Kuala Lumpur: Hebatnya jiwa bersedekah rakyat Malaysia apabila berjaya mengumpulkan RM1 juta dalam tempoh singkat khusus bagi pembinaan kompleks pendidikan Islam di Nigeria, Afrika.
Kompleks pendidikan Islam Daarul Itqan Academy terletak di Odeyale, Oloo, Ibadan, Nigeria mampu memuatkan sehingga 700 pelajar dan berjaya disiapkan pembinaannya baru-baru ini.
Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM), Mohd Johari Ismail yang melawat pusat itu semalam memaklumkan, kos pembinaan kompleks itu yang menelan belanja lebih RM1 juta ditanggung sepenuhnya hasil derma dan sumbangan rakyat Malaysia bermula Januari 2021.
Menurutnya, kompleks yang tersergam indah itu menjadi kebanggaan umat Islam setempat dan digunakan untuk mendidik lebih 700 pelajar termasuk dalam aliran Tahfiz.
“Pusat pendidikan Islam ini amat penting berikutan kawasan berkenaan berdepan dengan ancaman akidah susulan terdapat banyak sekolah membawa ajaran agama agama lain di sekitarnya.
“Pendakwah yang juga pengetua kompleks itu, Ustaz Dr Ibrahim Aminullah mengambil tanggungjawab menubuhkan Daarul Itqan Academy bagi menampung keperluan pendidikan Islam di kalangan kanak-kanak dan remaja tempatan.
“Menyedari sumber kewangan yang terbatas, MCM membantu untuk mengumpul dana bagi membina bangunan kompleks berkenaan.
“Alhamdulillah kompleks ini akhirnya berjaya disiapkan. Seramai 50 guru berkerja dengan penuh dedikasi sekalipun menerima gaji amat rendah.
“Inilah perjuangan mereka dalam memastikan akidah anak-anak mereka terjaga dan terdidik dengan Islam sebagai cara hidup,” katanya.
Menurutnya, dia terharu apabila pelajar di kompleks pendidikan itu mengucapkan terima kasih beramai-ramai terhadap rakyat Malaysia yang menyumbang bagi pembinaan pusat pendidikan itu.
Sementara itu Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, kekurangan dana kewangan untuk pendidikan Islam selain faktor ekonomi menyebabkan kanak-kanak di lokasi itu mudah menjadi murtad.
“Berdasarkan maklumat, program tahfiz, madrasah dan akademik disediakan di Madrasah Daaru Itqanil Qur’an & Islamic Studies terbukti cukup sempurna berikutan permohonan kemasukan yang sentiasa meningkat.
“Muslim Care Malaysia mengambil tanggungjawab untuk melengkapkan pembinaan Kompleks pendidikan Islam Daarul Itqan Academy. Bagaimanapun pengurusan sekolah masih memerlukan dana operasi sekitar RM80,000 bagi setiap 3 bulan,” katanya. – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM