Saintis Melayu dedah bukti lubang hitam gergasi aktif ‘telan’ objek di angkasa

 

BANGI – Nama Nur Adlyka Ainul Annuar, 27, penuntut Ijazah Kedoktoran(PhD) dalam bidang Astrofizik, Universiti Durham, United Kingdom, kini sudah tidak asing lagi dalam dunia astronomi antarabangsa.

Meminati astronomi sejak sekolah rendah dan menjadikan filem Armageddon dan Apollo 13, sebagai inspirasinya, beliau memburu lubang hitam yang aktif di angkasa raya.

“Supermassive black holes adalah lohong-lohong hitam yang sekurang-kurangnya sejuta kali lebih berat daripada matahari kita. Ia adalah supermassive black holes yang aktif ‘memakan’ benda-benda dan objek di sekelilingnya,” katanya.

Akhirnya, 8 Januari lalu, Nur Adlyka membentangkan penemuannya yang bertajuk ‘Black Holes, Green Galaxies, Old Stars & NuSTARs’ pada perhimpunan ke 229 Persatuan Astronomi Amerika di Texas.

Sejak 2014 di bawah penyeliaan Profesor Astronomi yang juga Timbalan Pengarah Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Universiti Durham, Prof David Alexander, beliau juga adalah seorang daripada saintis teleskop X-ray terbaru NASA (National Aeronautics and Space Administration, USA), yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array).

Dalam temubual eksklusif bersama MajalahSains.Com yang disiarkan semalam, pelajar tajaan Mara itu berkata, penyelidikannya adalah berkaitan ‘active supermassive black holes’ di alam semesta ini.

 

 

“Penyelidikan saya memberi tumpuan khusus untuk mencari active supermassive black holes yang tersembunyi daripada pandangan kita kerana dilindung oleh gas dan habuk yang tebal. Saya menggunakan NuSTAR untuk mencari lohong-lohong hitam ini kerana teleskop ini dapat mengesan sinaran-X (X-Ray) daripada objek-objek ini, yang dapat menembusi gas dan habuk yang tebal tersebut.

“Mencari lohong-lohong hitam tersembunyi ini sangat penting untuk membantu kita memahami bagaimana lohong-lohong hitam di alam semesta mengembang dan bagaimana ia memberi kesan kepada galaksi yang mereka duduki,” katanya.

Mengenai sumbangan beliau dalam penemuan dan bukti kewujudan ‘supermassive black holes’ itu, Nur Adlyka berkata, Galaksi NGC 1448 adalah salah satu galaksi berdekatan dengan bumi yang mengandungi ‘supermassive black hole’ aktif dan tersembunyi daripada pandangan akibat dilindungi gas dan habuk angkasa yang tebal.

“Saya merupakan ketua penyelidik salah satu (daripada dua) lohong hitam tersembunyi yang dijumpai berdekatan dengan galaksi. Lohong hitam tersebut berada di tengah-tengah galaksi NGC 1448, yang berada dalam jarak 38 juta tahun cahaya daripada galaksi kita.

“Oleh kerana saiz alam semesta kita sangat besar, di dalam dunia astronomi, jarak ini dikira sangat dekat dengan kita. Penyelidikan saya ini dibantu oleh saintis-saintis NuSTAR yang lain di serata dunia,” katanya sambil berharap kerajaan menyediakan lebih banyak pembiayaan penyelidikan dalam bidang sains kepada universiti dan pusat penyelidikan di Malaysia.

Kertas penyelidikan beliau berkaitan penemuan ini akan diterbitkan di dalam journal The Astrophysical Journal, dan versi pra-cetak kertas tersebut boleh dibaca di https://arxiv.org/abs/1701.00497.

Temubual penuh boleh diikuti di laman http://www.majalahsains.com/. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts