Johor Bahru: Nasib golongan miskin di bandaraya ini terbela apabila 18 keluarga asnaf bakal mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Rawa di Perling di sini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Khirul Nizam Mat Said berkata, bantuan itu adalah sebahagian usaha MAINJ bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan.
Katanya, asnaf yang terpilih membabitkan golongan yang sudah disemak latar belakang membolehkan mereka layak menerima tawaran rumah PPR itu.
“Alhamdulillah kesemua asnaf ini adalah penerima bantuan dari MAINJ. Mereka memang layak kerana betul-betul memerlukan kediaman. Ada di antara mereka yang tiada simpanan, tidak mempunyai rumah dan mendiami rumah yang sangat uzur dan rosak sehingga membahayakan nyawa.
“Kawasan kediaman PPR ini lebih selesa, berpagar, tempat letak kenderaan luas dan ada kawasan permainan untuk kanak-kanak. Semua 18 asnaf terbabit adalah penerima bantuan bulanan daripada MAINJ.
“Kediaman ini mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, ruang tamu dan dapur pun nampak selesa, ruangan bawah disediakan khas bagi saudara-saudara kita yang istimewa (OKU). Ada susur untuk masuk kerusi roda dan suisnya lebih rendah serta bilik air utama yang besar,” katanya selepas penyampaian ringkas tawaran itu kepada 18 asnaf di PPR Jalan Rawa, Perling di sini, tadi.
Turut menerima tawaran itu adalah penerima di bawah agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Bandaraya dan peserta e-kasih.-My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: