam mendapatkan ilmu.
4. Dengan sebab itu Rasulullah memuji para wanita Madinah yang tidak malu untuk bertanyakan soalan yang barangkali dipandang sensitif bagi kaum wanita. Sabda Nabi:
نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ اْلأَنْصَارِ ، لَـمْ يَمْنَعْهُنَّ الْـحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِـي الدِّيْنِ
Maksudnya: Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Sifat malu tidak menghalang mereka dari menuntut ilmu. (HR al-Bukhari)
5. Antara ketinggian akhlak Saidina Uthman juga adalah tidak malu untuk menyatakan kebenaran. Pada zaman awal permulaan dakwah, Saidina Uthman adalah antara sahabat yang berani secara terang-terangan memeluk Islam. Mendengar perkara ini pakciknya al-Hakam bin Abi al-As telah mengikatnya. Bahkan riwayat yang lain menyatakan pakciknya membungkus beliau dengan tikar dan kemudian mengasapkan (memanaskan) tikar tersebut. Pun begitu Uthman masih utuh dengan pendiriannya. (al-Mubarakfuri)
6. Saidina Uthman juga adalah antara sahabat yang tidak malu untuk memberikan sumbangan buat Islam. Ketika kaum Muhajirin menghadapi kekurangan air ketika berada di Madinah, Baginda bertanya pada para sahabat sekiranya ada sesiapa yang mampu untuk menawarkan diri membeli telaga “rumah” untuk dijadikan sumber air bagi kaum Muslim. Uthman tidak malu dan teragak-agak untuk menawarkan dirinya sebagai pembeli dan mewaqafkan telaga tersebut buat kaum Muslimin.
7. Daripada perlakuan Saidina Uthman tersebut, jelaslah bahawa walaupun memiliki sifat malu yang tinggi, beliau tidak pernah untuk merasa malu dalam perkara ilmu, menzahirkan kebenaran serta memberikan sumbangan buat Islam. Ianya adalah malu yang benar.
Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)