Saling memaafkan dan berlapang dada

 

1. Ingatkah kita kisah Saidina Mistah bin Usasah, seorang sahabat Nabi yang miskin dan pernah menyertai Perang Badar. Disebabkan kesempitan hidup, Saidina Abu Bakar banyak membantu memberikan sumbangan dan pendanaan kepada Mistah dan keluarganya.

2. Namun, ketika berlakunya peristiwa al-Ifk (iaitu penyebaran fitnah ke atas Saidatina Aisyah), Mistah terleka dan melakukan kesilapan. Beliau dikatakan bercakap mengenai fitnah ke atas Aisyah sehingga Abu Bakar terasa dan Abu Bakar bertekad menghentikan sumbangan dan bantuan kepada Mistah dan keluarganya.

3. Lalu Allah turunkan ayat al-Quran membimbing jiwa dan nurani Abu Bakar, agar memaafkan Mistah dan tidak berhenti dari melakukan kebaikan. Firman Allah:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ ۗ

“Maafkan serta lupakanlah kesalahan mereka itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah al-Nur: 22)

4. Perhatikan ayat ini. Sebaik sahaja Allah menyebutkan tentang sifat memaafkan kesalahan orang lain, Allah susuli pula dengan ganjaran pengampunan dosa dariNya. Seakan-akan memaafkan dosa orang lain boleh menyebabkan dosa kita diampunkan oleh Allah.

5. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Alusi menjelaskan maksudnya iaitu:

ألا تحبون – أيها المؤمنون أن يغفر الله لكم ذنوبكم ، بسبب عفوكم وصفحكم عمن أساء إليكم؟

“Tidakkah kamu suka wahai orang-orang yang beriman agar Allah mengampunkan dosa-dosa kamu disebabkan kamu memaafkan dan berlapang dada dengan mereka yang telah menyakiti kamu? (Tafsir al-Alusi)

6. Kisah ini memberikan kita pengajaran bahawa, manusia melakukan kesilapan. Namun kesilapan mereka kepada kita tidak seharusnya menghentikan diri kita dari terus melakukan amal soleh dan kebaikan.

7. Melalui kisah ini juga Allah mengingatkan kepada kita bagaimana berlapang dada dan saling memaafkan sesama muslim adalah sikap yang disukai oleh Allah sehingga mampu menyebabkan Allah mengampunkan dosa kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts