KUALA TERENGGANU – Bermula semalam, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh Terengganu dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Osman Muda berkata kebenaran itu diberi selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Beliau berkata kebenaran itu diberi susulan peralihan Terengganu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 September lepas.
“Semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yasin setiap malam Jumaat. Pada hari Jumaat pula, semua imam dikehendaki membaca teks doa qunut nazilah dalam solat Jumaat dan doa mohon dijauhi daripada wabak penyakit yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Selain itu, majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian juga dibenarkan dengan mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan oleh JHEAT manakala majlis akad nikah di Pejabat Agama Daerah dibenarkan bagi kes-kes tertentu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kebenaran juga diberi kepada semua institusi pondok, madrasah dan pusat tahfiz yang berdaftar dengan JHEAT untuk menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka tertakluk kepada SOP Kementerian Pendidikan (KPM).
Osman berkata masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pula tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti sepanjang tempoh penutupan. – Bernama
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: