GOMBAK – “Saya ingat pesan seorang ustaz, buatlah kebaikan walaupun sedikit. Jadi saya cuba amalkan dan rasa gembira bila mudahkan urusan orang,” demikian reaksi awal, Rahimi Ali Bakri pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu.
Rahimi menjadi perhatian masyarakat apabila video menunjukkan dia sedang menyusun selipar jemaah Masjid Al-Sharif, Simpang Tiga Gombak diviralkan dan mendapat respons positif daripada pelayar internet.
Mendekati anak bongsu daripada lima beradik itu sedikit sukar kerana Rahimi sememangnya seorang yang pemalu dan tidak banyak cakap.
Usai solat Isyak ketika tazkirah mulai kedengaran, Rahimi memulakan tugasnya menyusun selipar bersendirian.
Rahimi berkata, dia sendiri tidak gemar dengan keadaan bersepah dan itu turut mendorongnya mengambil masa kira-kira lima hingga 10 minit untuk kerja sukarela itu, sementara menunggu solat tarawih.
“Saya susun selipar hanya di masjid, kalau di rumah dan sekolah tak pernah pula. Selain nampak kemas, saya juga gembira bila jemaah yang nak balik senang mahu cari kasut atau selipar masing-masing.
“Pernah beberapa kali juga saya lihat beberapa jemaah ambil masa lama untuk cari kasut mereka, jadi terus datang idea saya mudahkan mereka dengan menyusunnya,” katanya.
Rahimi berkata, selepas kisahnya diviralkan, aktiviti menyusun selipar di masjid itu diteruskan seperti biasa.
“Kalau ada masa lapang saya susun, ada juga beberapa kali tak sempat buat kalau terlalu sibuk. Saya buat kerja di masjid tidak disuruh sesiapa, sebaliknya sukarela tanpa harapkan bayaran.
“Walaupun nampak kecil, tapi ia cukup bermakna dan berharap jadi ikutan anak muda lain kerana caranya mudah dilakukan,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa masjid, Ismail Zakaria, 60, berkata, pihaknya berbangga dengan sikap remaja berkenaan yang turut menaikkan nama Masjid Al-Sharif kepada umum.
“Walaupun nampak kecil tapi ia memberikan kesan yang amat dalam apabila kerja itu bukan sahaja mendapat pujian, sebaliknya menjadi ikutan di kawasan lain.” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/saya-tak-harap-apa-apa-ganjaran-1.532901