SEREMBAN : “Syukur… Alhamdulillah, impian saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang al-Quran dimakbulkan,” kata Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 20.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu Seremban itu akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai Isnin ini.
“Saya memang bercita-cita mendalami al-Quran hingga ke peringkat tertinggi, sekali gus merealisasikan impian untuk bergelar pensyarah di peringkat antarabangsa.
“Saya juga berazam untuk terus aktif menjalankan usaha dakwah di peringkat tempatan dan antarabangsa terutama membabitkan belia.
“Paling penting, saya ingin menyumbang dalam pembangunan generasi muda dan berharap dapat menimba ilmu sebanyak mungkin sepanjang berada di UKM,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dia ditemui selepas menerima hadiah dan sumbangan wang tunai daripada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Selain pernah memenangi tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun lalu, Nor Farhatul Fairuzah turut dinobatkan selaku Tokoh Belia Harapan Negeri Sembilan 2019 dan Anugerah Khas Belia Kebangsaan, tahun sama.
Sementara itu, Aminuddin mengucapkan tahniah kepada Nor Farhatul Fairuzah di atas kejayaannya.
“Saya berharap golongan muda dapat mengikuti jejaknya yang menguasai al-Quran dengan baik, pada masa sama berjaya dalam pelajaran,” katanya. -MyMetro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)