BANGUN daripada tidur, terasa ada kesan air liur basi pada bibir. Terus sahaja diri bingkas menuju ke bilik air untuk cepat-cepat membersihkannya.
Setelah itu, terus sahaja menggosok gigi, membasuh muka dan mengambil wuduk bagi mendirikan solat Subuh.
Rasanya ramai yang melakukan sebegitu dan tidak terus mandi. Sebaliknya, memilih untuk menunaikan solat terlebih dahulu.
Bagaimanapun, ada yang khuatir cara sebegitu menyebabkan kesahan solat kita terganggu. Ia kerana gara-gara air liur basi tadi yang dianggap sebagai najis.
Benarkah ia bernajis? Apakah sah solat yang dikerjakan tanpa mandi terlebih dahulu selepas terkeluar air liur berkenaan ketika bangun tidur?
Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, terdapat dua jenis hukum air liur sama ada ia keluar dari mulut atau perut.
“Sekiranya air liur tersebut dari mulut, maka hukumnya suci.
“Bagaimanapun, jika ia keluar dari perut, maka hukumnya adalah najis,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1835: Air Liur Basi yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri.
Sebaiknya, agamawan itu menyarankan agar kita membasuh air liur yang keluar tadi bagi mengelakkan waswas.
“Solat yang dilakukan juga adalah sah kerana sudah membersihkan diri seperti menggosok gigi, berwuduk dan sebagainya.
“Perlu difahami bahawa air liur basi semata-mata tidaklah najis dan membatalkan wuduk. Begitu juga dengan solat yang didirikan selepas membersihkannya, insya-ALLAH sah dan diterima oleh ALLAH SWT,” katanya.
Bagi memudahkan orang ramai memahami tentang air liur yang keluar dari mulut atau perut, Dr Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia mengemukakan pandangan yang pernah dinyatakan oleh al-Khatib al-Shirbini.
Menurut Imam al-Nawawi yang menukilkan daripada Imam Abu Muhammad al-Juwaini: “Jika ia mengalir dari mulut sejak mula tidur dan basah serta terputus sepanjang dia tidur dan kering bibir dan bantalnya, maka ia adalah dari mulut, bukan dari perut. Manakala jika sepanjang dia tidur dia merasakan basah sentiasa, maka zahirnya ia dari perut. Namun, sekiranya menimbulkan keraguan, sebagai langkah berhati-hati, basuhlah ia.” (Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab)
Menerusi artikel #36: Status Air Liur Basi, Dr Zulkifli menjelaskan bahawa kajian sains menyatakan, perut tidak menghasilkan air liur, tetapi asid.
“Campuran air liur dan asid yang naik ke kerongkong itulah yang menyebabkan pedih tekak, pedih ulu hati, mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan dan rasa masam.
“Ia mungkin berkait rapat dengan Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD). Itulah yang dimaksudkan pada ulama kita dengan ‘air liur dari perut’ yang bernajis.
“Sementelah, air liur yang keluar dari mulut yakni tanpa sebarang petanda yang saya sebutkan, ia suci. Pun begitu, sunat untuk membasuh pakaian yang terkena air liur semasa tidur. Jika terlupa, ia dimaafkan,” ungkapnya. -Sinar Islam Plus
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM