PUTRAJAYA: “Walaupun masih teruja menerima anugerah ini, saya tidak boleh berehat kerana kematian pesakit COVID-19 semakin meningkat, amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan,” kata Roslee Ali, 63.
Penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di Gombak itu, memberi reaksi demikian selepas dipilih menerima Anugerah Khas Frontliner (Petugas Barisan Hadapan) Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 143H/2021M yang diumumkan hari ini.
Katanya, dia tidak menyangka dipilih menerima anugerah sebesar itu kerana memang tidak pernah melalui pengalaman sedemikian sejak menjadi penggali kubur sepenuh masa bermula 2011 selepas kematian isteri.
“Selepas isteri meninggal dunia, saya jadi penggali kubur sepenuh masa kerana ia sebahagian daripada fardu kifayah bagi membantu waris menguruskan jenazah, selain memperolehi sumber kewangan untuk menyara diri,” katanya yang tinggal di Taman Sentul Utama di Sentul bersama anak.
Katanya, berita pemilihannya sebagai penerima anugerah itu dimaklumkan oleh rakan-rakan dan dia memang terkejut kerana pengharagaan itu adalah hadiah tidak disangka-sangka selain dapat mengangkat martabat petugas-petugas lain.
“Kejayaan ini bukan untuk saya seorang, tetapi buat semua rakan yang menceburi bidang ini supaya mereka dapat terus berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Bapa kepada enam anak ini, berkata sejak menjadi penggali kubur, dia sudah menyempurnakan ribuan liang lahad bersama rakan setugas di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Sejak pandemik COVID-19 melanda, jumlah kematian semakin meningkat dan kadangkala saya serta rakan terpaksa bekerja lebih masa bagi menyempurnakan pengebumian jenazah pesakit yang perlu diurus dengan cepat.
“Kadangkala terfikir juga risiko menguruskan jenazah pesakit COVID-19 ini, tetapi sebagai orang Islam, saya percaya asbab kematian boleh jadi apa sahaja dan boleh berlaku di mana sahaja. Namun, pada masa sama saya tidak abaikan langkah keselamatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Roslee berterima kasih kepada JAWI kerana memilihnya menerima anugerah khas itu yang didedikasikannya untuk arwah isteri, Rosnah Ahmad yang meninggal dunia 10 tahun lalu.
“Saya akan terus dengan kerjaya ini selagi termampu dan semoga Allah SWT kurniakan kesihatan yang baik dan berterusan untuk saya terus berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Pemilihan Roslee diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Datuk kepada 16 cucu itu menerima hadiah wang tunai, sijil dan plak penghargaan.
Pemenang dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti daya kepemimpinan dan teladan, sumbangan kepada masyarakat, organisasi dan negeri.
Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral (B) Datuk Kamarudin Mamat dianugerahkan Tokoh Utama Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H.
Penerima lain terdiri Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari bagi Anugerah Tokoh Frontliner 1, manakala Tokoh Korporat dianugerahkan kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Ramly Mokni.
Tokoh Pendakwah Kreatif dianugerahkan kepada pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya, manakala Tokoh Mualaf kepada Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Nur Maisarah Leong Yoke Keen. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)