KESEIMBANGAN alam menuntut untuk kita juga seimbang dalam pemikiran, kehidupan dan perjuangan.
Tiada perkara yang percuma. Setiap perkara ada harganya. Ada perkadaran dan nisbah keseimbangannya.
Bagi saya, minda kepercumaan adalah minda yang tidak selari dengan minda acuan syarak.
Kepercumaan ini bermaksud, mahukan sesuatu tanpa membayar sesuatu. Bayaran yang dimaksudkan bukan semata-mata bayaran berupa material, ia lebih daripada itu, ia boleh jadi berupa tanggungjawab, keprihatinan, dan menunaikan hak-hak yang wujud dengan sebab hadirnya sesuatu nikmat atau kesenangan.
Jika difikirkan, atas sebab itu, riba, rasuah, judi dan zina diharamkan. Riba menghilangkan keseimbangan antara dua nilaian. Rasuah menghilangkan keseimbangan gaji yang setimpal dengan kerja yakni seseorang itu mendapat bayaran lebih atas manipulasi kerja asalnya, istilah kita mungkin disebut ‘duit kopi’ dan seumpamanya.
Judi menghilangkan keseimbangan nilai usaha dan hasil, hanya bergantung kepada nasib yang kadang-kadang menyebelahinya dan kebanyakan masa merugikannya. Zina pula menghilangkan keseimbangan nikmat dan tanggungjawab, di mana pasangan yang melakukan perkara itu tidak perlu bertanggungjawab dari sudut nafkah, hak pewarisan harta dan hak-hak suami isteri.
Semuanya lebur kerana mentaliti mahu percuma ini. Leburnya sistem masyarakat kerana mentaliti begini.
Atas sebab itu orang yang berharta diwajibkan membayar zakat, ini kerana pada kekayaannya ada hak yang perlu ditunaikan, orang yang sakit tidak diwajibkan berpuasa kerana keuzurannya telah mengurangkan kadar tanggungjawabnya tidak seperti muslim biasa, orang yang berilmu tidak boleh menyembunyikan ilmunya kerana pada kelebihan ilmunya ada hak mengajar orang lain, dan demikianlah seumpamanya.
Syariat terdiri atas keseimbangan ini. Ini adalah ciri-ciri utama syariat dalam menyusun kehidupan manusia.
Setiap nikmat, ada padanya pertanggungjawaban. Setiap perkara ada perkadarannya.
Kalau kita mahu pergi lebih jauh, kita cuba kiaskan kemudahan teknologi pada hari ini, yang memberi kita sejuta nikmat dan kemudahan dengan kebertanggungjawaban kita terhadap nikmat dan kemudahan ini.
Ia mungkin sedikit sebanyak boleh menjawab beberapa persoalan yang timbul saban hari, di mana akhlak dan sikap generasi hari ini yang terdidik dengan kemudahan ini, melupakan bahawa di sana hakikatnya banyak tanggungjawab yang perlu dipikul, banyak perkara yang perlu diisi bagi mengisi keseimbangan nikmat dan kemudahan ini.
Allah SWT menyebut; Jika kamu bersyukur, Aku akan tambahkan, jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih – Surah Ibrahim
Mentaliti kesyukuran itu perlu diteliti, adakah ia semata-mata menunaikan tanggungjawab fardhu ain, kewajipan solat, puasa dan zakat, lalu kita terlepas daripada ikatan formula ini?
Tidak sekali-kali.
Nikmat yang banyak, akan ditanya dengan soalan yang banyak. Adakah dengan soalan yang banyak hanya mampu dijawab dengan jawapan sekitar rukun Islam sahaja? Itu tidak logik.
Persoalan yang banyak, hanya mampu dijawab dengan memikul dan menggalas tanggungjawab yang besar, sebesar apa?
Sebesar amanah Al-Quran. Hanya itu yang mampu menjawabnya.
Kenapa?
Kerana segala yang ditundukkan kepada kita berupa dunia dan seisinya, termasuk teknologi dan segala kemudahan masakini, hanya benar-benar legal dan syar’ie apabila kita benar-benar melakukan apa yang diminta oleh Allah SWT.
“Sesungguhnya Kami menawarkan amanah (tanggungjawab khalifah) kepada seluruh langit dan bumi, serta bukit-bukit, lalu mereka semuanya menolak untuk memikulnya, lalu ia dipikul oleh manusia, walhal sesungguhnya manusia itu zalim lagi jahil” – Surah Al-Ahzab
Atas sebab kita terpilih menjadi khalifah itu, lalu Allah SWT menundukkan segala yang ada di langit dan di bumi untuk kita;
“Tidakkah kamu lihat bahawa Allah SWT telah menundukkan bagimu apa yang ada di langit dan di muka bumi ini, serta melimpahkan nikmat-nikmat-Nya secara zahir dan batin ?” – Surah Luqman
Sepertimana Dia telah memerintah para malaikat untuk bersujud kepada Adam AS selepas baginda diciptakan seperti yang disebut;
“Apabila Aku telah menyiapkannya (tubuh Adam) dan meniupkan padanya ruh-Ku, maka tunduklah (wahai para malaikat) bersujud kepadanya” – Surah Shaad
Jadi persoalan-persoalan ini hakikatnya boleh dijawab dengan meneliti beberapa potongan ayat Al-Quran, di dalam menilai kebertanggungjawaban generasi hari ini.
Secara mudahnya, mungkin kita boleh katakan bahawa, memikul risalah Al-Quran ini dengan sesungguhnya dan hidup mati di atasnya, mampu menyamai segala anugerah dan nikmat yang kita peroleh atas ihsan dan kurniaan daripada Allah SWT.
Atas yang demikian, baru kita boleh fahami, kenapa Al-Quran sentiasa menyebut bahawa kenapa hidup para anbiya’ adalah hidup yang terbaik, visi dan misi mereka juga adalah terbaik, serta peribadi mereka adalah contoh terbaik, kerana mereka mempunyai formula keseimbangan ini. Mereka memikul risalah Al-Quran, bahkan mereka adalah gambaran Al-Quran itu sendiri.
Keseimbangan ini yang menjadikan para waris mereka berkekalan hingga Hari Kiamat, bagi mengekalkan sunnah pertentangan yang wujud di antara hak dan batil.
“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran dan mengalahkan musuhnya, sesiapa yang memusuhinya tidak dapat memudaratkannya, hinggalah datangnya keputusan Allah dan mereka dalam keadaan demikian (berjuang)” – hadis Nabi SAW
“Kalaulah bukan kerana Allah menolak sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, sudah pasti bumi ini akan hancur” – surah Al-Baqarah
Ini hanyalah sekadar renungan, bagi merungkai permasalahan-permasalahan semasa, dengan dirujuk kepada rujukan yang tidak pernah luput relevansinya.
“Adakah mereka itu tidak mentadabbur Al-Quran? Ataupun hati-hati mereka itu terkunci? ” – Surah Muhammad
Wallahua’lam.
Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)