SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap tuntutan golongan liberal, yang turut mendapat sokongan daripada segelintir pemimpin beragama Islam, sedangkan pemikiran liberal ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, baginda amat khuatir jika pemikiran itu tidak dibendung secara serius, ia mungkin akan menjadi satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan agama Islam di negara ini selain dikhuatiri Allah akan menurunkan malapetaka kepada semua.
“Beta tidak mahu Selangor menjadi pusat penyebaran ideologi dan fahaman-fahaman sesat sebegini.
“Beta mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantapkan tindakan penguatkuasaan terhadap semua pihak yang didapati cuba menyebarkan sebarang bentuk fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam atau yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng.
“Program kesedaran berkenaan ancaman terhadap akidah umat Islam dan program pengukuhan akidah juga perlu dipertingkatkan bermula dari peringkat sekolah lagi dan juga di masjid dan surau seluruh Selangor,” titah baginda.
Baginda bertitah di Program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Tahun 2018, Seminar Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Ancaman Terhadap Akidah dan Majlis Pelancaran Buku Fatwa Warta Kerajaan Negeri Selangor : Fatwa Ajaran Sesat dan Fatwa Syariah dan Sosial di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Turut hadir mengiringi Baginda, Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, fahaman Islam liberal amat berbahaya serta sedang menular dan meresap ke dalam masyarakat Islam di Malaysia ketika ini.
Titah baginda, golongan yang membawa fahaman liberal itu mengajak semua umat Islam mengikut pemikiran mereka yang jauh menyimpang daripada agama Islam dan yang paling membimbangkan ialah ia boleh memesongkan akidah umat Islam itu sendiri.
Baginda bertitah, fahaman liberalisme itu berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam sehingga muncul golongan yang menuntut kesamarataan gender, perkahwinan sesama jantina, menolak ulama, wanita menjadi imam solat dan wali perkahwinan, menghalalkan perkahwinan orang Islam dengan penganut agama lain serta tuntutan kebebasan beragama dan menukar agama sesuka hati.
“Golongan ini termasuk individu yang mengamalkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender sebagai cara hidup dan tanpa segan silu memaparkan gaya hidup songsang mereka secara terang-terangan dalam media sosial. Ada yang bertindak menukar jantina mereka atas prinsip kebebasan individu.
“Golongan liberalisme ini juga secara terang-terangan melaungkan mengenai hak kebebasan individu, kebebasan mutlak, mencabar undang-undang syariah, selain mempertikaikan peraturan Islam, mahkamah Syariah dan pihak berkuasa agama secara terbuka di media sosial,” titah baginda.
Justeru, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu MAIS dan JAIS memperkasakan silibus penyelidikan di sekolah-sekolah yang berdaftar dengan MAIS untuk memberi pendedahan awal kepada anak-anak masyarakat Islam berkenaan bahaya dan ancaman fahaman yang sesat dan menyeleweng seumpama ini.
“Beta menyeru semua umat Islam untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai semua ideologi yang bertentangan dengan Islam dan ajaran-ajaran sesat yang telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.
“Beta juga menyeru semua umat Islam supaya membantu JAIS membuat aduan berkaitan sebarang aktiviti penyebaran fahaman-fahaman salah seumpama ini,” titah baginda.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan perasaan dukacita apabila mendapati ada dalam kalangan masyarakat Islam sendiri yang mempertikaikan fatwa yang dikeluar dan diwartakan kerajaan Selangor sedangkan golongan ini bukanlah individu yang mempunyai kepakaran dalam membicarakan isu-isu yang berkaitan dengan hukum Islam.
“Apa yang turut membimbangkan Beta, pertikaian ini dibuat secara terbuka dan ini boleh menyebabkan umat Islam menjadi keliru, berbalah dan berpecah-belah.
“Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati dengan fatwa Negeri Selangor yang dikeluarkan ia tidak perlu diperbahaskan secara terbuka sebaliknya terdapat saluran-saluran tertentu bagi menyuarakan pendapat mereka berkaitan sesuatu fatwa yang dipertikaikan itu.
“Beta percaya jika pendekatan ini diambil, perbincangan secara ilmiah akan dapat dilakukan bagi mengatasi sebarang pertikaian dan perbezaan pendapat berkaitan dengan sesuatu fatwa. Apa yang penting ialah umat Islam hendaklah menghormati setiap fatwa yang telah diputuskan oleh pihak yang berkuasa dalam menentukan sesuatu hukum.
“Sehubungan itu, Beta menyokong tindakan proaktif melalui pewujudan undang-undang dan pewartaan fatwa yang berkaitan serta mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat seumpama ini,” titah baginda. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
Syukur alhamdulillah tuanku prihatin dan mendaulatkan islam di Selangor dan Malaysia am nya mudah mudahan Allah merahmati tuanku diatas ketegasan beliau.Insshaalah Allah akan membantu umatnya yang menegakkan kebenaran islam dan melaknati umatnya yang mengkhianati islam termasuklah golongan liberalisma LGBT dan ajaran sesat. Semoga Allah menimpakan balasan keatas orang orang yang sombong ini didunia lagi