IPOH – Bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid menyokong usaha yang digerakkan untuk memperkasa peranan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama di negara ini.
Menurut beliau, dua bahagian penting dalam sistem perundangan syariah itu perlu ditambah baik untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan kes yang semakin kompleks dan mencabar.
“Saya sangat bersetuju berkenaan pemerkasaan institusi yang berada di sekitar mahkamah syariah ini.
“Peranan sedia ada ini adalah baik cuma perlu dipertingkatkan untuk jangka masa panjang dan untuk itu, memang kita memerlukan penambahan kakitangan, latihan, pendedahan dan operasi secara berterusan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, Jabatan Pendakwaan Syariah yang telah dijadikan sebuah jabatan tersendiri dan berasingan adalah contoh usaha kerajaan memantapkan kedudukan institusi perundangan syariah di Malaysia.
Justeru katanya, penekanan perlu diberikan kepada peranan penguat kuasa agama memandangkan bahagian itu yang menyediakan semua perkara berkaitan kes untuk dihantar ke jabatan pendakwaan.
“Penguat kuasa agama pada masa ini masih di bawah jabatan agama Islam negeri dan adalah penting untuk terus diperkasa terutamanya dari segi sumber manusia dan latihan,” katanya. -Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam