MENURUT Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, ‘merdeka’ bermaksud bebas daripada penjajahan. Ia juga bermaksud berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. Manakala Za’ba mencirikan konsep merdeka sebagai ‘berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan’.
Kemerdekaan yang sebenar adalah kemerdekaan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk oleh empat aspek utama iaitu: agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak). Menurut Za’ba lagi, hanya dengan agama sahajalah jiwa manusia akan mengecapi kemerdekaan yang sebenar.
Justeru, pemahaman dan pengetahuan asas tentang peranan seorang mukallaf (orang yang telah akil baligh dan dipertanggungjawabkan untuk mematuhi hukum-hukum Islam) kepada tuntutan agama amat penting untuk diterapkan dalam diri anak-anak bermula dari fasa umur mumayyiz. Kurangnya kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab seorang mukallaf kepada tuntutan agama seperti solat akan mengakibatkan keruntuhan akhlak dan melemahkan jati diri.
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan bahawa pendidikan yang menitik beratkan emosi yang seimbang pada diri anak-anak dapat membantu memberikan motivasi kepada anak untuk lebih bersungguh melaksanakan tuntutan agama dengan lebih baik. Justeru, tulisan ini membincangkan potensi pembinaan peranan dan tanggungjawab untuk membentuk jiwa anak-anak menjadi jiwa yang merdeka, dengan mengambil pengajaran dari pelaksanaan solat jemaah.
Setiap tugasan yang diperintahkan Allah ke atas manusia adalah kerana manusia itu mampu. Justeru, amanah yang dipikulkan ke atas manusia ini telah dipersiapkan mengikut peringkat kematangan manusia dan persediaan sebaiknya. Sebagaimana Firman Allah Taala:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون ِ
” Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”.
(Al- Quran, Adz Zhariyaat 56: 51)
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”.
(Al-Quran, Al-Baqarah: 286: 2)
Peringkat kematangan akal bermula dengan umur tufulah, mumayyiz, amrad dan baligh. Apabila manusia mencapai umur baligh, menandakan kesempurnaan kematangan manusia untuk memikul beban taklif yang disebut juga sebagai mukallaf.
Menurut Az-Zuhailiyy, mukallaf ialah orang yang telah baligh dan berakal sehingga ia memahami dan berkemampuan melaksanakan taklif al-Syariah atau tuntutan agama. Ini menunjukkan bahawa apabila anak sudah memasuki umur baligh, anak seharusnya sudah mampu memikul beban di dalam melaksanakan taklif syar’ie, dan jelaslah bahawa didikan dan latihan untuk melaksanakan tuntutan syarak perlulah dimulakan sebelum umur baligh lagi berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya:
Perintahkan anak-anak kalian untuk melakukan solat ketika usia mereka 7 tahun, dan pukullah mereka samasa usia 10 tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka. (Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab as-Solah, Bab Mata Yukmaru al-Ghulam bi al-Salah).
Kajian daripada Hanipah Hussin menunjukkan bahawa masyarakat yang tiada sifat bertanggungjawab akan menyebabkan berlakunya pencairan prinsip agama, adab dan norma kehidupan sesuatu komuniti yang melenyapkan nilai-nilai etika dan estetika sesuatu bangsa. Persekitaran sosial yang baik pula dapat mengajar seseorang menuju ke arah kebaikan. Ini jelas menunjukkan emosi dan kemampuan bersosial yang baik memberikan kesan kepada pembinaan tanggungjawab dan disiplin yang akan melahirkan individu yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan solat jemaah sehingga membentuk jiwa yang merdeka.
Ketika anak berumur 6-12 tahun, akan berlakunya perkembangan dari segi kognitif, perkembangan sosial dan perkembangan penghayatan agama. Sejak fasa ini, sudah sesuai diberikan tugasan dalam memahami ilmu agama. Ketika anak mencapai umur 10 tahun akan berkembangnya fasa egosentriknya. Ini menunjukkan pada fasa ini didikan agama kepada anak-anak perlu diberi penekanan dan perhatian, jadi ibu bapa perlu kreatif dalam menyusun aktiviti yang sesuai dan mampu untuk menangani ragam anak sebaiknya.
Oleh itu, menjadi fardu ain keatas ibu bapa bukan sahaja dalam mendidik anak memahami solat. Malah menjadi fardu ain kepada ibu bapa untuk mempelajari psikologi perkembangan anak dan kaedah pengajaran yang terbaik jika itu akan menyebabkan mereka dapat memahami pembelajaran solat dengan lebih sempurna. Sebagaimana dalam kaedah usul fiqh:
ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
“Sesuatu yang tidak sempurna sebuah perkara wajib kecuali dengan menyempurnakannya, maka ia pun wajib”
Seorang pendidik yang tidak mengetahui tentang psikologi anak muridnya dan tidak tahu cara mengendalikan anak didiknya seperti petani yang tahu bertani tetapi tidak mengetahui sifat tanah, (Mustaqim dan Abdul Wahib 1991).
BAGAIMANA SOLAT JEMAAH DAPAT MEMBINA JIWA MERDEKA?
Untuk mempunyai jiwa yang merdeka dan jati diri yang utuh, anak-anak hendaklah dilatih dengan sikap berdisiplin, berkepimpinan dan bertanggungjawab. Dan ini boleh dipraktikkan melalui pengamalan solat berjemaah.
Antara amalan murni dan tugas yang boleh dipraktikkan di sekolah atau di rumah melalui solat jemaah antaranya ialah dengan beratur ketika mengambil wuduk, peka dengan susunan saf, menjadi imam, muazzin, memberi tazkirah selepas solat, melipat sejadah, dan sebagainya. Ini bukan sahaja dapat melatih sifat kepimpinan anak, malah amalan mulia ini dapat membentuk emosi positif dan kekuatan jiwa dalam diri anak-anak.
Iklim emosi yang positif dalam solat jemaah dapat membina kemahiran-kemahiran sosial dalam interaksi, menyelesaikan konflik dan mengatasi sesuatu kesulitan dalam sesuatu situasi yang dihadapi. Ini sudah tentu dapat melatih anak sifat tanggungjawab kepada diri, masyarakat dan agama apabila mampu berfikir atau membezakan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika di dalam surau dan kehidupan seharian. Ia mampu meningkatkan keyakinan diri (self confidence) sehingga jiwa merdeka tertanam utuh dalam diri anak-anak.
Salam kemerdekaan, ayuh merdekakan keluarga kita, bermula dari sekarang.
Ustazah Nasyitah Farhanah bt Johari Faisal
Penyelidik (Fiqh Wanita dan Kekeluargaan)
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)