Di negara ini, terdapat satu kelompok yang sangat kecil yang memperjuangkan Islam Liberal sering kali menyebut “kami mewakili silent majority”. Padahal mereka hanya suara yang sangat picisan. Tidakpun mewakili 1 peratus daripada umat. Terlalu kecil tapi mereka nampak seolah ramai melalui media dan penulisan mereka.
Satu kelompok lagi, berfahaman keras umpama IS atau ISIS yang dilatih sehingga menjadi radikal militan yang sedia melakukan pengeboman di mana jua. Inilah dua ekstrem yang terlalu jauh menyimpang daripada Islam.
Maka, siapakah golongan majoriti dalam kelompok Muslimin di Malaysia? Sebenarnya, golongan majoriti atau “silent majority” adalah umat Islam sebenar. Mereka cintakan Allah dan Rasul serta ingin menjadi muslim sebenar yang mencontohi akhlak Baginda SAW dan para sahabat. Sekalipun tidak diungkapkan dengan kata, mereka tetap bercita-cita agar sistem Islam tertegak kerana mereka juga percaya dan mengimani bahawa itulah sistem sebenar yang memberikan keadilan mutlak kepada seluruh manusia dan alam.
Sebahagian mereka bersuara, sebahagian tidak. Yang belum bersuara, bukan mereka benci tetapi masih terperangkap belitan nafsu dan keinginan dunia yang tidak pernah padam. Namun, jauh di sudut hati, fitrah meraka mengakui kebenaran Islam dan kewajipan mempertahankannya.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman untuk memahami kebenaran, keberanian untuk mengungkap dan mempertahankannya dan iman untuk beramal dengannya.
Ustaz Haji Omar Kassim
Pengerusi Biro Dakwah ISMA