ISLAM menjamin kebebasan beragama. Islam tidak memaksa akidah. Ini soal dasar. Satu prinsip dalam Islam.
Itu sebabnya iman tidak sah dengan bertaqlid. Iman mesti atas keyakinan berdasarkan bukti-bukti mudah depan mata. Ertinya seseorang itu beriman kerana kehendak dan keyakinannya sendiri, begitu jugalah sebaliknya. Tidak boleh dipaksa.
Oleh sebab itu, seseorang yang masuk Islam kerana kepentingan tertentu, kemudian mahu keluar Islam setelah kepentingan itu lupus, bermakna hatinya memang sudah tidak beriman. Begitu juga seseorang yang mahu keluar daripada Islam kerana mahukan sesuatu kepentingan, sudah tentu hatinya juga sudah tidak lagi beriman.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa orang itu mungkin keliru, tidak pasti, terburu-buru dan sebagainya. Dan kita semua tahu bahawa iman kita tidak sempurna, tidak seperti para Nabi. Isu keliru, tidak pasti, iman tidak sempurna dan seumpamanya ini adalah isu lain. Saya tidak bercakap tentang itu.
Saya sebenarnya bercakap tentang iman yang wajib ke atas semua muslim iaitu iman mujmal yang tidak boleh kurang 1 peratus pun. Jika seseorang itu menganggap Islam tidak 100 peratus benar dan percaya agama lain juga adalah agama yang benar walaupun pada kadar 1 peratus, maka iman mujmalnya tertolak.
Sudah tentu dalam kes orang yang bersungguh-sungguh mahu isytihar dirinya murtad, sanggup berlawan di mahkamah, tiada lagi iman mujmal dalam hatinya. Kesimpulannya ialah dia sememangnya sudah murtad di hati, dan kita tidak boleh memaksanya kembali melalui undang-undang kerana ia soal hati.
Nasihat dan kaunseling, itu isu lain. Bukan cara undang-undang.
Lalu persoalannya ialah mengapa mereka harus dihalang daripada murtad dari sudut undang-undang? Mengapa umat Islam begitu beria-ia inginkan mahkamah di Sarawak menolak rayuan mereka yang mahu keluar Islam itu, sedangkan itu memang kehendak hati mereka?
Dari sudut yang lain pula, mengapa hukuman Islam terhadap orang yang murtad begitu keras sekali? Tidakkah hukuman itu bertentangan dengan dasar bahawa iman itu tidak boleh dipaksa?
Jawapannya ialah ini soal siyasah. Ini kerana menimbang kemudaratan ke atas batang tubuh negara akibat murtad terang-terangan, berbanding kemudaratan murtad senyap-senyap. Ini kerana Islam bukan sahaja agama bagi individu, malah Islam juga adalah agama bagi negara.
Agama bagi negara bukan bererti semua rakyat mesti beragama Islam. Tetapi kedudukan Islam sebagai agama negara tidak boleh dicabar. Mencabar agama Islam bermakna mencabar negara.
Sehubungan itu, kes yang berlaku sebenarnya ialah mencabar kedudukan agama Islam sebagai agama negara, mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ia bukan isu murtad. Isu murtad perlu ditangani melalui dakwah, bimbingan, penerangan, hujah, kaunseling dan sebagainya.
Tetapi isu mencabar agama negara dan bidang kuasa mahkamah Syariah, melalui tindakan mengisytiharkan murtad, perlu dihadapi dengan kuasa dan undang-undang.
Pada pandangan saya, ketika umat Islam tidak memiliki hegemoni dan dominasi kuasa yang memungkinkannya menjalankan hukuman keras ke atas pesalah murtad terang-terangan, maka situasi peruntukan undang-undang yang menyukarkan proses murtad secara rasmi adalah situasi terbaik.
Sementara itu, usaha tarbiyah dan didikan masyarakat perlu dilipat gandakan oleh negara.
Wallahu a’lam.
Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)