Sejarah dan pertembungan tamadun

 

Paksi sejarah Islam adalah sejarah turun naik al-haqq (kebenaran). Ia adalah tentang pertembungan antara al-haqq dan al-batil. Ia bukan sejarah perkembangan evolusi tubuh manusia atau perkembangan ekonomi atau perkembangan teknologi dan kemodenan. Ini beza utama antara penulisan sejarah Islam dan Barat.

2. Al-haqq datang membawa risalah ubudiah dan mengatur keharmonian hubungan sesama manusia dan makhluk. Salah sekiranya ada yang menghadkan al-haqq itu sebagai ritual ibadah yang Allah wajibkan ke atas manusia semata-mata. Sebaliknya al-haqq itu sendiri menuntut agar manusia membangunkan kehidupan manusia di dunia dengan makmur, sejahtera dan harmoni. Bukti dari sejarah awal manusia itu sendiri menunjukkan demikian:

– Nabi Adam as membawa hakikat tauhid dan tatatertib ibadah kepada Allah. Tetapi di masa yang sama Allah bekalkan kepadanya lisan pertuturan untuk berkomunikasi, mengenal fungsi alam dan makhluk, sistem perkahwinan dan ikatan kekeluargaan, teknologi penternakan dan teknologi pertanian.

– Nabi Idris as, nabi ketiga selepas Adam as dan Syis as menyeru manusia agar terus menyembah Allah. Dan di masa yang sama Allah ajarkan kepadanya penggunaan pena untuk menulis wahyu, menenun dan menjahit baju (umat sebelumnya menyarung kulit binatang menutupi tubuh), menjinakkan kuda dan memulakan jihad di jalan Allah menentang penjahat lalu menawan tawanan.

3. Al-batil pula datang membawa falsafah melawan Allah dan kemudian memusnahkan keharmoniaan hubungan sesama manusia. Lihatlah kisah yang ditunjukkan di dalam al-Quran dan hadis berkenaan kisah awal penciptaan Adam as.

– Nabi Adam dihasut untuk melanggar perintah Allah sedangkan Allah tetapkan peraturan yang kecil sahaja kepada Adam as sebagai simbol manusia yang bebas di dalam syurga itu tetap perlu tunduk kepadaNya.

– Qabil dihasut untuk mempersembahkan tanaman rosak kepada Allah. Juga diajar membunuh oleh Iblis tetapi tidak diajar mengebumikan jenazah. Keturunan Qabil juga terus didampingi oleh Iblis dan sebahagiannya sentiasa mencari peluang mengingkari arahan Allah dan mengkucar-kacirkan kehidupan manusia.

4. Hizbullah adalah istilah yang Allah berikan kepada pendukung al-haqq. Mereka akan yang sentiasa dibantu oleh Allah dan malaikat. Hizbussyaitan adalah istilah yang Allah berikan kepada pendukung al-batil. Mereka sentiasa didampingi dan diilhami oleh Iblis. Dan ianya berterusan hingga kiamat. Peranan Allah dan Iblis dalam pertembungan al-haqq dan al-batil tidak pernah berhenti. Mustahil kemunculan Iblis memberikan idea jahat kepada manusia berakhir hanya di perang Badar sahaja. Dan terbukti juga banyak bantuan luar biasa Allah tunjukkan kepada para pejuang hingga ke hari ini dan ia tidak berakhir hanya di zaman Rasulullah ﷺ sahaja.

5. Dua Raja Muslim (Sulaiman as dan Iskandar Zulqarnain) dan dua Raja Kafir (Namrud dan Bakhtansar) adalah ikon yang di belakangnya terdapat ciri-ciri tamadun al-haqq dan al-batil.

Empat nama ini disebut oleh Rasulullah ﷺ di dalam satu hadis dan ini menunjukkan ada sesuatu yang perlu difahami oleh kita dari petunjuk hadis tersebut.

6. Jika paksi kepada al-haqq dan al-batil di zaman para nabi adalah pada sosok tubuh nabi dan taghut di zaman itu, keadaan berubah selepas era kenabian. Teras kepada al-haqq dan al-batil di zaman akhir ini adalah pada al-Quran dan Talmud. Perlu kaji dengan terperinci kedua-duanya untuk mencari falsafah tamadun kedua-dua pihak; al-haqq dan al-batil.

– Al-Quran adalah wahyu Allah yang asli, tidak berubah walau satu huruf. Tidak ada sesiapa yang dapat buktikan campur tangan manusia dalam penulisan al-Quran.

– Talmud adalah kitab palsu yang disandarkan secara batil kepada Allah. Ia kononnya adalah wahyu rahsia yang diturunkan secara lisan dari Nabi Musa as kepada generasi di bawahnya. Berterusan hingga puluhan generasi, kemudian baru ditulis di dalam kitab yang dinamakan Mishnah. Kemudian disyarah oleh pendeta Yahudi di dalam kitab yang dinamakan Gemara. Keduanya digabungkan lalu membentuk Talmud. Ia adalah rujukan Yahudi hingga ke hari ini. Bahkan dari Talmudlah lahirnya Protokol Zionis.

7. Garis masa sejarah perlu ditulis berdasarkan panduan al-Quran dengan sokongan ilmu arkeologi dan ilmu lain, dan bukan sebaliknya. Kesilapan besar kepada kita jika kita menyimpulkan dapatan sejarah silam berdasarkan kajian arkeologi kemudian menggunakan al-Quran dan hadis untuk menguatkan dapatan kajian tersebut.

– Dapatan arkeologi Barat menyimpulkan manusia bermula primitif kemudian baru maju dan bertamadun.

– Al-Quran menunjukkan manusia bertamadun dan hidup mulia dari awal penciptaan (berbahasa, menulis, berpakaian, berkeluarga, bertani dan sebagainya). Dapatan arkeologi sepatutnya ditafsirkan sebagai satu titik hitam dalam pertengahan sejarah manusia yang terkeliru lalu mencipta kehidupan baru mereka tanpa tamadun.

8. Perlu kaji perincian panduan al-Quran tentang kebangkitan Yahudi kali kedua (falsafah, ciri-ciri, kekuatan, kelemahan, rangkaian, pengaruh dan lain-lain). Di samping memahami hadis-hadis tentang akhir zaman sebaiknya untuk mendapatkan gambaran tentang peranan yang muslim perlu mainkan dalam mengubah perjalanan dunia yang diinginkan Yahudi.

9. Bahagian penting dalam sejarah pertembungan di era moden adalah peristiwa kurun ke 15-17, di mana berlakunya perpindahan kuasa tamadun secara beransur-ansur dari Islam ke Barat. Tiga peristiwa besar di zaman itu yang perlu diperhalusi (penemuan jalan laut ke Timur oleh Eropah, kejatuhan Andalus dan penaklukan Konstantinople).

10. Juga perlu untuk memahami falsafah Yahudi dan Barat dari sejarah revolusi Perancis dan yang berkaitan dengannya. Serta perlu dikaji bersamanya bagaimana Yahudi merosakkan agama Kristian sehingga membawa kepada perdamaian atau ketundukan Kristian kepada Yahudi. Juga perlu dikaji bagaimana munculnya ideologi-ideologi besar dunia yang dihidupkan dengan nafas baru dari falsafah lama lalu merosakkan falsafah Islam yang menjadi pegangan dunia.

11. Perlu dikaji lebih berkenaan elit Yahudi sebagai aktor penjajahan, bukan fokus kepada kajian negara. Ini supaya watak sebenar dapat dikenal pasti. Syarikat yang muncul di zaman penjajahan lebih patut dikaji melebihi negara itu sendiri. Kajian tentang budaya negara sahaja mungkin akan hanya mengelirukan dan membawa kepada kesimpulan yang salah. Tentang sejarah alam Melayu contohnnya, kajian tentang Al-Burqueque dan Portugal atau Light dan England tidaklah sepenting kajian tentang Syarikat Hindia Timur. Di Afrika muncul The Royal Africa Company, dan begitulah juga jika dikaji di keseluruhan negara Islam yang dimasuki penjajah.

12. Pembahagian zon dunia dan mengenalpasti setiap ciri zon (Arab, Afrika, Eropah, China, Benua India, Alam Melayu, rumpun Turki dan sebagainya). Setiap zon ada peristiwa-peristiwa kecil dan aktor yang dapat membantu dalam pembinaan tasawwur pertembungan utama dan besar. Rugi jika hanya fokus dan besarkan satu peristiwa kecil kerana ia tidak mampu membentuk generalisasi yang tepat.

Sebahagian pengkaji tenggelam mengkaji secara mendalam peristiwa kecil.

13. Gali lagi sejarah alam Melayu dan sejarah dunia dari sumber primer yang tersimpan di luar (Leiden, arkib London, Vatican City, sumber Portugal dan Sepanyol, sumber Othmaniah dan-lain-lain). Dapatan yang dirumuskan sekarang hanyalah bersumberkan beberapa persen sumber primer. Sedangkan banyak lagi bahan yang belum diteroka. Arkib Ankara sahaja menyimpan 12 juta manuskrip yang masih belum selesai dikatalaogkan. Othmaniah yang berinteraksi dengan Eropah, Asia, Arab, Afrika dan lainnya sudah tentu mencatat banyak isu-isu pertembungan tamadun yang berlaku di kurun ke-14 hingga hari ini.

14. Membina naratif berdasarkan metodologi pembuktian sejarah yang tersendiri. Tidak terikat dengan disiplin sejarah Barat. Penting memahami falsafah Ibn Khaldun dalam Mukadimah Ibn Khaldun sekurang-kurangnya. Usaha Prof al-Attas memperkenalkan bukti kewujudan dari bukti budaya dan Bahasa adalah satu contoh yang baik yang boleh meluaskan dapatan dan kesimpulan sejarah. Berbanding metodologi Barat yang amat menekankan tentang artifak, monument, arkeologi dan sebagainya sedangkan merekalah penghapus dan pencuri artifak dan manuskrip.

Wallahu a’lam. Moga bermanfaat buat pembaca.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts