Saintis muda Nur Adlyka ingin jadi pensyarah astronomi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Saintis muda negara yang bersama-sama kumpulannya berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif yang tersembunyi di lingkaran kosmik semesta, Nur Adlyka Ainul Annuar, 27, bercadang pulang ke Malaysia untuk mendidik anak bangsa dalam bidang astronomi.

Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) jurusan Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom (UK) itu berkata beliau telah lama memasang niat untuk menjadi pensyarah bagi melahirkan lebih ramai saintis dalam bidang berkenaan setelah tamat pengajian kelak.

“Ini secara tidak langsung sebagai penghargaan kepada pendidikan negara yang memberi peluang kepada saya sehingga ke tahap kini.. pada asalnya saya memikirkan bidang ini kurang menyediakan prospek pekerjaan di Malaysia, namun di luar negara sangat banyak peluang pekerjaan yang disediakan dalam bidang ini.

“Sehubungan itu, harapan saya apabila menjadi pensyarah di universiti tempatan dalam bidang ini sekaligus menghasilkan lebih ramai pelajar yang terlibat dalam bidang ini dan mencipta lebih ramai tenaga serta dari situ akan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini mampu ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Warasa Supernova yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Planetarium Negara Anita Bahari.

Pada majlis itu Nur Adlyka yang merupakan bekas pelajar sekolah tersebut diberi penghargaan oleh MOSTI kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sekaligus menyuntik semangat anak-anak muda untuk meminati bidang astrofizik dan astronomi.

Beliau yang bakal menamatkan pengajian PhD antara Ogos dan September ini turut berharap agar kejayaannya memberi inspirasi kepada penyelidik-penyelidik astrofizik dan astronomi di Malaysia untuk membangunkan lagi bidang berkenaan di negara ini agar standing di mata dunia.

Anak kelahiran Muar itu merupakan antara sekumpulan pakar astronomi dunia yang berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif di sebuah galaksi yang terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari bumi.

Wanita itu membentangkan penemuan pasukannya dalam satu kertas kerja bertajuk ”Black Holes, Green Galaxies, Old Stars and NuSTARs” pada perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika Syarikat ke-229 awal tahun ini.

Nur Adlyka juga merupakan saintis teleskop X-ray terbaru di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array) sejak tahun 2014 sehingga kini.

Anak kedua daripada empat beradik itu mula minat menceburi bidang Astronomi dan Astrofizik ketika berusia 13 tahun setelah menonton filem ”Armageddon” dan ”Apollo 13”.

Sementara itu, Hashim Harun, guru Fizik yang mengajar Nur Adlyka ketika di tingkatan empat dan lima berkata bekas pelajarnya itu seorang yang pendiam dan agak sukar dijangka.

“Nur Adlyka seorang pelajar yang unik, dia kurang bercakap namun banyak berfikir dan beliau gemar bertanyakan soalan yang di luar kotak. Bagaimanapun, dia tidak sombong dan gemar memberikan tunjuk ajar kepada rakan-rakannya di dalam kelas,” katanya.

Guru Matematik Tambahan sekolah itu, Rodziah Abdul Hamid berkata Nur Adlyka seorang pelajar yang baik, mudah memahami apa yang diajar di dalam kelas dan rajin membantu rakan-rakannya untuk mencari jawapan dalam soalan yang sukar.

Sumber : astroawani

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts