Kerajaan Malaysia telah berjaya membeli 66.7 juta dos vaksin Covid-19 melalui ‘COVAX Facility’ terus daripada 5 pembekal vaksin.
Berdasarkan laman web rasmi program imunisasi kebangsaan setakat 8 Julai, seramai 17,452, 973 orang telah mendaftar bagi program vaksinasi Covid-19 ini dan kira-kira 7 juta orang telah pun menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19.
Berikutan kenaikan kes positif Covid-19 dan banyak kes Covid-19 yang serius di ICU, program vaksinasi Covid-19 perlu rancak digerakkan ke seluruh pelosok negara agar imuniti kelompok dapat dicapai dengan kadar yang segera. Selain itu, langkah ini juga penting kerana kes ‘sporadik’ Covid-19 semakin tinggi dalam komuniti.
Sehubungan itu, pelbagai langkah telah diambil agar pemberian vaksin dapat diberikan pada kadar yang maksimum. Antara langkah yang diambil adalah program ‘outreach’ yang mensasarkan komuniti di kampung dan kawasan pedalaman.
Antara lokasi yang digunakan sebagai pusat pemberian vaksin adalah masjid, dewan masyarakat dan pusat kesihatan.
Pemilihan masjid sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) merupakan satu langkah yang sangat baik agar ianya dapat menepis tanggapan negatif masyarakat Islam tentang vaksin Covid-19 yang terjadi dek kerana penyebaran berita palsu. Langkah ini telah pun dimulakan di negara lain sebelum ini dalam langkah menggencarkan kadar pemberian vaksin contohnya di Al-Abbas Islamic Centre di Balsall Heath, Birmingham, United Kingdom dan Glasgow Central Mosque, Scotland. Kesannya, kadar vaksinasi di negara United Kingdom ini telah mencapai kadar yang tertinggi dan mencapai imuniti kelompok dalam tempoh yang singkat.
Usaha kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menjadikan masjid sebagai PPV perlulah diberikan sokongan serta dibantu agar ianya berjaya. Prosedur Operasi Standard (SOP) masjid sebagai PPV yang perlu disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Agama Negeri dan ianya perlu dipatuhi dengan penuh disiplin seperti larangan menggunakan ruang solat sebagai ruang pemberian vaksin, pemakaian pakaian yang sopan serta tiada sebarang program hiburan. Kesucian institusi masjid perlulah dijaga agar tiada mengundang sebarang tohmahan dan kecaman daripada masyarakat muslim.
Program jangkauan PPV masjid yang pertama telah berjaya dilaksanakan di Masjid At-Taqwa Durian Burung, Kuala Terengganu pada 19 Jun yang lalu yang dikendalikan sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Persatuan Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA), Jabatan Amal dan ‘Postgraduate Medical Education Society HSNZ (PGMES) dengan dibantu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu(JKNT). Seramai 120 orang penerima vaksin dipilih mengikut senarai yang dikemukakan oleh COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) dan JKNT.
Selain itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) juga telah memberi kebenaran untuk menggunakan masjid sebagai PPV. Langkah ini adalah sangat tepat berikutan kes Covid-19 di negeri Kelantan masih tinggi serta mempunyai populasi golongan berisiko tinggi bagi jangkitan Covid-19 yang ramai terutamanya warga emas serta pesakit penghidap kencing manis (Diabetes Mellitus).
Berdasarkan laman web rasmi vaksincovid.gov.my, kadar pendaftaran program vaksinasi Covid-19 bagi negeri Kelantan sehingga 8 Julai 2021 hanya 54 peratus. Kadar pendaftaran yang rendah ini dipengaruhi pelbagai faktor antaranya ketiadaan kemudahan untuk mendaftar seperti telefon, lokasi pedalaman serta pengaruh berita palsu. Melalui program masjid sebagai PPV ini, kadar pendaftaran serta vaksinasi Covid-19 akan dapat ditingkatkan.
Oleh yang demikian, marilah semua pihak berganding bahu menyokong usaha masjid sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) agar kita dapat meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 dan mencapai ‘imuniti kelompok’ dalam masa terdekat. Kesannya, kita dapat kembali menyemarakkan masjid dengan solat berjemaah serta aktiviti-aktiviti kerohanian yang amat terganggu akibat pandemik Covid-19 ini. Akhir kalam, marilah sama-sama menjayakan program vaksinasi Covid-19 kebangsaan, lindung diri,lindung semua. – Malaysia Gazatte
Yang Dipertua Isma Pasir Puteh
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)