Sambut hari lahir mengikut perspektif Islam

Setahun sekali akan hadir satu hari yang membuatkan setiap orang tersenyum. Mungkin gembira kerana diraikan atau diberikan ucapan penghargaan. Namun secara eksklusifnya setiap manusia akan ada sebuah tarikh untuk diingati yang diberi nama peringatan hari lahir.

Sebagai Muslim, bagaimana cara sewajarnya kita meraikan hari lahir. Atau lebih tepat lagi, bolehkah ia diraikan dan apakah hukumnya menyambut hari lahir?

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, seperti yang dipetik menerusi rakaman kuliah di laman YouTubenya berkata, hukum menyambut hari lahir adalah harus. Ia bukan sunat, tidak wajib dan bukanlah haram.

Keraian hari lahir akan lebih bermakna bila disambut dengan menepati jalur kehendak agama dan semestinya bersama insan-insan tersayang.

“Menyambut hari lahir, sama ada untuk anak, ibu, isteri atau untuk diri sendiri, hukumnya adalah harus. Perkara-perkara yang tidak ada dalil mengharamkannya, maka  kita tidak boleh kata ia haram. Ia hanyalah harus dan bukannya haram.”IKLAN

Pandangan Azhar bertepatan dengan kaedah yang dipakai oleh para fuqaha’ seperti Imam as-Suyuti iaitu, asal bagi sesuatu perkara adalah ‘harus’ dan inilah yang dipegang oleh mazhab Syafie.

“Apabila berkait dengan hukum syarak, menyambut hari lahir boleh menjadi sunat, wajib, makruh dan ia boleh bertukar menjadi haram. Biasa kita melihat orang menyambut hari lahir dengan tradisi memotong kek. Maka apakah pula hukum memotong kek?” tanya beliau.

Huraian beliau sangat jelas iaitu memakan kek tidak haram, jadi perbuatan memotong kek semestinya tidak diharamkan.

“Makan kek bukan dikaitkan dengan orang bukan Islam, malah ia adalah perkara universal. Bukan dikaitkan dengan agama.

“Adapun yang dilarang oleh ulama adalah menyalakan lilin dan kemudian ditiup. Kalau umat Islam pernah terjebak melakukan perkara itu, mohonlah istighfar dan keampunan kepada ALLAH SWT.

“Perbuatan meniup lilin bukannya amalan universal. Sebaliknya ia berdasarkan kepercayaan agama Majusi. Mereka menyalakan api di atas makanan sebagai tanda memohon keberkatan. Jadi umat Islam haram melakukannya.IKLAN

“Kemudian memotong kek dan disertai lagu-lagu. Jadi untuk mengislamkan upacara itu, kita tukar kepada zikir, selawat dan lagu yang lebih Islamik. Seterusnya disusuli bacaan doa memohon keberkatan kehidupan dan kesihatan yang terbaik kepada orang yang diraikan. Apa yang halal akan terus jadi halal dan tidak akan jadi haram.

“Islam ini bukan (berbentuk) agama (yang) melarang, (sebaliknya) ia adalah agama yang mengatur kehidupan, jangan melebihi had dan jangan melampau. Ada panduan dan aturan untuk setiap perkara,” tegas beliau lagi.

Menyorot pula budaya meniup lilin, asal sejarahnya bermula dengan amalan orang-orang Yunani (Greek) kuno meletakkan lilin di atas kek sebagai satu tanda simbolik memperingati dewa-dewa bulan Yunani iaitu Artemis. Mereka membuat kek berbentuk bulat sebagai simbol kepada bulan. Lilin-lilin di letakkan sebagai gambaran kepada cahaya bulan.

Lilin pada kek menjadi tradisi tersohor di Jerman suatu masa dulu. Dikatakan bahawa, mereka meletakkan lilin besar di tengah-tengah kek sebagai simbol “the light of life” (penerang kehidupan).

Sebahagian mubaligh percaya asap dari lilin akan membawa pergi bersama hajat dan doa mereka kepada dewa-dewa yang tinggal di langit. Ada juga yang percaya bahawa meniup lilin dengan sekali nafas akan membawa tuah kepada empunya diri dan asap lilin mampu menghalau semangat jahat.

Kita mungkin menyangkal sekeras-kerasnya dengan mengatakan bahawa kita tiada niat langsung untuk meniru mana-mana perlakuan yang menyerupai kaum atau agama lain. Mungkin kita sekadar ingin memeriahkan suasana, tetapi berhati-hati kerana kita mungkin tersasar.

Seharusnya setiap Muslim mengikut garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak melampaui batasan.

Justeru, kesederhanaan dalam segenap perkara adalah amat dituntut, termasuk dalam bab menyambut hari lahir yang dilihat oleh sesetengah masyarakat sebagai perkara kecil dan sering diambil mudah. – Sinar Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts