SOP umrah untuk jaga kesihatan masyarakat

KUALA LUMPUR: Dakwaan prosedur operasi standard (SOP) umrah kerap berubah dan menyusahkan umat Islam, tidak tepat sama sekali

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sejak SOP umrah pertama dikeluarkan selepas perjalanan umrah dibenarkan semula pada 18 Oktober tahun lalu, SOP hanya berubah sekali, iaitu selepas pengumuman penangguhan sementara perjalanan umrah, awal tahun ini.

“Bagi mereka yang pulang dari mengerjakan umrah pada Januari lalu, iaitu selepas pengumuman penangguhan sementara diumumkan dan diarahkan menjalani kuarantin, mereka diberi pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta atau stesen kuarantin diuruskan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut katanya, bagi penempatan kuarantin diurus kerajaan ketika itu, pesakit dalam pemantauan (PUS), iaitu jemaah yang negatif ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ditempatkan di hotel atau pusat latihan awam, bergantung kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan.

“Bagi pilihan ini, kos urusan kuarantin ditanggung oleh kerajaan termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang,” katanya.

Sementara itu, katanya, SOP umrah yang sudah dikemas kini berkuat kuasa 14 Februari lalu tidak lagi mewajibkan jemaah yang pulang untuk menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin, tetapi mereka dibenar menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing tanpa memohon kelulusan Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA) seperti mereka yang pulang dari luar negara.

“Pada masa sama, jemaah juga dibenarkan untuk memilih menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung oleh mereka sendiri.

“Saya sekali lagi ingin menegaskan kerajaan tidak pernah ingin menyusahkan rakyat, tetapi sentiasa menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Nancy berkata, penangguhan sementara selama sebulan sebelum ini dianggarkan membabitkan penangguhan perjalanan kepada lebih kurang 19,000 jemaah.

“Kerajaan bersetuju jemaah umrah Keluarga Malaysia yang terkesan dan terjejas teruk atas penangguhan sementara perjalanan umrah ini untuk menerima bayaran sagu hati.

“Kementerian yakin bantuan ini dapat membantu jemaah untuk mengurangkan kerugian yang dialami lanjutan arahan penangguhan sementara perjalanan umrah terbabit,” katanya.-Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts