(SIRI 1) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

InsyaAllah, seperti yang saya sebut, bermula malam saya akan berkongsi beberapa poin penting di dalam sejarah Turki Uthmaniyyah yang boleh kita ambil iktibar.

Tetapi sebelum itu, saya nak beritahu sesuatu. Saya berlapang dada sekiranya ada insan yang menegur saya tentang poin atau perkongsian yang disampaikan ada menyanggahi fakta sebenar. Silalah betulkan saya. Tegurlah saya. Tetapi jika ia “khilaf” dalam dunia sejarah, kita akan cuba sepakat mana di mana-mana poin yang boleh.

Kerana penulisan sejarah sukar untuk dicapai apa yang disebut sebagai ‘absolute truth’, kecuali kisah sejarah yang dikhabarkan oleh wahyu.

Dan satu lagi, tulisan ini ditulis dalam bentuk poin bernombor. Bagi memudahkan orang membaca. Moga bermanfaat.

Bismillah.

1. Sebagai permulaan, untuk siri satu ini, tulisannya bersifat santai dan ringan. Lebih kepada muhasabah dan overview saja. Jangan panik. Hehe.

Sebagaimana ramai yang maklum, peristiwa kejatuhan khilafah Uthmaniyyah disepakati ramai berlaku pada bulan Mac (walaupun sebenarnya berlaku lebih awal lagi), yang mana secara rasminya diisytiharkan kejatuhannya pada 3 Mac 1924. Sekarang ini (setakat tulisan ini ditulis, 2018), sudah lebih kurang 94 tahun di mana umat Islam di seluruh dunia dalam keadaan TIDAK ADA satu badan dunia yang menaungi mereka.

2. Kita mungkin tidak terasa sangat apabila bercakap berkenaan dengan Khilafah. Sebab apa? Sebab kita adalah generasi yang sudah hidup tanpa khilafah. Kalau sesiapa yang sempat hidup pun mungkin umurnya sekarang dah 94 tahun. Tun Mahathir pun kalau tak silap saya sekarang ini umurnya baru 91 tahun.

3. Kalau orang tu lahir 1914 umurnya dah 104 tahun. Kalau lahir 20 tahun sebelum 1924, umurnya dah 114 tahun. Maka, orang tersebut dah terlalu tua. Malah pada masa kejatuhan khilafah itu pun, mungkin dia dah tak ingat peristiwa tersebut. Sebab masih kecil.

4. Bila tidak ada khilafah, kita melalui suatu suasana yang amat BERBEZA dengan suasana yang ada khilafah. Kerana Khilafah Islam ini adalah suatu badan dunia yang cukup besar dan agung serta dihormati oleh majoriti orang Islam dan bukan Islam.

5. Jika kita tinjau dengan jujur dunia hari ini, yang mencaturkan polisi dunia, hala tuju sesebuah negara, ekonomi dunia, PBB adalah daripada pihak Eropah, Amerika, Israel dan proksinya.

6. Namun, satu ketika dahulu, yang menentukan polisi dunia ini adalah umat Islam (Khilafah Islam). Umat Islam yang menentukan apa yang akan berlaku di dunia, bagaimana perjalanan dunia ini hendak berlaku, dan seumpamanya. Umat Islam yang menentukan keamanan, perang, dan sebagainya. Umat Islam itu adalah, kita.

Ya, KITA. Sebab, umat Islam itu bersaudara pada tunjang aqidah.

7. Tak percaya? Baik, kita lihat satu persatu. Hari ini, dari segi kuasa ketenteraan dan persenjataan, siapa yang kuasai bidang ini? Kita tahu, Amerika, Israel, badan Eropah yang menguasai ketenteraan dan persenjataan. Siapa yang ada kuasa veto dalam teknologi Nuklear? Siapa pembuat dan penjual senjata terbesar? Siapa pereka bentuk kereta kebal, jet pejuang, kapal selam, dan seumpamanya?

Kita jauh tertinggal. Kalau kita ada reka pun, masih tidak mampu menandingi pihak luar. Tetapi satu ketika dulu, semasa ada Khilafah, yang menguasai senjata dan ketenteraan adalah umat Islam. Kisah yang ramai maklum, tentang Khalifa Mu’tasim dengan tenteranya (walaupun kita tahu kisah gelapnya, tetapi untuk post ini, kita pilih yang sisi baik beliau).

8. Kalau dari segi kuasa ekonomi, hari ini siapa yang kuasai ekonomi? Orang Islam yang banyak minyak pun tak kuasai ekonomi. Tetapi ekonomi dikuasi oleh Amerika, China, Kesatuan Eropah, Yahudi, proksi-proksi Yahudi, dan seumpamanya. Tetapi satu ketika dulu ketika ada khilafah, yang menguasai ekonomi adalah orang Islam. Yang menjadi pemilik tanah adalah orang Islam, yang menjadi pemilik syarikat-syarikat besar adalah orang Islam, jutawan hartawan semua adalah orang Islam.

9. Bukan sekadar itu, bahkan dari segi kiblat ilmu sains dan teknologi. Kalau sekarang kita terpaksa banyak berkiblatkan Barat. Nak belajar perubatan atau jurutera, orang kata bagus di Eropah. Dahulu, kalau orang nak belajar ilmu sains, teknologi, teknikal, ketamadunan dan seumpamanya, orang ramai akan pergi ke negara-negara Islam. Orang pergi ke Cordoba, Andalus, Baghdad dan bandar-bandar orang Islam. Sebab apa? Sebab di situlah teknologi.

10. Malah sampai sekarang, tiada siapa dapat menafikan bahawa betapa berjasanya Islam kepada dunia kerana meninggalkan khazanah ilmu yang sangat luas dan masih lagi digunapakai sampai sekarang. Ilmu perubatan tak boleh lekang daripada nama Ibnu Sina bahkan ilmu perubatan Islam masih lagi menjadi asas kepada ilmu perubatan moden. Begitu juga dalam masalah matematik, Algebra, astronomi, kimia, dan sebagainya, majoriti datang daripada orang Islam.

11. Bahkan yang mencipta teori dalam sains ketamadunan, sains sosial dan sebagainya adalah dari orang Islam. Siapa tidak kenal Ibnu Khaldun. Jadi orang Islam ketika itu menguasai hampir semua perkara. Tetapi itu semua ketika mana kita ada khilafah Islam.

12. Malah, kita pernah menguasai 2/3 dunia. Yang mana hampir 2/3 dunia ada sultan Islam, negara yang mendaulatkan Islam, menjalankan hukum hakam Islam, melaksanakan syariah, tenteranya adalah tentera Islam, budayanya budaya Islam dan sebagainya. Hampir 2/3 dunia macam tu ketika kita ada khilafah Islam.

13. Tetapi apabila jatuh khilafah Islam, semua itu berubah. Kita dah tak jadi lagi penguasa dunia lagi. Badan dunia pun kita dah tak miliki. PBB itu bukan milik kita, tetapi milik orang lain (orang kafir for sure). Badan dunia Islam yang paling besar pun mungkinlah OIC (Organisation Of Islamic Cooperation). Tetapi itu pun kita tahu sejauh mana kemampuan, keupayaannya untuk pergi jauh.

14. Bahkan dalam ilmu pun, umat Islam bukan menjadi juara dalam masalah ilmu. Budaya kita (Islam) kalah dengan budaya Barat. Hari ini datang budaya Korea, Jepun, dan sebagainya. Dan lebih perit, orang Islam sendiri berbudayakan budaya yang datang daripada luar. Media massa, penyiaran dan seumpamanya, semua itu milik orang Barat.

15. Hari ini, yang menentukan polisi dan politik dunia pun bukan kita lagi. Kita ini hanya menjadi bidak catur saja. Contoh, negara yang paling jahil dikatakan negara umat Islam, negara yang paling miskin dan ramai mati kebulur pun dikatakan negara umat Islam.

Malah negara yang bergolak dan penuh dengan krisis pun dikatakan negara umat Islam juga. Bahkan, negara yang sentiasa berpecah lalu membuat negara-negara baru pun dikatakan negara orang Islam juga. Itu yang berlaku sekarang. Di peringkat antarabangsa. Di sekeliling kita. Jadi sebenarnya, SALAH SATU punca yang berlaku adalah apabila kita tiada ada satu badan dunia yang membela maruah umat Islam.

16. Sebelum pergi lebih jauh, saya TIDAK menyeru kepada ISIS. ISIS langsung tidak mewakili Khilafah Islam pun. Bahkan sesat dan terseleweng. Bahkan, ia adalah bidak catur musuh. Enough. Kita berbicara tentang sejarah.

17. Kejatuhan Turki Uthmaniyyah bukanlah suatu kejatuhan yang berlaku secara tiba-tiba. Tidak. Tetapi sebaliknya, ia berlaku hasil daripada suatu perancangan yang cukup dahsyat dan teliti.

Dan Ia juga bukan suatu perancangan yang ambil masa setahun dua saja, tetapi mengambil masa berkurun-kurun lamanya. Sebab itu, apabila dia jatuh pada 1924, Khilafah tidak boleh bangun lagi sampai sekarang. Sebab ia dipukul secara perlahan-lahan secara berkurun-kurun sampai “lumpuh” seluruh “urat saraf” Khilafah.

18. Bayangkan, setiap negara di bawah naungan Khilafah yang pernah menakluk 2/3 dunia ini, satu demi satu diperlakukan dengan perlakuan yang cukup dahsyat dan keji oleh Yahudi dan sekutunya.

Lalu apabila jatuh saja 1924, dia tak boleh bangun lagi dah. Berbeza dengan kejatuhan khilafah yang sebelum ini.

Kejatuhan yang bagaimana? Sambung siri II insyaAllah.

Shukery Azizan.
Tarbiah Sentap

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts