TELUK INTAN – Penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi, Selangor sempat menabur bakti di Masjid Ismailiah, Kampung Tebing Rebak, Bagan Datuk sebelum ditemukan lemas di sini pada Khamis.
Ibunya, Hajar Samat, 53, berkata, arwah Muhammad Amirnur Hadi Ahmad Kamal, 21, ada menyatakan hasrat untuk membelikan rak bagi menyimpan al-Quran ketika berjemaah di masjid berkenaan.
“Uda (panggilan arwah) anak yang soleh, dia sempat belikan rak-rak dan memasang sendiri untuk diletakkan di masjid di kampung kami.
“Rak itu digunakan untuk simpan al-Quran. Dia gembira naskah-naskah al-Quran tersusun cantik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Teluk Intan di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Abang hanyut selepas selamatkan adik
Abang hilang ketika selamatkan adik ditemui lemas
Jasad Muhammad Amirnur Hadi ditemui terapung pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak Selasa lalu selepas dia berjaya menyelamatkan adiknya, Ahmad Nur Syarwani, 15.
Hajar ketika ditemui tidak dapat menahan sebak apabila baharu menerima video kiriman rakan anak keempatnya itu menerusi pesanan WhatsApp.
Hajar merakam kenangan bersama arwah dengan pakaian sedondon di pagi raya.
Dalam video itu, arwah sempat menyanyikan lagu ‘Selamat Tinggal’ nyanyian Zizan dan Dina kepada rakan-rakannya seolah-olah menjadi petanda dia tidak akan bertemu mereka lagi.
Hajar berkata, video itu antara yang menjadi kenangan buat dirinya dan keluarga.
“Mak cik baru dapat (video) dan sudah tentu sedih kerana dalam video itu dia tersenyum menyanyi. Itulah sifat Uda yang disenangi rakan-rakan dan penduduk kampung.
“Makcik simpan video ini. Makcik takkan padam. Dia anak bertanggungjawab hinggakan di akhir hayatnya dia berjaya selamatkan adik yang dia sangat sayang,” katanya.
Ditanya keadaan Ahmad Nur Syarwani, Hajar berkata, anak bongsunya itu pada awalnya menangis tambahan dengan rasa bersalahnya dikaitkan punca kejadian itu.
“Dia menceritakan yang Uda membantu menolaknya sambil bergilir-gilir bernafas hingga dia tidak rasa lagi genggaman tangan abangnya sebelum hilang. Dia masih terbayang-bayang lagi suasana itu.
“Namun, makcik tenangkan dia dan beritahu ini bukan salah dia sebaliknya takdir ALLAH SWT. Dua-dua pun mama sayang tetapi sudah takdir Uda pergi dahulu. Adik kini sudah nampak tenang dan boleh terima kenyataan,” katanya.
Ibu tunggal itu turut menyatakan rasa terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan penyelamat yang membantu serta mendoakannya.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebing Rebak.- Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)