(SIRI 2) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

Graf yang dilukis melalui tulisan Imam Hassan al Banna berkenaan dengan naik turun sejarah panjang umat Islam.

 

1. Kalau kita meneliti sejarah, kita akan dapati bahawa kejatuhan Khilafah pada tahun 1924 bukanlah usaha kali pertama. Tetapi ia adalah usaha yang berkali-kali, selama beribu tahun lamanya.

2. Namun, kejatuhan Khilafah Islam pada 1924 amat berbeza dengan kejatuhan Khilafah yang sebelum ini. Apabila membaca sejarah umat Islam, usaha untuk jatuhkan kerajaan Islam berlaku sejak dari zaman Rasulullah lagi.

3. Eh, yeke? Ya. Cubaan untuk membunuh Rasulullah, bukan suatu benda baru. Kita semua tahu, dan belajar di sekolah. Jika kita melihat kisah hijrah Rasulullah ke Madinah itu sendiri pun, ia berpunca daripada peristiwa untuk membunuh Rasulullah. Kenapa nak bunuh Rasulullah?

Antaranya sebab supaya tidak berlaku penubuhan negara.

4. Kerana sebelum tu, Rasulullah cuba nak bina negara di Thoif, tetapi gagal. Kemudian baginda cuba berdamai dengan kabilah-kabilah bertujuan untuk meminta dijadikan tapak kepada negara Islam. Secara ringkas, akhirnya apabila Yathrib menerima, dan berita baginda nak ke Yathrib tersebar, mereka (penduduk Quraisy) ambil keputusan bunuh.

5. Namun, apabila sampai di Madinah, walaupun baru satu tahun penubuhan kerajaan Islam, orang kafir Quraisy dah tak boleh tunggu lama. Tahun kedua hijrah saja sudah berlaku peristiwa perang Badar untuk menjatuhkan negara Islam Madinah.

6. Target orang kafir Quraisy dalam perang Badar adalah untuk menghancurkan sistem kenegaraan Islam, iaitu membunuh Rasulullah sebagai ketua negara, pembesar-pembesar utama Islam (iaitu para Sahabat r.anhum) dan sekaligus menghancurkan sistem kenegaraan Islam itu sendiri. Maknanya, tiada lagi negara Islam Madinah.

7. Sebab tu, Rasulullah sangat mengetahui hakikat sebenar perang Badar. Ia bukan perang sembarangan. Ia berkaitan masa depan Islam. Sehinggakan Rasulullah beribadah dan berdoa sungguh-sungguh sebelum malam perang Badar. Dan semasa hari peperangan, apabila melihat tentera kafir Quraisy, baginda segera berdoa menghadap kiblat,

اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِى مَا وَعَدْتَنِى اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِى اللَّهُمَّ إِنْ تَهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِى الأَرْضِ

“Ya Allah, penuhilah untukku apa yang Kau janjikan kepadaku. Ya Allah, berikan apa yang telah Kau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau biarkan pasukan Islam ini musnah, TIDAK ADA LAGI yang menyembah-Mu di atas muka bumi ini.”

(Riwayat Muslim dan Ahmad)

8. Wow. Sampai macam itu sekali baginda berdoa. Kenapa? Sebab baginda Rasulullah tahu, target orang kafir Quraisy di dalam perang Badar adalah untuk menghancurkan Madinah secara total. Ya, secara total.

Sebab itu, yang turun dalam perang Badar ini luar biasa, Abu Jahal, Abu Lahab, Umayyah bin Khalaf, Atbah bin Rabiah. Iaitu orang-orang besar dan pemimpin utama masyarkat Quraisy di Mekah. Ibarat kalau US berperang dengan China, yang turun perangnya adalah Trump, Obama, Clinton, dan lain-lain. Hehe.

Sebab mereka tahu, kalau menang jadi penulis sejarah, kalau kalah jadi abu.

9. Namun kita juga tahu, mereka gagal dalam perang Badar. Walaupun tidak berjaya dalam perang Badar, mereka cuba lagi dalam perang Uhud. Tidak berjaya dalam perang Uhud, mereka cuba lagi dalam perang Khandaq. Dan seterusnya. Jadi semua siri peperangan itu adalah cubaan untuk menjatuhkan negara Islam. Namun tidak berjaya kerana Allah mentaqdirkan negara Islam itu berjaya dipertahankan.

10. Tetapi apabila Rasulullah wafat pada tahun yang ke-11, kali ini muncul pula tiba-tiba golongan yang tak nak bayar zakat, nabi palsu dan golongan murtad. Dalam kitab sejarah seperti tulisan Tarikh Khulafa’ Imam Suyuthi atau Tarikh al-Tabari, ditulis bahawa Saidina Abu Bakar mengambil masa lebih kurang 11 bulan untuk membenteras semua golongan ini.

12. Kenapa beliau mengambil suatu tempoh masa yang agak panjang untuk membanteras orang tak nak bayar zakat, golongan murtad dan nabi palsu ini, sedangkan mereka ini cuma beberapa kabilah dan beberapa orang saja? Bukannya ramai sangat pun. Kenapa?

13. Antara faktor di sebalik tempoh perang ini panjang adalah, selepas kewafatan Rasulullah, Rom dan Parsi mengambil kesempatan untuk BERGABUNG dengan pemberontak daripada kalangan umat Islam. Apabila kita baca sejarah, kita akan dapati bahawa sepanjang peperangan antara Abu Bakar dan orang Islam terhadap pengikut nabi palsu atau pengikut orang yang tak nak bayar zakat, dalam setiap kelompok perang mereka itu akan ada tentera daripada golongan tentera Rom dan Parsi.

14. Puncanya? Sebab empayar Rom dan Parsi pada kali ini juga bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Madinah pada masa itu. Walaupun secara ‘indirect’. Kerana dalam peperangan secara berhadapan, Rom pernah tewas dengan kekalahan yang memalukan terhadap orang Islam semasa perang Mu’tah. Kali ini mereka dendam, dan menggunakan boneka pemberontak untuk kalahkan Kerajaan Islam. Tetapi Allah taqdirkan kerajaan Islam itu kekal.

15. Apabila masuk zaman Saidina Umar, sekali lagi mereka berusaha untuk menjatuhkan kerajaan Islam. Siapa yang bunuh Saidina Umar? Yang bunuh saidina Umar adalah orang Parsi bernama Abu Lu’lu’ah. yang sebelum itu dijadikan sebagai hamba selepas perang Qadisiyyah, kemudian di bawa ke Madinah setelah daripada kejatuhan Parsi. Parsi itu Iran, Iraq dan seumpamanya.

16. Antara jasa terbesar Saidina Umar adalah berjaya menjatuhkan dan membuka Empayar Parsi. Maka, boleh kita faham dendam orang Parsi terhadap orang Islam sangat kuat. Sehinggakan mereka berkomplot untuk membunuh Saidina Umar. Lalu berlaku pembunuhan, dan berlaku kekecohan di Madinah. Tetapi akhirnya Allah mentaqdirkan berlaku ganti kepada khalifah iaitu naik Saidina Uthman.

17. Semasa naik zaman Saidina Uthman, beliau memerintah lebih kurang 12 tahun. Secara umumnya dan ringkas, 6 tahun awal pemerintahan beliau stabil, tetapi 6 tahun kedua berlaku huru hara. Kenapa?

Sebab muncul pula suatu gerakan daripada Yaman, yang diketuai oleh Abdullah Bin Saba’, seorang Yahudi yang menyamar dan berpura-pura masuk Islam. Dia melakukan PERANG PERSEPSI (psywar) yang mengambil masa 4 hingga 5 tahun dengan cara pergi dari satu jajahan Islam ke satu jajahan Islam yang lain untuk menghasut orang-orang Islam supaya menjatuhkan gabenor-gabenor mereka dan juga menjatuhkan Khalifah.

16. Dia pergi ke Basroh, Kuffah, Damsyik dan Fustat, Fustat sekarang terletak di Kaherah, Mesir. Di Basrah, dia mencari banduan-banduan dan orang Islam yang tenggelam dalam maksiat, dihasut untuk melawan gabenor mereka. Kemudian pergi ke Kuffah untuk buat perkara yang sama. Di Basrah dan Kuffah, dia berjaya kumpulkan beribu-ribu pengikut.

17. Sampai saja di Damsyik, dia tidak berjaya menarik orang Islam untuk menjadi pengikut mereka. Kerana Damsyik di kawal oleh seorang gabenor dan juga sahabat Rasulullah bernama Muawiyyah bin Abi Sufiyan, seorang ahli politik yang cukup licik dan peka, dan juga seorang ahli perang. Tak cukup dengan Damsyik yang tak berjaya, dia pergi ke Fustat iaitu Kaherah. Dia mencari golongan pemberontak di situ.

18. Lalu kemuncaknya adalah, setelah 4,5 tahun punya kerja ni, mereka berkumpul di Madinah, lalu mengepung rumah Saidina Uthman, dan bunuh. Yang BUNUH Saidina Uthman adalah ORANG ISLAM sendiri, yang terpengaruh dengan hasutan dan propaganda Abdullah bin Saba’.

19. Ada ahli sejarah menyatakan, yang mengepung rumah Saidina Uthman sekitar 2,000 pemberontak. Malah ada yang mengatakan seramai 10,000 pemberontak. Tak kisahlah mana-mana pun, kalau kita ambil angka yang paling kecil itu pun, dah dikira sangat besar. Bayangkan rumah kita dikelilingi 2,000 orang pemberontak yang nak membunuh kita? Fuh, berpeluh beb.

20. Orang Madinah tak boleh buat apa-apa masa tu. Sebab golongan pemberontak ini datang dari wilayah yang pelbagai. Bukan hanya Madinah saja. Ibarat putrajaya dikepung oleh pemberontak yang datang daripada 13 negeri berbeza. Huhu.

Apabila syahid Saidina Uthman, di Madinah semakin tidak stabil. Pada masa itu, ketua pemberontak bernama al-Ghafiqi, menjadi imam di masjid Nabawi ni selama 5 atau 6 hari. Dah la ketua pemberontak, jadi Imam solat pula. Di Malaysia, bukan pemberontak pun, tetapi solat pun tak nak. Huhu. Ok selingan je.

21. Orang ramai kebingungan. Kenapa bingung pula?Sebab masjid Nabawi ni pada mulanya di imamkan oleh Rasulullah, kemudian Saidina Abu Bakar, kemudian Saidina Umar, kemudian oleh Saidina Uthman.

Kali ini tiba-tiba diimamkan oleh ketua pemberontak dari Mesir bernama al-Ghafiqi. Lalu orang ramai bingung, selama 5 atau 6 hari pula tu. Tetapi akhirnya, Allah mentaqdirkan mereka berjaya mengangkat saidina Ali. Lalu Saidina Ali bejaya membanteras semua pemberontak ini dalam tempoh lebih kurang 5 tahun secara beransur-ansur. Ada sebahagian pemberontak ini berjaya dipujuk untuk bertaubat, ada yang dibunuh, dan ada juga yang berlaku perang lalu pemberontak mati. Maka itulah yang berlaku pada para pemberontak.

22. Apabila masuk zaman Muawiyyah bin Abi Sufian, keadaan sudah semakin aman (selepas peristiwa perang Jamal dan Siffin), dan pada masa itu pemerintahan mula stabil. Jadi jika kita melihat zaman khulafa’ Ar Rasyidin pun, berlaku usaha yang pelbagai untuk menjatuhkan sistem khilafah ini.

Ini baru sejarah awal Khilafah Islam, belum lagi zaman pertengahan Islam seperti Perang Salib dan Ain Jalut. Nak tahu lagi?

Macam biasa, boleh share untuk manfaat ramai, tiada masalah.

Shukery Azizan.
Tarbiah Sentap.

www.indahnyaislam.my

 

Total
0
Shares
2 comments
  1. Sekiranya ummat Islam mentadabbur Al Quran yg diturunkan kpd mereka, nescaya mereka akan mengambil iktibar dari apa yg telah, sedang dan akan berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts