Sebat lesbian bukti serius tangani LGBT: Dr Samsuri

 

KUALA TERENGGANU: Hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, membuktikan pihak berkuasa serius melaksanakan undang-undang membendung amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pelaksanaan hukuman buat kali pertama di Terengganu itu juga diharap dapat menjadi titik tolak membendung amalan LGBT serta pergaulan bebas secara lebih tegas.

Beliau berkata, golongan LGBT yang menentang hukuman berkenaan perlu memahami bahawa perlakuan songsang mereka bertentangan dengan hukum agama dan budaya masyarakat Islam yang perlu ditangani.

“Sebagai pentadbir sebuah kerajaan, kita mendukung prinsip undang-undang yang mana tindakan yang salah dalam enakman, undang-undang dan peraturan, haruslah dikenakan tindakan.

“Kerana undang-undang itu ada, maka kita tegakkan undang-undang itu dan mereka (pengamal LGBT) yang tidak puas hati kena faham perkara ini.

“Hubungan songsang ini perlu dibendung dan kita percaya (hukuman sebatan) ini menghantar mesej bahawa perbuatan tidak sesuai dan salah seperti ini (LGBT) tidak wajar dilakukan,” katanya selepas merasmikan Seminar Kearifan Tempatan – Tekstil dan Pelancaran ‘e-Commerce’ Muzium Maya di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A Kassim dan Pengarah Muzium Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam, mengenakan hukuman masing-masing enam sebatan terhadap dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun.

Dr Ahmad Samsuri berkata, apa yang lebih penting kini adalah bagaimana hukuman berkenaan boleh dijadikan bentuk pendidikan untuk mendidik anak muda mengenai kesalahan amalan LGBT sekali gus menangani penularan gejala itu yang semakin membimbangkan. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts