Solat berjemaah kunci penyelesaian masalah sosial pelajar: PACU

 

PUSAT Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU) berasa kesal dengan kenyataan Dato Saifuddin, bekas timbalan menteri pendidikan tinggi dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) yang menentang serta menyelar usaha Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan dalam mengalakkan solat berjemaah di sekolah.

Kenyataan yang dibuat itu memperlihatkan tanggapan mereka bahawa Islam dan kehidupan haruslah dipisahkan, walhal Islam itu bersifat ‘ad-deen’ yang syumul serta meliputi seluruh aspek kehidupan. Begitu juga dengan kenyataan mereka yang beranggapan bahawa solat berjemaah mampu menganggu gugat keharmonian perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berteraskan Islam dan pendidikan, PACU amat kesal dengan kenyataan ini. Pertama, pada pandangan kami, tiada masalah dalam mengekalkan semangat perpaduan dengan adanya aktiviti solat berjemaah di sekolah-sekolah. Malahan, aktiviti ini akan menggalakkan lagi kesatuan dan keharmonian antara pelajar. Hal ini adalah kerana, pelajar yang bukan beragama Islam akan menghormati dan lebih memahami bahawa solat itu satu tuntutan agama bagi mereka yang beragma Islam.

Di samping itu, bagi pelajar yang beragama Islam, solat berjemaah akan mengukuhkan lagi disiplin, toleransi serta kasih sayang sesama pelajar. Sewajarnya, tidak perlu timbul kerisauan terhadap mereka yang bukan beragama Islam kerana aktiviti solat berjemaah hanyalah dituntut kepada pelajar yang beragama Islam sahaja, dan tidak kepada pelajar bukan beragama Islam.

Kedua, dengan berpaksikan ayat “Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (al- Ankabut: 45), kami amat yakin bahawa solusi kepada permasalahan sosial dalam kalangan pelajar sekolah adalah untuk mendidik dan membina semula jati diri Islam dalam diri mereka. Langkah ini haruslah dimulakan dengan mendidik mereka untuk melaksanakan solat 5 waktu.

PACU amat serius dalam memupuk jati diri Islam dalam diri masyarakat khususnya anak-anak sekolah melalui pendidikan. Oleh itu, melalui beberapa inisiatif PACU iaitu i-Backpackers, Raudhatul Huffaz, Kembara Legasi Anak Muda (KALAM) dan Projek Tusyen Ummah (ProTU), pihak kami telah menyantuni lebih daripada 1000 orang pelajar dari seluruh pelusuk Malaysia dalam merealisasikan matlamat ini.

Melalui inisiatif i-Backpackers, sebuah program kembara varsiti dan kerjaya telah menyantuni lebih daripada 600 orang pelajar yang majoritinya terdiri daripada anak-anak asnaf melalui 6 siri penganjurannya. Objektif i-Backpackers adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memupuk dalam minda anak-anak ini agar mengukuhkan jati diri Islam dalam diri mereka agar menjadi seorang Muslim yang hebat serta cemerlang dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Selain itu, pihak PACU juga telah memulakan kelas-kelas pengajian dan hafazan Al-Quran serta hadis melalui penubuhan inisiatif Raudhatul Huffaz pada tahun 2010 yang telah menyantuni ribuan pelajar yang terdiri daripada anak-anak berusia 4-15 tahun. Sehingga hari ini, Raudhatul Huffaz telah memiliki 45 Cawangan di semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Pada 2017 juga, Raudhatul Huffaz juga telah berpeluang menyantuni 190 orang anak-anak asnaf yang ditaja oleh individu serta badan-badan korporat pagi memastikan kelangsungan mereka mempelajari Quran dan Hadis.

Inisiatif ProTU pula yang mempunyai 7 cawangan sekitar Lembah Klang fokus untuk menyantuni anak-anak yatim serta pelajar sekolah yang tinggal di sekitar flat Projek Perumahan Rakyat melalui tusyen Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Uniknya, ProTU akan memulakan kelas tuisyen dengan menyemak bacaan Quran serta solat mereka kerana kami yakin dan percaya solat merupakan tunggak kejayaan seorang mukmin. Sahsiah yang baik juga akan terbentuk melalui penekanan terhadap perlaksanaan solat dan bacaan Quran.

Selain itu, KALAM yang dianggotai 3 anak muda yang cemerlang dalam aspek sahsiah dan pendidikan dari universiti masing-masing juga turut ditubuhkan oleh PACU untuk menyantuni seraya menginspirasikan anak-anak sekolah rendah mahupun menengah agar menjadi Muslim yang cemerlang di masa hadapan.

Inisiatif-inisiatif pendidikan yang telah dijalankan oleh PACU jelas memperlihatkan penekanan terhadap jati diri dan nilai Islam. Hal ini adalah kerana PACU yakin dan pecaya solusi bagi membejat masalah sosial bagi membejat gejala sosial dalam kalangan anak-anak di peringkat sekolah rendah mahupun menengah, penghayatan Islam dan kekuatan jati diri Islam adalah kunci utama.

Semestinya, langkah ini haruslah dimulakan dengan solat kerana solat adalah tiang agama. Kesedaran masyarakat tentang hal ini juga dilihat semakin meningkat melalui pertambahan bilangan anak-anak yang telah kami santuni dari tahun ke tahun.

Oleh yang demikian, PACU menyokong penuh inisiatif yang telah dikemukakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan dan berharap agar lebih ramai lagi pihak tampil menyatakan sokongan serta diperluaskan lagi cadangan ini kepada jabatan-jabatan pendidikan negeri lain.

Puan Hajjah Asral Widad bt. Ahmad Asnawi
Pengasas dan Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

Cik Amalina Binti Annuar
Pegawai Komunikasi Korporat Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

*PACU adalah ahli gabungan The Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review (UPR) Process (MACSA)

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts