Barangkali ada bisikan-bisikan syaitan melintas rasa hati mempersoalkan bilakah lagi akan datang pertolongan Allah di saat dunia terus bisu menyaksikan tubuh kanak-kanak berkecai seperti perca-perca kain, wanita dan orang tua bergelimpangan di tepi- tepi jalan.
Bukankan Allah Taala Maha Kuasa untuk memenangkan hamba-hambaNya yang beriman dengan lafaz “kun fa yakun”?
Terselinap masuk dalam lintasan hati dan menunggu-nunggu bentuk balas dendam Allah Taala ke atas musuh-musuhNya secara tunai di dunia ini.
Iman dan akal orang beriman ada jawapannya seperti di bawah:
PERTAMA : Dunia ini adalah tempat ujian, bukan lagi tempat pembalasan. Oleh kerana dunia ini tempat ujian maka Allah Taala lah yang layak bertanya kepada kita sebagai hamba ” bagaimana kamu menghadapi ujian Ku”, BUKANNYA hamba yang bertanya ” wahai Tuhan mengapa ujian ini Engkau turunkan kepada aku ” . Inilah adab seorang hamba kepada Tuhannya.
KEDUA: Perkara yang dinilai oleh Allah Taala adalah kesudahan kita bukan keadaan semasa kita di dunia. Firaun merebus Masyitah dan keluarganya dalam minyak panas sehingga syahid kesemuanya. Jiwa yang bersemangat akan tertanya-tanya bila Allah akan membalas dendam ke atas kezaliman firaun terhadap anak kecil Masyitah yang belum berdosa itu?
Namun lihatlah pengakhiran episod pertembungan ini dimana Firaun lemas di dalam lautan dunia sebelum lemas dalam kawah neraka sedangkan wanginya Masyitah dapat dihidu oleh Nabi SAW.
KETIGA : Sesungguhnya adakala Allah Taala menangguhkan balasanNya kepada pelaku zalim kerana keadilan yang mutlaq adalah di akhirat . Di akhirat Allah Yang Maha Adil menyediakan mekanisme keadilan yang pasti memuaskan hati orang-orang yang dizalimi. Titian Sirat, Telaga Kauthar, Mizan, Syurga dan Neraka akan menunggu orang-orang yang zalim dan yang dizalimi.
Ashabul ukhdud , dibakar hidup-hidup di dalam parit api yang besar, sehingga hari ini belum ada pihak yang membalas dendam bagi pihak mereka, namun ia akan berlaku di akhirat nanti.
KEEMPAT : Jika Allah Taala menunaikan “balas dendam” seperti yang kita inginkan di dunia ini ke atas setiap kezaliman di atas muka bumi ini maka ternafilah prinsip ujian dalam kehidupan ini. Baru terserlah kepada kita , sedangkan Allah Maha Mengetahui, peribadi tulin kita samada hanya menjadi penonton sambil membisu, atau mengungkapkan sokongan tapi tindakan yang berlainan dari slogan sokongan atau tunduk kepada tekanan untuk menghalang perjuangan. Akan terserlah mereka yang serius hendak berjuang dengan orang yang selesa berdakap tubuh. Orang yang akan pemurah berjihad dengan harta dan orang yang bakhil, memilih berfikir untuk diri sendiri.
KELIMA : Seorang ibu akan menanggung seribu macam kesakitan untuk melahirkan anaknya, ini kan pula untuk melahirkan semula sebuah negara yang berdaulat. Umat sedang melalui kesakitan itu, demi sebuah negara yang berdaulat.
Ketika Abu Jahal menyeksa Sumayyah dan Umayyah bin Khalaf menyeksa Bilal bin Rabah, kalau kita hidup zaman itu, nescaya kita akan tertanya-tanya bila lagi pertolongan Allah akan tiba? Apa kesudahan episod ini, setiap hari penuh dengan tragedi yang tragis.
Namun akhirnya negara Madinah tertegak dan tidak lama selepas itu Mekah dibersihkan dari najis syirik.
Allah Maha Bijaksana, amat rapi perancanganNya.
Persoalan untuk kita jawab sendiri.
- Anda bersama di dalam kem Firaun, Abu Jahal dan Umayyah ; atau
- Bersama Masyitah, Sumayyah dan Bilal .
Dato Haji Zamri bin Hashim
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM