Suka bercakap tentang orang lain

  1. Dalam sebuah dialog yang panjang, Rasulullah pernah berpesan kepada Saidina Abu Zar beberapa perkara yang penting yang boleh kita praktikkan pada hari ini. Antaranya Rasulullah berpesan kepada Abu Zar:

عَلَيْكَ بِالصَّمْتِ إِلَّا مِنْ خَيْرٍ، فَإِنَّهُ مَطْرَدَةٌ لِلشَّيْطَانِ عَنْكَ، وَعَوْنٌ لَكَ عَلَى أَمْرِ دِينِكَ

“Hendaklah kamu banyak berdiam melainkan pada perkara kebaikan. Sesungguhnya ia menjauhkan syaitan darimu dan pembantu buat agamamu.” (Sahih Ibn Hibban)

  1. Kemudian, Abu Zar bertanya lagi kepada Rasulullah. “Tambahkan lagi nasihatmu kepadaku wahai Rasulullah.” Lalu Baginda antara lain berpesan kepada Abu Zar:

لِيَرُدَّكَ عَنِ النَّاسِ مَا تَعْرِفُ مِنْ نَفْسِكَ

“Hendaklah kamu menjauhi dari manusia apa yang engkau ketahui (tentang keaiban) berkenaan dirimu.” (Sahih Ibn Hibban)

  1. Menurut Sheikh Taha al-Afifi, perkataan Rasulullah ini bermaksud agar kita tidak banyak membicarakan tentang keaiban orang lain malah fokus kepada keperluan diri sendiri sahaja. Kata beliau:

ثم كن مشغولا بعيوبك لا بعيوب الناس

“Kemudian hendaklah kamu sibuk dengan keaiban yang ada pada dirimu dan tidak disibukkan dengan keaiban orang lain.” (Wasaya al-Rasul)

  1. Rasulullah juga menegur sikap sebahagian manusia yang suka melihat aib orang lain. Mereka suka mengutuk, mendedahkan aib orang lain sehingga terlupa tentang dirinya sendiri. Sabda Rasulullah:

يُبْصِرُ أَحَدُكُمْ القذَى فِي عَيْنِ أَخِيْهِ وَيَنْسَى الْجِذْعَ فِيْ عَيْنِهِ

“Salah seorang dari kamu mampu untuk melihat kotoran kecil yang menempel di kelopak mata temannya, tapi lupa dengan batang kayu besar yang menutupi matanya sendiri” (HR Ibn Hibban)

  1. Melalui hadis ini Rasulullah memberikan kita bimbingan agar sentiasa memperbaiki diri dan tidak terlalu sibuk bercakap tentang keaiban orang lain. Mereka seronok bersembang mengenai keaiban manusia sehingga terlupa akan kekurangan dirinya sendiri.
  2. Al-A’masyh, seorang Tabi’i yang popular pernah berpesan, bahawa dia mendengar Ibrahim berkata:

إني لأرى الشيء أكرهه، فما يمنعني أن أتكلّم فيه إلا مخافة أن أُبتلى بمثله

“Aku melihat banyak perkara yang aku tidak suka (yang ada pada manusia), namun tidak ada yang menghalangku untuk bercakap mengenai perkara tersebut melainkan kerana takut aku akan diuji seperti orang yang ditimpanya.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts