Manusia dan jin adalah dua jenis makhluk yang sering disebut dalam al-Quran. Walaupun memiliki sifat berbeza, namun apa yang pasti kedua-duanya akan ditaklifkan dan dipertanggungjawabkan dengan amanah melalui proses hisab di akhirat kelak.
Lantas, mempercayai bahawa adanya perkara-perkara ghaib seperti jin dan malaikat adalah tanda keimanan.
Sungguhpun begitu, tidak banyak yang kita ketahui tentang dunia jin, melainkan melalui pengkhabaran yang disebutkan dalam al-Quran serta riwayat-riwayat yang sahih daripada Nabi SAW.
Antaranya, kita mengetahui bahawa golongan jin dicipta daripada api dan mampu melihat manusia sedangkan manusia tidak dapat melihat mereka.
Firman ALLAH SWT, “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah Al-A’raf, ayat 27)
Tambahan, ada satu ungkapan yang begitu terkenal dalam masyarakat kita iaitu ‘seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin’. Maka, tanggapan biasa oleh orang-orang kita adalah jin yang paling baik adalah seperti manusia paling buruk.
Jin dan manusia dapat balasan sama
Sebenarnya bangsa jin diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat sama seperti manusia, iaitu beribadah kepada ALLAH serta mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-NYA.IKLAN
Sekiranya golongan jin mentaati apa yang disuruh, maka ALLAH juga akan reda kepada mereka. Sekiranya mereka melakukan dosa dan kemaksiatan kepada ALLAH, maka balasan hukuman dan azab menanti mereka.
Penilaian ALLAH itu adil dan saksama, sesuai dengan apa yang dilakukan.
Firman ALLAH, “…sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan…” (Surah al-Jinn, ayat 12)
Benarkah seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin?
Jelas portal Mufti Wilayah Persekutuan, jin juga seperti manusia iaitu ada segolongan yang baik dan ada juga sebahagian yang jahat.
Maka, baik manusia mahupun jin, kedua-dua golongan itu adalah hamba ALLAH SWT. Malah, tidak boleh dibezakan dalam hal balasan dan ganjaran kerana di sisi ALLAH, tingkatan ibadah hamba-hamba-NYA adalah sama sahaja.
Lantaran itu, pihak Mufti berpandangan bahawa kenyataan ‘seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin’ adalah tidak benar kerana golongan jin yang beriman, soleh dan taat kepada perintah ALLAH SWT sudah tentu lebih baik daripada manusia yang kufur serta melakukan maksiat dan ingkar kepada-NYA.
Selain itu, untuk pengetahuan, ungkapan ‘seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin’ juga tidak ditemui dalam mana-mana dalil atau hadis, baik sahih mahupun da‘if. – Sinar Islam Plus
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM