Sultan Selangor mahu pemimpin, rakyat hindar fitnah

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat dan pemimpin agar menghindari fitnah yang dilihat hanya mengundang perpecahan bukan sahaja buat negeri malah negara secara amnya.

Baginda yang mahu umat Islam di Selangor memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat bertitah, perbuatan memfitnah dan menabur fitnah akan mengundang kepada perpecahan serta menjadi punca kepada timbulnya salah faham dan perselisihan dalam kalangan masyarakat.

Titah baginda, budaya fitnah mesti dihindari kerana ucapan dan tulisannya boleh melahirkan sangkaan dan persepsi salah yang membawa kebencian, persengketaan sesama sendiri, membunuh identiti dan menyebabkan kehinaan kepada seseorang hingga menimbulkan masalah yang lebih besar.

“Sesungguhnya tabiat tuduh menuduh dan memfitnah itu membawa kepada kehancuran sesama sendiri dan langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat.

“Ia menyebabkan ketidakharmonian dalam kehidupan masyarakat kita hari ini. Merosakkan hubungan silaturahim sesama umat manusia. Timbulnya sifat dendam dalam diri manusia dan kehidupan masyarakat menjadi huru hara bahkan ramai yang sengsara,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor semalam.

Baginda bertitah, penyebaran fitnah atau khabar angin pada zaman ini amat mudah untuk disampaikan dan bukan sahaja dengan kata-kata malah melalui teknologi media massa.

Perbuatan memfitnah titah baginda turut dikecam Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan Huzaifah RA.: ‘Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)’ (Riwayat Muslim).

“Kenapa perlu memilih jalan memfitnah untuk menjatuhkan orang lain sehingga mendatangkan kesusahan kepada pelbagai pihak? Hari ini kita mengambil sumber entah ia betul atau tidak. Kita menyebarkan berita entah ianya tepat atau tidak. Malah kita suka menyampaikan cerita entah ianya sahih atau tidak.

“Kadang-kadang datang satu perkara yang kita belum pasti lagi ianya betul atau tidak. Kita terus berkongsi dengan orang lain. Seandainya perkara tersebut hanya rekaan ataupun dibuat-buat, sedangkan kita telah berkongsi melalui media yang sampai kepada beribu-ribu orang bahkan satu dunia mengetahuinya. Maka sempatkah kita memohon maaf kepada orang yang terkena fitnah tersebut?” Soal baginda dalam titah tersebut.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila ada dalam kalangan ahli-ahli daripada parti-parti politik yang sanggup mereka-reka fitnah dan menghasut rakyat dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan palsu antara satu sama lain dengan matlamat untuk menjadi hero kepada rakyat.

“Islam tidak membenarkan matlamat menghalalkan cara. Fitnah itu lahir daripada hati seseorang yang sombong, bongkak, kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain,” titah baginda. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts