Sedekah tanpa duit

Terdapat banyak manfaat dan kelebihan bagi orang yang bersedekah yang tertulis di dalam al-Quran mahupun hadis Nabi sallallahu ‘alahi wa sallam sehingga diceritakan di dalam al-Quran bahawa orang yang telah mati pun meminta dihidupkan kembali supaya dapat bersedekah.

وَأَنفِقُوا۟ مِن مَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن یَأۡتِیَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَیَقُولَ رَبِّ لَوۡلَاۤ أَخَّرۡتَنِیۤ إِلَىٰۤ أَجَلࣲ قَرِیبࣲ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِینَ

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh.”
(Al-Munafiqun : 10)

Hal ini berlaku kerana pada saat itu si mati mengetahui bahawa banyaknya pahala sedekah yang mampu menyelamatkannya daripada azab seksa. Namun demikian, bagaimana pula keadaan mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pahala orang yang bersedekah?

Pada zaman Nabi sallallahu ‘alahi wa sallam terdapat para sahabat radhiallahu ‘anhum yang cemburu terhadap orang yang kaya kerana mampu mendapatkan pahala yang lebih disebabkan perbuatan sedekah mereka. Lalu Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam mengajarkan para sahabat amalan yang dikira sebagai pahala sedekah.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أن ناسا من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم قالوا له : يا رسول الله ، ذهب أهل الدثور بالأجور، يصلون كما نصلي، ويصومون كما نصوم، ويتصدقون بفضول أموالهم. قال: أوليس قد جعل الله لكم ما تصدّقون؟ إن لكم بكل تسبيحة صدقة، وكل تكبيرة صدقة، وكل تحميدة صدقة، وكل تهليلة صدقة، وأمر بالمعروف صدقة، ونهي عن منكر صدقة، وفي بضع أحدكم صدقة، قالوا: يا رسول الله، أيأتي أحدنا شهوته ويكون له فيها أجر؟ قال: أرأيتم لو وضعها في حرام، أكان فيها وزر؟ فكذلك إذا وضعها في حلال كان له أجر

“Beberapa orang sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada baginda: “Ya Rasulullah, orang-orang kaya telah membawa pergi pahala-pahala, (kerana) mereka solat sepertimana kami solat, mereka berpuasa sepertimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka.”

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam: “Tidakkah Allah telah menjadikan sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Bagi kamu setiap tasbih (Subhanallah) dikira sedekah, setiap takbir (Allahu akbar) dikira sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) dikira sedekah, setiap tahlil (La ilaha illa Allah) dikira sebagai sedekah, perbuatan menyeru kepada kebaikan dikira sedekah, mencegah kemungkaran dikira sebagai sedekah dan bagi setiap hubungan suami isteri juga dikira sedekah.”

Sahabat bertanya: “Adakah seseorang melepaskan syahwatnya (bersama isterinya) diberikan pahala?”

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam: “Tidakkah kamu melihat jika dia melepaskannya pada jalan haram maka dia dikenakan dosa? Begitu jugalah jika dia melepaskannya pada jalan halal maka dia akan diganjari pahala.”
(HR Muslim)

Di dalam lafaz yang lain, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

يُصْبِحُ عَلى كُلِّ سُلامَى مِنْ أَحدِكُمْ صَدَقةٌ: فكُلُّ تَسْبِيحةٍ صدقَةٌ، وكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وكُلُّ تَكْبِيرةٍ صدقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالمعْرُوفِ صَدقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ المُنكَرِ صدقَةٌ. وَيُجْزِيءُ مِنْ ذلكَ ركْعتَانِ يَرْكَعُهُما منَ الضُّحَى

“Bagi tiap-tiap sendi daripda anggota badan salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh dicukupi dengan dua rakaat solat Dhuha.”
(HR Muslim)

Selain itu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

كل سُلَامَى من الناس عليه صدقةٌ، كل يومٍ تطلع فيه الشمس: تعدل بين اثنين صدقةٌ، وتعين الرجل في دابته فتحمله عليها أو ترفع له متاعه صدقةٌ، والكلمة الطيبة صدقةٌ، وبكل تمشيها إلى الصلاة صدقةٌ، وتميط الأذى عن الطريق صدقةٌ

“Setiap sendi daripada anggota badan manusia diwajibkan bersedekah setiap harinya selama matahari masih terbit: Kamu mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kendaraannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, setiap langkah kakimu menuju tempat solat juga dikira sedekah dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.” 
(HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam juga bersabda :

علَى كلِّ مُسلمٍ صدقةٌ. قال: أرأيتَ إنْ لم يجدْ؟ قال:يعمَلُ بيدَيْهِ فينفعُ نفسَه ويتصدَّقُ. قال: أرأيتَ إنْ لم يستطِعْ؟ قال: يُعِينُ ذَا الحاجةِ الملْهُوفَ. قال: أرَأيتَ إِنْ لم يَستطِعْ؟ قال: «يَأمرُ بالمعروفِ أو الخيرِ» قَالَ: أرأيتَ إِنْ لم يَفعَلْ؟ قالَ: يُمسِكْ عَنِ الشَّرِ فإِنَّها صَدقةٌ.

“Setiap orang Islam itu haruslah bersedekah.” Sahabat bertanya : “ Bagaimana kalau dia tidak menemui sesuatu (untuk disedekahkan)?” Baginda menjawab : “Sekiranya tiada maka hendaklah dia bekerja dengan kedua tangannya, kemudian dia dapat memberikan manfaat pada dirinya sendiri dan dapat bersedekah.” Dia bertanya lagi : “Bagaimana kalau dia tidak mampu melakukannya?” Baginda menjawab: “Hendaklah dia memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukan bantuan.” Dia bertanya lagi : “Bagaimana kalau itu pun tidak mampu dilakukannya?” Baginda menjawab: “Hendaklah dia menyuruh orang lain melakukan kebaikan.” Dia bertanya lagi: “Bagaimana jika itu pun tidak mampu dilakukannya?.” Baginda menjawab : “Hendaklah dia menahan diri daripada melakukan perbuatan jahat, maka yang demikian itu juga merupakan sedekah baginya.” 
(Muttafaqun ‘Alaih)

Hadis-hadis di atas menjelaskan beberapa amalan yang dikira sebagai pahala sedekah tanpa perlu mengeluarkan duit.

Begitu banyaknya kemudahan yang Allah berikan kepada hamba-Nya dalam melakukan kebaikan sehingga pahala sedekah juga boleh dirasai oleh sesiapa sahaja tanpa mengkhususkan orang yang kaya.

Para ulama’ berpandangan bahawa amalan-amalan yang disebutkan di dalam hadis di atas boleh diperluaskan lagi, ia adalah contoh amalan yang dikira sebagai sedekah tetapi bukan terhad kepada amalan itu sahaja.

Sedekah tidak hanya bersifat materialistik, bahkan dengan memanfaatkan setiap anggota badan kita ke arah kebaikan dan menahan diri daripada melakukan keburukan juga adalah amalan yang akan dinilai sebagai sedekah di sisi Allah apabila dilakukannya dengan penuh keikhlasan.

Wallahua’lam.

Semoga penulisan ini memberi manfaat dan semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua.

Ustaz Luqman Afifi bin Sabri
Sarjana Muda Syariah, Universiti Yarmouk Jordan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts