“Syria Raikan Sebulan Kejatuhan Al-Assad: Konsert Meriah di Damsyik”

Sudah sebulan berlalu sejak Bashar al-Assad digulingkan, menamatkan lebih lima dekad pemerintahan keluarganya di Syria serta hampir 14 tahun perang saudara. Al-Assad melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember lalu dan sejak itu, kelibatnya tidak lagi kelihatan.

Rabu malam lalu, ribuan rakyat Syria berkumpul di ibu negara, Damsyik, bagi meraikan kejayaan kebangkitan rakyat. Peristiwa ini diraikan dengan sebuah konsert di pusat bandar, yang dianggap oleh ramai rakyat sebagai detik bersejarah dan mustahil sebelum ini.

Melaporkan dari Damsyik, editor diplomatik Al Jazeera, James Bays, berkata suasana kegembiraan jelas dirasai oleh rakyat yang hadir di sebuah pusat sukan bagi menyambut sebulan keamanan dan kestabilan negara itu.

“Ada perasaan lega dan gembira yang nyata di sini, tepat sebulan selepas kejatuhan rejim al-Assad,” katanya.

“Di luar stadium ini, terdapat poster besar al-Assad, tetapi kini hanya rambut dan dahinya yang kelihatan kerana sebahagian besar poster itu telah dirobek, sama seperti rejim, tentera, dan keseluruhan sistem pemerintahannya yang tumbang sebulan lalu,” tambahnya lagi.

Menurut Bays, hasil daripada konsert tersebut akan disalurkan kepada beberapa NGO terkenal termasuk White Helmets, pasukan penyelamat awam yang berperanan penting semasa pemerintahan al-Assad dalam menyelamatkan mangsa serangan udara oleh tentera Syria dan Rusia.

Harapan Baru Buat Syria

“Saya harap masa depan akan lebih baik. Hidup di bawah al-Assad tiada makna. Kami hidup dalam ketakutan terhadap dia dan tenteranya,” kata Nada Daye, seorang penduduk tempatan kepada Al Jazeera.

Mamoun Nahlawi, pemilik sebuah kedai buku, turut berkongsi pandangan bahawa ekonomi Syria kini perlu dibuka semula setelah bertahun-tahun dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat dan negara Barat lain.

“Sekatan mesti dihentikan. Kalau tidak, rakyat tak akan merasai perubahan yang positif. Rakyat dihina dan terseksa semasa pemerintahan al-Assad,” ujarnya.

Usaha Kerajaan Baharu Menghapuskan Sekatan Ekonomi

Syria merupakan antara negara yang paling banyak dikenakan sekatan di dunia. Kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahmed al-Sharaa kini sedang berusaha untuk menamatkan sekatan tersebut bagi membangunkan semula ekonomi negara.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah mengadakan mesyuarat pertama tahun ini pada Rabu bagi membincangkan isu berkenaan.

Melaporkan dari ibu pejabat PBB di New York, wartawan Al Jazeera, Gabriel Elizondo, berkata UNSC menekan supaya sekatan terhadap Syria dihentikan dalam mesyuarat itu.

Sokongan Antarabangsa Kian Meningkat

Geir Pedersen, Duta Khas PBB untuk Syria, dalam mesyuarat tersebut menegaskan bahawa “usaha ke arah peralihan politik inklusif” akan membantu memastikan Syria menerima sokongan ekonomi yang sangat diperlukan. Usaha ini juga, menurutnya, memerlukan pengakhiran sekatan yang lancar.

Elizondo turut melaporkan bahawa Tom Fletcher, Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, menegaskan sekatan tidak seharusnya menghalang bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria.

Dalam minggu-minggu akan datang, satu persidangan nasional bagi membincangkan peralihan Syria kepada demokrasi dijangka akan berlangsung.

Rundingan Bersama Negara Teluk

Sementara itu, pegawai Amerika Syarikat telah memulakan rundingan dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengenai kemungkinan melonggarkan sekatan kewangan terhadap Damsyik, dengan syarat kerajaan baharu Syria memutuskan hubungan dengan Rusia dan Iran serta memberikan jaminan kestabilan politik.

Dengan harapan yang tinggi dan sokongan antarabangsa yang semakin meningkat, rakyat Syria kini menantikan sebuah era baharu yang lebih stabil, aman, dan makmur selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.

Sumber: Al Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts