Sultan Kedah titah perkasa institusi kewangan Islam

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar semua pihak termasuk majlis agama di setiap negeri, badan-badan dan organisasi korporat serta orang ramai berganding bahu mencari kaedah baharu bagi memperkasa institusi kewangan Islam.

Titah baginda, antara usaha yang boleh dilakukan adalah jalinan kerjasama yang berterusan dan erat melibatkan institusi kewangan dengan semua golongan dan organisasi korporat. 

“Beta amat yakin usaha sebegini pasti akan menyubur dan memperkasa lagi institusi kewangan Islam dengan pelbagai kaedah bantuan daripada golongan pakar dan profesional yang berada dalam organisasi korporat.

“Peranan institusi-institusi ini tidak lagi terhad kepada urusan zakat, sedekah, infaq dan wakaf sahaja, malah, turut merangkumi perjuangan untuk memerangi riba dan memastikan bahawa setiap muamalat yang dilakukan oleh umat Islam adalah berasaskan kepada hukum syarak yang ditetapkan oleh Allah SWT,” titah baginda.

Sultan Kedah bertitah demikian ketika merasmikan secara dalam talian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-16 anjuran bersama International Centre for Education in Islamic Finance University, International Shari’ah Research Academy For Islamic Finance, Research Management Centre dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini semalam.

Sultan Sallehuddin bertitah, dalam mempromosi dan menyuburkan institusi kewangan Islam, kaedah operasi yang dilaksanakan secara tradisional serta dasar yang tertutup wajar disemak semula dan digantikan dengan kaedah yang lebih komersial dan moden.

Titah baginda, ia bagi mendapatkan kepercayaan masyarakat disamping memberikan hasil serta pulangan yang positif kepada institusi.

“Beta berasa amat sukacita apabila pengurusan LZNK memulakan usaha ke arah ini dengan mendigitalkan keseluruhan operasi zakat di Kedah dengan pelbagai sistem yang ada.

“Sebagai contoh, pelaksanaan sistem ‘Zakat On Touch’ yang dilancarkan sebelum ini terbukti dapat membuka mata masyarakat awam bagi melihat semua informasi berkaitan zakat di Kedah dengan telus, tepat, cepat dan semasa tanpa perlu berselindung,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, setelah lebih 350 tahun undang-undang zakat di Kedah diwujudkan, proses pemantapan dan penambahbaikan tadbir urus yang dilaksanakan oleh LZNK berjaya mencapai pencapaian yang membanggakan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Muzakarah berkenaan yang kembali diadakan secara bersemuka sejak pandemik menghimpunkan lebih 200 pakar dan cendekiawan dalam bidang berkaitan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Nigeria. –UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts