Pada kurun ke-8 Hijrah sebuah Tafsir yang dikarang oleh al-Zamakhsyari, seoarang Mu’tazilah, telah dijadikan sebagai buku rujukan utama di madrasah serta pusat pengajian Islam di serata negeri Islam. Jadi bagaimanakah alKashshaf boleh menjadi rujukan utama?
1/23 Tafsir al-Kashshaf adalah sebuah Tafsir yang paling tinggi dalam tingkatan Ilmu Balaghah dan Bahasa Arab. Namun, tahukah kita sebelum hadirnya Tafsir al-Baydawi dan Tafsir Ibn Kathir, al-Kashshaf adalah tafsir yang paling unggul dan masyhur di dalam sejarah tafsir.
2/ Al-Zamakhshari (W. 538) adalah antara tokoh Bahasa Arab yang terkemuka yang hidup pada kurun ke-6 Hijrah. Beliau sendiri telah menganggap Bahasa Arab sebagai Ratu segala Bahasa walaupun bahasa ibundanya ialah Bahasa Parsi.
3/ Al-Kashshaf benar-benar telah menempah namanya di kalangan ilmuan Islam apabila ianya dijadikan Tafsir yang paling banyak disyarahkan (Walaupun sang penulisnya adalah seorang Mu’tazilah!).
4/ Jadi bagaimankah al-Kashshaf boleh menjadi sumber yang utama di dalam memahami Tafsir Al-Quran di dalam arena Intelektual Islam?
5/ Tren ini terjadi apabila kita mengenalpasti tradisi Ulama’ yang menulis Hasyiah ke atas al-Kashshaf yang boleh dibahagikan kepada 3 kategori:
1. Ditulis untuk membantah Mu’tazilah
2. Ditulis untuk semata² sebagai syarahan dan takhrij hadis-hadis
3. Ditulis untuk membincang perihal Bahasa Arab
6/ Hasyiah yang termasuk dalam kategori 1 ialah yang ditulis oleh Taqi al-Din al-Subki (W. 756); Sabab al-Inkifaf ‘an Iqra’ al-Kashshaf. Makna tajuk hasyiah ini yang mudah difahami ialah, sebab-sebab kenapa aku berhenti dari mengajar al-Kashshaf.
7/ al-Subki adalah seorang yang pakar di dalam Tafsir al-Quran & berfahaman Ash’ari, sudah tentulah apabila mengajar tafsir ini beliau akan melalui beberapa penulisan al-Zamakshari yang bertentangan dengan pegangan beliau.
8/ Al-Subki juga telah belajar serta membaca al-Kashshaf bersama gurunya, Ibn Bint al-‘Iraqi (W. 704), seorang tokoh ulung pada kurun ke-7 Hijrah dan mengajar di Madrasah Mansuriyah di Kaherah.
9/ Ketika al-Subki masih seorang penuntut beliau telah melihat perdebatan antara gurunya dengan seorang lagi tokoh besar iaitu Ibn al-Munayyir (W. 683).
10/ Perdebatan ini sangatlah signifikan kerana dikatakan Ibn al-Munayyir adalah tokoh pertama yang menyanggah al-Zamakhshari dan al-Kashshaf, manakala Ibn Bint al-‘Iraqi adalah orang yang pertama membela al-Zamakhshari dan al-Kashshaf.
11/ Perdebatan ini sekaligus telah mengangkat al-Kashshaf sebagai sebuah rujukan utama di persada institut pengajian Islam pada ketika itu.
12/ Namun, pada penghujung karier, beliau tidak dapat lagi membendung perasaannya terhadap beberapa kepercayaan Mu’tazilah di dalam al-Kashshaf. Sehingga pernah diceritakan apabila seorang sahabatnya dari Madinah datang ke Kaherah telah meminta satu salinan Tafsir al-Kashshaf,
13/ beliau berdalih dan berat untuk memberikan Salinan tersebut. al-Subki secara jelas berkata niat beliau untuk belajar al-Kashshaf adalah untuk mengetahui isinya untuk di’bersihkan’ isi-isi Mu’tazilah, tetapi perkara yang sebaliknya telah berlaku.
14/ Hasyiah kedua yang penting untuk diceritakan di sini ialah yang telah ditulis Jalal al-Din al-Suyuti (W. 911), Nawahid al-Abkar wa Shawarid al-Afkar. Pada asalnya, Hasyiah ini telah ditulis ke atas Tafsir al-Baydawi,
15/ yang mana Tafsir al-Baydawi juga sebenarnya adalah Hasyiah ke atas Tafsir al-Kashshaf. Ini bermaksud, secara teknikalnya al-Suyuti telah menulis satu Hasyiah yang berkait ke atas 2 tafsir, iaitu al-Kashshaf dan al-Baydawi.
16/ Di dalam Nawahid ini al-Suyuti telah bertindak untuk membela al-Kashshaf dari serangan yang telah dilontarkan oleh al-Bulqini, seorang tokoh yang telah belajar tafsir dengan Abu Hayyan al-Gharnati dan Abu al-Thana’ al-Isfahani.
17/ AlBulqini yang terkenal di dalam bidang al-Quran dan al-Sunnah telah melontar bahawa alKashshaf dipenuhi dengan hadis-hadis yang lemah, alSuyuti membalas semula dengan mengatakan bahawa al-Kashshaf adalah sebuah tafsir yang mengutamakan Nahu dan Balaghah sebagai metod utama.
18/ Al-Suyuti menekankan lagi bahawa aspek Balaghah seperti al-Bayan dan al-Ma’ani inilah yang telah melonjakkan al-Kashshaf sebagai sebuah tafsir yang utama.
19/ Hasyiah yang ketiga pula telah ditulis oleh Abu al-Hinna’i Qinalizade (W. 979), al-Muhkamat al-‘Aliyah fil al-Abhath al-Radawiyah fi I’rab ba’di al-Āyi al-Quraniyyah.
20/ Penulisan ini sangat menarik, kerana ianya adalah penulisan jawapan balas ke atas seorang lagi tokoh iaitu Badr al-Din al-Ghazzi, berkenaan permasaalahan dan hukum I’rab oleh al-Zamakshari dan pentarjihan di antara Abu Hayyan al-Gharnati dan al-Samin al-Halabi.
21/ Ceritanya bermula apabila al-Ghazzi menulis sebuah Tafsir yang telah dinazamkan (ini adalah yang pertama di dalam sejarah!), dan telah disempurnakan penulisan dan pembacaan nya di sisi Maqam Nabi Yahya di Masjid Umawi, serta diperbincangkan 10 permasaalahan tentang I’rab,
22/ Qinalizade yang turut berada di dalam majlis tidak bersetuju dengan pendapat alGhazzi lantas mencabar beliau untuk menulis hujjah beliau, maka terhasillah Hasyiah alDur alThamin fi alMunaqasyah baina Abi Hayyan wa al-Samin. Lantas, Qinalizade membalas semula hujjah al-Ghazzi.
23/ Di antara Hawasyi ke atas al-Kashshaf yang utama ialah:
1. Hasyiah al-Tibi
Sharaf al-Din al-Tibi yang telah mengarang Futuh al-Ghayb fi al-Kashf ‘an Qina’ al-Ghayb yang merupakan sebuah Hasyiah kepada Tafsir al-Kashshaf dan Tafsir al-Kashf wa al-Bayan oleh al-Tha’labi. Ibn Hajar, al-Suyuti dan Qinalizade telah mengangkat dan memuji Hasyiah al-Tibi ini dan mengatakan ianya adalah Hasyiah yang paling lengkap ke atas al-Kashshaf
2. Hasyiah al-Taftazani & Hasyiah al-Jurjani
Hasyiah al-Taftazani yang dikarang oleh Sa’d al-Din al-Taftazani merupakan Hasyiah yang paling terpenting dan merupakan rujukan utama ketika zaman pemerintah Uthmaniyah. Dan di sebalik Hasyiah ini ada kisah yang amat menarik dan juga telah menyumbang kepada kepesatan pembangunan intelektual Islam. Hasyiah ini telah ditulis kerana berlaku nya perdebatan di antar al-Taftazani dan al-Syarif al-Jurjani (yang juga menulis Hasyiah al-Kashshaf) berkenaan Syarah al-Zamakhshari ke atas ayat 5 surah al-Baqarah. Perdebatan ini berlaku di depan pemimpin pada ketika itu, Timur Lenk. Dipercayai al-Jurjani telah Berjaya menguasai perdebatan itu, dan akibat daripada itu al-Taftazani dilanda kesedihan yang amat sehingga ia membawa beliau kepada sakit yang membuatkan beliau meninggal.
Bilakah pengaruh al-Kashshaf mulai berkurang?
Jawapan ringkasnya ialah apabila al-Suyuti mula memperkenalkan Tafsir Al-Baydawi sebagai teks utama serta mengangkat al-Tafsir bi al-Ma’thur yang telah direkayasakan oleh Ibn Taimiyah.
Wallahuaalam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)