Tidak ada lagi bilik darjah. Papan hitam yang menjadi tumpu mata selama ini juga turut hancur bersama dinding yang padanya ia di gantung. Sesetengah dindingnya punya lubang-lubang sebesar ibu jari bekas peluru-peluru yang dihalakan ke arahnya. Samada secara sengaja atau tidak adakah masih punya beza disini apabila nyawa seolah-olah tidak langsung punya nilai di sini.
Yang dewasa berjalan bebas ditembak sesuka hati. Yang wanita atau anak-anak yang bersembunyi di di dalam bilik gelap, sempit dan kusam di bawah tanah juga di ‘hadiah’kan Bom Barrel atau Pemusnah Bunker. Hadiah dari Al-Asad dan sekutunya Russia. Dahulu Firaun membunuh hanya anak laki-laki sedangkan Firaun alaf ini membunuh asal namanya hidup maka mesti di tamatkan riwayatnya.
Namun buat mereka yang jiwanya merdeka, meski dalam suasana sebegini masih mampu menyusup berhati – hati mengejar nikmatnya belajar. Meski dalam kubu bawah tanah yang diancam bom pemusnah bunker, pendidikan terus berjalan. Kerana barangkali mereka yakin bahawa perjuangan mereka tidak akan sama sekali dihentikan oleh musuh. Ibu ayahnya hebat, gurunya juga hebat bahkan anak-anakAleppo ini Subhannallah sangat- sangat hebat.
Buka mata! Belajarlah dari sekolah di Aleppo!
Belajar dari mereka yang seolah-olah mendidik kita dengan nyawa mereka. Ambil hikmah agar tiap darah mereka yang mengalir itu mengalir bersama rantaian pahala-pahala yang tidak putus-putus.
Mereka ibarat sang guru yang mengajar kita terutama para guru bahawa :
1. Kebaktian harus berjalan terus meski dalam sulit.
2. Pendidikan itu berjalan seiring dengan nyawa. Berhenti hanya apabila nyawa dicabut.
3. Peluru dan bom tidak menjadi alasan buat mereka. Apakah kepayahan yang kita ada sekarang ini telah menghalang kita dari terus mendidik.
4. Khidmat seorang guru itu sentiasa di tagih meskipun dalam keadaan gawat dan perang.
Sekolah di Aleppo tidak lagi punya kecanggihan teknologi dan alatan. Apatah lagi suasana pembelajaran abad ke 21. Namun sekolah di Aleppo punya inti pengorbanan dan sarat dengan makna ikhlas perjuangan ibubapa,para guru dan anak-anak Syria. Kini sekolah bawah tanah di Aleppo punya harga yang amat tinggi nilainya dalam pendidikan. Harga ilmu dan didik yang sebenar.
Asmadi Abdul Samad
Aleppo di hatiku
www.indahnyaislam.my