1. PIHAK JAIS telah mengesahkan bahawa mereka telah memanggil Encik Sajjad sebagai proses siasatan di bawah Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor yang menyentuh soal menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.
2. Berdasarkan laporan yang diterima, pihak JAIS hanya bertugas menjalankan siasatan terhadap aduan yang diterima pada tahun 2018 dan 2020. Malah apa lebih serius, peruntukan seksyen 10 tersebut menyentuh soal penghinaan terhadap Islam. Jadi, En Sajjad seharusnya memberikan kerjasama penuh terhadap dakwaan tersebut kerana ia melibatkan isu penghinaan terhadap Islam.
3. Pihak En Sajjad pula memberikan respon bahawa beliau telah dikasari sehingga mengungkit kebaikan menganjurkan majlis amal buat pelajar tahfiz. Benar, dalam hadis Rasulullah menjelaskan bahawa amalan yang baik akan menghapuskan dosa, tetapi seseorang itu juga dituntut untuk meninggalkan dosa dan bertaubat agar amalan mereka diterima Allah.
4. Seorang Muslim tidak boleh mendakwa telah banyak bersedekah sedangkan dalam masa yang sama dia turut melakukan perkara yang dicegah yang membawa kepada dosa. Apakah bersedekah kepada pelajar tahfiz membolehkan kita melakukan perkara yang dilarang oleh Allah?
5. Satu perkara yang sering diperkatakan tentang En Sajjad adalah isu pemakaian ala wanita yang ditegah keras oleh Rasulullah. Sabda Rasulullah:
لَعَنَ اللهُ المُتَشَبهِينَ مِنَ الرّجالِ بالنّسَاءِ، وَالمُتشبِهاتِ مِن النّسَاءِ بالرّجَالْ
“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (HR al-Bukhari).
Menurut al-Imam al-Nawawi, lelaki yang berkelakuan seperti wanita dari aspek perbuatan dan pemakaian adalah termasuk dalam golongan yang dilaknat di dalam hadith ini.
6. Perlakuan dosa terlaknat seperti ini hendaklah diiringi dengan sesalan taubat untuk meninggalkan dosa tersebut. Ia bukan sekadar disucikan dengan memberi makan kepada pelajar tahfiz. Ini selaras dengan firman Allah:
وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلًا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ
“Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka.”
7. Menurut al-Imam Ibn Asyur, ayat ini menjelaskan bagaimana seorang muslim seharusnya tidak mencampurkan amalan yang soleh dengan amalan dosa dan maksiat. Mereka yang melakukan sedemikian seharusnya meninggalkan dosa-dosa yang mereka lakukan. Kata Ibn Asyur:
فالاعتراف بالذنب كناية عن التوبة منه ، لأن الإقرار بالذنب الفائت إنما يكون عند الندم والعزم على عدم العود إليه
“(Ayat al-Quran tentang) mereka yang mengakui dosa mereka ini adalah sebuah perumpaan mengenai orang yang bertaubat dari dosa mereka. Kerana pengakuan mengenai dosa yang lalu menunjukkan sikap penyesalan dan (mereka seahrusnya) berazam untuk tidak kembali kepada dosa.” (Tafsir IbnAsyur)
8. Namun apabila seseorang itu memcampurkan perbuatan baik dengan dosa, dan kemudian terus konsisten melakukan dosa, ia jelas bercanggah dengan ayat al-Quran di atas yang menuntut kaum muslimin untuk bertaubat meninggalkan dosa mereka dan mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka.
9. Malah apa yang lebih membimbangkan adalah ancaman Allah untuk tidak menerima sumbangan sedekah orang yang fasik. Firman Allah:
قُلْ أَنْفِقُوا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا لَنْ يُتَقَبَّلَ مِنْكُمْ إِنَّكُمْ كُنْتُمْ قَوْمًا فَاسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): “Dermakanlah harta kamu sama ada dengan sukarela atau kerana terpaksa, (sumbangan kamu) tidak akan langsung diterima, (kerana) sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik”.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)