Kemerdekaan menjadi kunci kepada kehidupan tenang, aman dan damai. Justeru, kunci kemerdekaan kepada remaja adalah apabila mencapai umur 17 tahun.
Mereka bebas daripada alam kanak-kanak dipantau guru dan ibu bapa menuju alam dewasa bebas berfikir dan membuat keputusan.
Persoalannya adakah mereka matang dan bersedia menempuh alam dewasa penuh pancaroba dan cabaran?
Generasi remaja dan belia bakal mewarisi kepemimpinan negara dan mengisi kemerdekaan dicapai sejak 64 tahun lalu. Antara agenda penting, menyediakan golongan itu dengan kemampuan analitikal dan kritikal.
Sistem pendidikan dirombak dan disemak semula beberapa kali sejak kemerdekaan demi menyesuaikan pendidikan generasi baharu dengan keperluan semasa serta perubahan global.
Pembangunan emosi, spiritual, agama, fizikal, akhlak dan intelek (ESAFAI) pelajar perlu dilaksanakan dalam usaha menyediakan sumber manusia bertanggungjawab serta berintegriti, sekali gus memiliki nilai murni dan jati diri teguh dan pemikiran positif.
Apatah lagi, pembangunan tamadun mampan di negara ini memerlukan gandingan mantap elemen ESAFAI. Pendidikan pincang dan meremehkan mana-mana aspek, akan menjejaskan pembangunan negara makmur dan diredai Tuhan.
Realitinya, negara kita diancam pelbagai penyakit sama ada emosi seperti tekanan jiwa, spiritual, akhlak (rasuah dan fitnah), fizikal (COVID-19) atau intelek (gila kuasa).
Dua penyakit paling tinggi kes dilaporkan hampir setiap hari ialah COVID-19 dan rasuah. Penyakit ini akan sentiasa membelenggu masyarakat sekiranya tidak ditangani secara besar-besaran dan bijaksana.
Vaksin COVID-19 sudah ada dan diberikan secara berperingkat kepada masyarakat berdasarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pendekatan sama perlu diambil dalam menangani ‘penyakit’ rasuah. Kita memerlukan ‘vaksin’ rasuah dan harus diketengahkan lebih agresif, di samping berita penahanan, pendakwaan dan hukuman terhadap penjenayah rasuah.
Tanpa vaksin kerohanian, segala usaha kurang efektif kerana rasuah makin bertambah dengan indikator jumlah kes tahunan.
Jika penyakit COVID-19 memadai dengan suntikan dua dos vaksin, tetapi penyakit rasuah perlukan suntikan vaksin kerohanian secara berkala dan sepanjang masa. Ia hendaklah diberikan hingga larangan dan keburukannya diyakini serta terpahat di hati.
Bagaimanapun, akhbar ini pernah melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan peningkatan kes rasuah berskala besar membabitkan sindiket jenayah dan kartel serta penjawat awam sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Ada yang menganggap kegiatan rasuah berpunca daripada kegawatan ekonomi. Persoalannya, mengapa rasuah jadi pilihan dalam menyelesaikan masalah kewangan?
Jika jawapannya kemiskinan, ia perlu dinilai semula kerana antara mereka terbabit adalah dalam kalangan penjawat awam berpendapatan tetap, ahli politik dan golongan berada.
Apakah kemiskinan menjadi punca atau kelemahan jati diri hingga terjebak dengan jenayah kolar putih itu?
Islam menganjurkan umatnya berpada-pada dalam perbelanjaan dan dilarang melakukan pembaziran. Keinginan kepada kehidupan mewah dan mengikut trend semasa boleh mendorong individu berbelanja melebihi kemampuan kewangan peribadi.
Justeru, amat penting untuk mendisiplinkan diri ketika membuat pertimbangan dalam perbelanjaan berdasarkan kehendak bukan keperluan. Setiap individu mesti bijak dalam menyusun perbelanjaan harian.
Berbelanja mengikut keperluan tanpa pembaziran dan kebakhilan. Pembaziran akan menjerumuskan kita ke lembah hutang dan kesempitan kewangan. Konsep perbelanjaan sebegini penting untuk mengelak diri daripada krisis kewangan dan tersalah langkah.
Rasuah sebagai jalan penyelesaian adalah suatu malapetaka. Firman Allah SWT: “Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu indah berhias setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang melampaui batas.” (Al-A’raf: 31)
Islam turut mengajar umatnya dengan nilai murni seperti sabar, syukur, reda, jujur, berani, amanah, istiqamah, adil, benar dan telus serta disiplin dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.
Apabila seorang pekerja mengamalkan nilai murni ini, negara aman makmur, subur dan cemerlang akan terbentuk. Kemerdekaan akan dinikmati dan keamanan disyukuri bersama.
Umat Islam dianjurkan untuk berdoa bagi melengkapkan usaha yang diambil seperti Nabi Ibrahim AS berdoa kepada Allah SWT dalam firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (Makkah) ini, negeri aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.”
“Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa kufur dan ingkar, maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.” (Al-Baqarah: 126)
Oleh itu, kita patut menikmati kemerdekaan dan mensyukuri keamanan agar terus kukuh dan padu. Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim: 7) – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)