Assalamualaikum, Ustaz. Saya ingin bertanya berkenaan bapa susuan. Saya dan isteri ingin mengambil anak angkat setelah lama tidak dikurniakan anak. Sekiranya isteri saya menyusukan seorang bayi perempuan dengan susu hasil daripada ubat hormon, adakah saya menjadi mahram kepada anak susuan tersebut? Bagaimana pula keluarga sebelah saya, seperti ayah saya adakah dianggap datuk susuan yang mahram dengan anak susuan? Mohon pencerahan.
RINGKASAN JAWAPAN
Anak susuan yang disusukan dengan susu hasil suntikan hormon hanya menjadi mahram kepada ibu susuan disebabkan susuan tersebut manakala suami kepada ibu susuan menjadi mahram kerana dukhul(persetubuhan) yang telah berlaku antara ibu susuan dan suaminya. Justeru, suami kepada ibu susuan hasil daripada suntikan hormon dianggap sebagai bapa tiri susuan kepada anak angkat.
Oleh itu, keluarga sebelah bapa tiri seperti datuk dan pakcik-pakcik tidak dianggap mahram kepada anak susuan.
Wallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Penyusuan anak angkat yang mencukupi syarat yang ditetapkan akan menyebabkan hubungan mahram antara anak angkat dan ibu susuannya. Rukun penyusuan yang mengharamkan ialah ibu yang menyusu, susu, dan anak susuan. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:
(إنَّمَا يَثْبُتُ) الرَّضَاعُ الْمُحَرَّمُ (بِلَبَنِ امْرَأَةٍ) لَا رَجُلٍ لِأَنَّ لَبَنَهُ لَا يَصْلُحُ لِلْغِذَاءِ. (بَلَغَتْ تِسْعَ سِنِينَ) قَمَرِيَّةً تَقْرِيبًا بِالْمَعْنَى السَّابِقِ فِي الْحَيْضِ وَلَوْ بِكْرًا خَلِيَّةً دُونَ مَنْ لَمْ تَبْلُغْ ذَلِكَ لِأَنَّهَا لَا تَحْتَمِلُ الْوِلَادَةَ وَاللَّبَنُ الْمُحَرَّمُ فَرْعُهَا
Maksudnya: “Penyusuan yang mengharamkan perkahwian adalah dengan susu seorang perempuan dan bukan susu daripada lelaki kerana susunya tidak dianggap makanan (nutrisi). Perempuan yang menyusukan itu hendaklah masih hidup (iaitu susu diambil daripadanya ketika dia masih hidup). Penyusu juga hendaklah telah mencapai umur genap sembilan tahun qamariah bersesuaian dengan umur (minimum perempuan baligh) didatangi haid walaupun penyusu masih anak dara yang belum berkahwin dan tidak boleh kurang daripada umur tersebut. Hal ini kerana kurang daripada umur tersebut tidak berkemungkinan untuk seorang perempuan mengandung dan mempunyai susu yang boleh mengharamkan.”
Berdasarkan kenyataan di atas, menurut mazhab Syafie, disyaratkan susu tersebut adalah daripada seorang perempuan yang baligh walaupun tidak pernah berkahwin. Oleh yang demikian, dengan kemajuan ilmu sains dan teknologi, ibu angkat dibolehkan mengambil suntikan hormon untuk merangsang pengeluaran susu dan menyusukan anak angkat sebagaimana yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011. Sekiranya cukup syarat penyusuan yang mengharamkan, maka perempuan yang menyusu dianggap ibu susuan kepada anak susuan tersebut berdasarkan firman Allah berikut:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ
Maksudnya: “(Dan diharamkan berkahwin dengan) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu.”
Surah al-Nisa‘ (23)
Mahram Bapa Susuan Sebagai Pemilik Susu
Manakala hubungan mahram antara suami kepada ibu susuan dan anak angkat disebabkan susuan berlaku sekiranya suami kepada ibu susuan tersebut merupakan pemilik susu iaitu susu tersebut ialah hasil daripada persetubuhan suami isteri dalam tempoh perkahwinan. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:
(وَاللَّبَنُ لِمَنْ نُسِبَ إلَيْهِ وَلَدٌ نَزَلَ) اللَّبَنُ (بِهِ) أَيْ بِسَبَبِهِ (بِنِكَاحٍ) فِيهِ دُخُولٌ أَوْ اسْتِدْخَالُ مَنِيٍّ مُحْتَرَمٍ أَوْ بِمِلْكِ يَمِينٍ فِيهِ ذَلِكَ أَيْضًا…(أَوْ وَطْءِ شُبْهَةٍ) لِثُبُوتِ النَّسَبِ بِذَلِكَ وَالرَّضَاعُ تِلْوُهُ (لَا زِنًا) لِأَنَّهُ لَا حُرْمَةَ لَهُ نَعَمْ يُكْرَهُ لَهُ نِكَاحُ مَنْ ارْتَضَعَتْ مِنْ لَبَنِهِ.
Maksudnya: (Menjadi mahram) Pemilik susu yang dinasabkan anak tersebut kepadanya kerana susu terhasil daripadanya iaitu disebabkan oleh air mani yang dikeluarkan dengan cara terhormat ketika persetubuhan semasa tempoh perkahwinan (dan menyebabkan kelahiran); disebabkan hubungan antara tuan dan hamba sahaya; atau disebabkan persetubuhan syubhah kerana sabit nasab, maka penyusuan adalah pengikatnya. Susu yang terhasil disebabkan zina tidak mengharamkan walaupun makruh berkahwin dengan sesiapa yang disusukan dengan susunya (hasil perbuatan zina tersebut).
Mahram Suami kepada Ibu Susuan kerana Perkahwinan
Sekiranya susu terhasil daripada suntikan hormon dan pengambilan ubat bagi merangsang penghasilan susu, maka suami kepada ibu susuan tidak dianggap pemilik susu atau bapa susuan walaupun mereka mengambil anak angkat dalam tempoh perkahwinan yang sah.
Namun begitu, anak angkat yang disusukan tetap menjadi mahram kepada bapa angkat disebabkan hubungan musaharah iaitu perkahwinan dan berlaku persetubuhan antara suami kepada ibu susuan dengan ibu susuan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ
Maksudnya: “(Dan diharamkan berkahwin dengan) dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri.”
Surah al-Nisa‘ (23)
Anak-anak tiri yang dimaksudkan ialah anak-anak kepada isteri sama ada anak kandung atau anak susuan, justeru dalam keadaan tersebut suami kepada ibu susuan dianggap bapa tiri kepada anak susuan itu.
Jika anak angkat disusukan dengan susu hasil suntikan hormon merupakan anak tiri kepada suami kepada ibu susuan, maka ahli keluarga sebelah suami kepada ibu susuan tersebut tidak dianggap mahram kepada anak susuan. Hal ini kerana firman Allah tersebut di atas ditujukan kepada suami yang berkahwin dengan perempuan yang mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu, maka anak isteri menjadi mahram dengannya selepas berlaku persetubuhan.
Manakala ahli keluarga suami tersebut hanya menjadi mahram kepada isteri dan anaknya jika suami adalah pemilik susu maka keluarga sebelahnya juga menjadi mahram kepada anak susuan itu. Namun, dalam keadaan suami bukan pemilik susu, maka keluarga suami kepada ibu susuan akan kekal ajnabi kepada anak susuan tersebut. Perkara ini telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:
لَا تَحْرُمُ بِنْتُ زَوْجِ الْأُمِّ، وَلَا أُمُّهُ، وَلَا بِنْتُ زَوْجِ الْبِنْتِ، وَلَا أُمُّهُ، وَلَا أُمُّ زَوْجَةِ الْأَبِ، وَلَا بِنْتُهَا، وَلَا أُمُّ زَوْجَةِ الِابْنِ وَلَا بِنْتُهَا…
Maksudnya: Kamu tidak diharamkan (berkahwin) dengan anak perempuan kepada suami ibu (adik beradik tiri/anak ayah tiri), ibu kepada suami ibu (nenek tiri/ibu kepada ayah tiri), anak perempuan kepada suami anak perempuan (cucu tiri), ibu kepada suami anak perempuan (besan), ibu kepada isteri ayah (nenek tiri/ibu kepada ibu tiri), anak perempuan kepada isteri ayah (adik beradik tiri/anak ibu tiri), ibu kepada isteri anak lelaki (besan), anak perempuan kepada isteri anak lelaki (cucu tiri).
KESIMPULAN
Suami kepada ibu susuan menjadi mahram kepada anak angkat yang disusukan oleh susu daripada hasil suntikan hormone adalah disebabkan hubungan perkahwinan antara bapa tersebut dan ibu angkat yang menyusukan dan dianggap sebagai bapa tiri susuan. Oleh itu, tiada hubungan mahram antara datuk (bapa kepada suami kepada ibu susuan) mahupun adik beradik suami kepada ibu susuan dengan anak angkat tersebut. Dinasihatkan bagi suami isteri yang ingin mengambil anak angkat untuk mengambil maklum berkenaan mahram disebabkan oleh penyusuan supaya anak angkat susuan dapat memahami dan mengenali siapa yang merupakan mahram baginya.
Wallahu A’lam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM