Siri 1: Maksud dan hukum melaksanakannya
Sistem syura merupakan tonggak penting bagi sesebuah organisasi, masyarakat, apatah lagi sebuah negara. Ia diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a. serta diwarisi oleh umat Islam berkurun lamanya, dalam konteks sebuah kumpulan, masyarakat serta sistem pemerintahan sesebuah negara Islam. Sistem syura amat penting untuk dikaji, difahami dan diaplikasi bagi memastikan perjalanan organisasi, masyarakat serta sistem kenegaraan hari ini sentiasa berada dalam landasan Syarak.
* * *
Menurut Ibnu al-`Arabi, maksud syura ialah;
الِاجْتِمَاعُ عَلَى الْأَمْرِ لِيَسْتَشِيرَ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ صَاحِبَهُ وَيَسْتَخْرِجَ مَا عِنْدَهُ[1]
Maksudnya: “Suatu perkumpulan/mesyuarat terhadap suatu perkara, untuk meminta pandangan setiap daripada ahli mesyuarat tersebut dan mengeluarkan/menghasilkan sesuatu daripadanya”
Ulama kontemporari seperti Syeikh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris pula telah mendefinisikan syura seperti berikut:
تقليب الآراء المختلفة ووجهات النظر المطروحة في قضية من القضايا واختبارها من أصحاب العقول والافهام حتى يتوصل إلى الصواب منها , أو إلى أصوبها و أحسنها ليعمل به حتى تتحقق أحسن النتائج[2]
Maksudnya: “proses bertukar pendapat yang pelbagai dan sudut pandang berbeza terhadap suatu isu yang mana ia diselidikit dan dikaji oleh para sarjana cendekiawan sehingga sampai kepada suatu keputusan yang tepat, ataupun yang paling tepat dan terbaik, untuk beramal dengannya sehingga dapat merealisasikan natijah yang terbaik”.
Daripada pandangan-pandangan ulama yang dinyatakan, jelaslah bahawa syura merupakan suatu proses perbincangan yang melibatkan para ilmuwan atau pakar suatu bidang tertentu terhadap suatu perkara tertentu bagi mendapatkan natijah keputusan yang terbaik.
Kedudukan dan kepentingan syura di sisi Islam
Syura disebut dalam Al-Quran pada tiga tempat iaitu surah Al-Baqarah ayat 233 yang menceritakan berkenaan syura dalam isu kekeluargaan yang merupakan asas (lubnah) pembentukan ummah, dalam surah Syura ayat 38 yang menerangkan bahawa syura merupakan salah satu daripada sifat-sifat orang beriman, serta dalam surah Ali Imran ayat 159 yang memberi arahan kepada orang Islam supaya melakukan syura.
Islam mengiktiraf syura sebagai salah satu tonggak sebuah kehidupan Islam di mana pemerintah dan umat Islam perlu saling bertukar pandangan dan saling nasihat menasihati.[3] Ulama juga meletakkan syura sebagai salah satu sistem (nizom) yang amat penting dalam pemerintahan Islam,[4] bagi memastikan keharmonian, kekuatan dan kestabilan sesebuah negara, institusi, atau organisasi. Betapa tinggi kepentingannya sehingga Allah s.w.t menamakan salah satu surah dalam Al-Quran sebagai Surah Al-Syura.
Melalui surah ini, Allah telah menyatakan beberapa sifat-sifat orang yang beriman yang mana salah satunya ialah “urusan mereka berlandaskan syura”, setanding kedudukannya dengan ibadah solat, sedekah serta menjauhi perkara haram;
Firman Allah s.w.t:
فَمَا أُوتِيتُم مِّن شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَمَا عِندَ اللَّـهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ لِلَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٣٦﴾ وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ ﴿٣٧﴾ وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ ﴿٣٨﴾[5]
Maksudnya: “Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara syura sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya”
Jelaslah di sini bahawa Islam amat menitikberatkan syura sama seperti amalan yang lain seperti solat dan infaq. Ini kerana syura juga mempunyai banyak hikmah dan kelebihan tersendiri yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Al-Dhahak menyatakan: “Tidaklah Allah perintahkan Nabi-Nya bermusyawarah melainkan kerana Allah mengetahui bahawa terdapat kelebihan/fadhilat padanya.”[6]
Berkata al-Hasan: “Tidaklah suatu kaum bermusyawarah melainkan Allah s.w.t akan memberi kepada mereka sebaik-baik natijah yang mereka usahakan”[7]
Pensyariatan syura
Fuqaha silam serta ulama kontemporari ketika membahaskan tentang pensyariatan syura tidak dapat tidak akan mengemukakan ayat 159 Surah Ali `Imran.
Allah s.w.t berfirman:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾[8]
Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
Ayat di atas diturunkan selepas kekalahan kaum Muslimin di medan pertempuran Uhud[9] di mana Rasulullah SAW telah mengikuti pandangan majoriti (yang kebanyakannya dalam kalangan pemuda) untuk keluar menghadapi musuh di luar Madinah.[10] Sesetengah orang Islam menyangka faktor kekalahan mereka di medan Uhud ialah disebabkan Rasulullah SAW telah mematuhi tuntutan syura dengan mengikuti keputusan majoriti dan meninggalkan pandangan Baginda sendiri untuk bertahan dan berhadapan musuh dari dalam Madinah sahaja.
Meskipun sudah kalah, Allah s.w.t tetap mengarahkan Rasulullah untuk melakukan syura dengan kaum Muslimin dan Allah s.w.t memaafkan kesalahan yang mereka lakukan. Ini kerana, syura adalah prinsip dan sistem penting bagi sebuah pemerintahan negara atau pergerakan sesebuah kumpulan. Kekalahan di medan Uhud natijah daripada syura, adalah lebih baik berbanding mengikuti pandangan peribadi yang tidak diketahui natijahnya sama ada menang atau kalah.[11]
Hukum syura menurut perspektif syarak
Berdasarkan ayat 159 Surah Ali `Imran ini juga, Ulama berpendapat bahawa hukum Syura ialah wajib.[12] Ini kerana, firman Allah s.w.t “وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ” dalam ayat ini berbentuk fi`il al-amr (kata arahan) secara mutlak dan tiada qarinah (tanda/isyarat) yang menukar hukum asalnya (wajib) kepada hukum yang lain. Ini selari dengan satu kaedah usul fiqh seperti berikut:
الأمر يدل على الوجوب ما لم تصرفه قرينة[13]
Maksudnya: “Suatu arahan menunjukkan bahawa (hukum melaksanakannya) ialah wajib, selagi mana tiada qarinah (tanda/isyarat) yang menukarnya.”
Berkata Al-Razi:
ظاهر الأمر للوجوب فقوله : { وَشَاوِرْهُمْ } يقتضي الوجوب[14]
Maksudnya: “Zahir arahan tersebut membawa maksud wajib. Maka firman Allah s.w.t “dan hendaklah kamu melakukan syura dengan mereka (kaum Muslimin)” menuntut kepada sebuah kewajipan”
Ibn `Atiyyah pula menjelaskan bahawa Syura merupakan salah satu tonggak Syariah dan hukum yang agung. Maka sesiapa yang tidak meminta pandangan ahli ilmu dan Agama, maka ia hendaklah dilucutkan jawatannya.[15]
Ustaz Ahmad bin Khairuddin
Nota kaki:
[1] Ibn al-`Arabi, Ahkam al-Quran, jil. 2, m/s 129.
[2] Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, terbitan Daar al-Furqan, Amman, Jordan, m/s 79.
[3] Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam, terbitan Daar al-Syuruq, 1427H, 2007M (cetakan ke-5), Kaherah, Mesir, m/s 136.
[4] Lihat: Prof. Dr Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, terbitan `Alam al-Kutub al-Hadith, Irbid, Jordan, 1426H (2005) m/s 160.
[5] Surah Al-Syura, ayat 36-38.
[6] Tafsir Al-Tobari, jil. 4, m/s 150.
[7] Fathu al-Bari, jil. 17, nota kaki m/s 102.
[8] Surah Ali Imran, ayat 159.
[9] Fakhru Al-Razi, Al-Tafsir Al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib, jil. 4, m/s 440.
[10] Ibni Hisyam, Al-Sirah Al-Nabawiyyah, tahqiq Toha Abdul Rauf Sa`d, Daar Al-Jiil, Beirut, 1411 Hijrah, jil. 4, m/s 8-9.
[11] Lihat: Syeikh Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 85.
[12] Pandangan ini dipilih oleh Syeikh Abdul Qadir `Audah, Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Muhammad Syaltut, Syeikh Muhammad Abu Zahrah seperti mana yang dinyatakan Prof. Dr. Mahmud Khalidi dalam kitabnya Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 167.
[13] Syeikh Muhammad Hassan al-Dedew, Syarh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, jil. 2, m/s 20.
[14] Fakhru Al-Razi, Al-Tafsir Al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib, jil. 4, m/s 446.
[15] Tafsir Al-Qurtubi, jil. 4, m/s 249.
www.indahnyaislam.my
Assalamualikum ustaz saya ingin bertanya mengapakah proses sistem syura dilaksanakan.
mengapakah sistem syura digunakan semasa pelantikan pemimpin zaman khulafa al- rasyidin