Bermula pagi tadi hingga tengahari, saya dan JAKIM melalui Bahagian Penyelidikan menyusun satu perbincangan untuk mencari mekanisme terbaik untuk memudahkan pengurusan harta pusaka di Malaysia.
Sikap tidak mengendahkan pengurusan harta pusaka si mati, menyebabkan banyak harta pusaka yang tidak dituntut. Isu tidak mengurus tuntutan harta pusaka ini amatlah membimbangkan!
Alhamdulillah, perbincangan isu penting ini disertai oleh badan-badan bertanggungjawab iaitu Jabatan Ketua Pengarah, Tanah dan Galian (JKPTG), Amanah Raya Berhad (ARB), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Peguam Negara(AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan(MSWP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) serta ahli akademik.
Saya mendengar dan mengamati setiap pembentangan daripada kesemua agensi berkenaan, pelbagai input dipersembahkan dalam memperkasakan dasar dan mengatasi isu-isu yang timbul dalam masyarakat kita hari ini.
Antara masalah yang besar lain adalah tiada kesepakatan antara waris, sering berlaku perbalahan mengenai hak masing-masing dan waris merasakan proses tuntutan harta pusaka rumit untuk diuruskan.
Mudah-mudahan perbincangan ini mencapai objektif yang digariskan seterusnya dapatan-dapatan yang diperoleh dapat dijadikan panduan oleh agensi kerajaan amnya dan masyarakat khususnya.
Tahniah diucapkan kepada Bahagian Penyelidikan JAKIM dan ribuan terima kasih kepada seluruh peserta yang terlibat dalam menyumbang buah fikiran bersama-sama kami.
YB SENATOR DATUK IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – Harakahdaily
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM